Thursday, December 24, 2009

Anwar akan mendapat jawatan yang lebih baik - Dr Wahbah


Malam tadi (Rabu, 23 Disember 2003) saya diberi kesempatan untuk hadir ke rumah Dato' Seri Anwar Ibrahim di Bukit Segambut untuk meraikan tetamu, iaitu Sheikh Dr Wahbah Az-Zuhaily, ulama tersohor.

Dalam seminggu dua ini, di sebalik kesibukan DSAI menangani karenah politik negara, beliau sempat juga menerima kunjungan beberapa tokoh ulama dan intelektual Islam.

Antara yang datang sebelum ini ialah Dr Tariq Ramadhan (kunjungan di rumah beliau), manakala Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi, dikunjungi bersama keluarga di hotel penginapan beliau.

Dr Wahbah merupakan salah seorang yang ulama yang menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah tahun lepas, sewaktu PM Abdullah Ahmad Badawi.

Selain daripada berucap, bersoal jawab dengan para hadirin, Dr Wahbah juga mengimamkan solat hajat, memohon agar Allah SWT menyelamatkan DSAI dari sebarang tekanan dan ujian, khususnya yang ditimpakan oleh pihak berkuasa.

Seusai solat hajat, Dr Wahbah mengingatkan bahawa, sebolah-bolehnya sebelum kita tidur, kita membaca Surah al-Mulk. Kata Dr Wahbah, beliau membaca Surah al-Mulk setiap hari, dan tidak akan tidur selagi tidak membaca surah itu.

Surah itulah antara kebaikannya, sebagai pelindung dan penyelamat umat Islam dari sebarang kesusahan dan kejelekan yang berlaku.

Sementara itu dalam ucapannya, Dr Wahbah secara tegas dan yakin berkata, beliau mahu masa depan politik DSAI dipertahankan dan diperjuangkan, kerana ujian yang beliau hadapi sekarang adalah ciptaan pihak berkuasa ke atasnya.

Katanya, kes DSAI sama seperti kisah Nabi Yusuf a.s yang tidak melakukan kesalahan sebagaimana yang dituduh oleh pihak berkuasa.

Tegasnya, apabila DSAI dipenjara (1998-2004), ianya merupakan sebagai batu loncatan untuk beliau, menjadi pemimpin yang lebih baik daripada sebelumnya. Apabila melepasi keadaan itu, DSAI akan naik ke suatu tahap yang lebih baik.

Ianya merupakan suatu proses yang lebih memberikan kekuatan kepada DSAI.

"Saya percaya DSAI akan mendapat jawatan yang lebih baik (lebih tinggi) daripada apa yang ada sekarang," katanya merujuk kepada jawatan politik yang disandang DSAI.

Ujian yang dihadapi DSAI (tuduhan liwat) katanya, tidak diterima oleh orang lain.

Katanya, apa yang terjadi kepada DSAI, banyak tercatat dalam sirah, di mana Nabi-nabi dan Rasul-rasul banyak menerima tekanan dan tentangan dari kaum yang menolak ajaran mereka.

DSAI katanya dihadapkan dengan pelbagai tuduhan dan ujian, kerana mereka yang berkepentingan tidak mahu menerima seruan politik DSAI yang memperjuangkan keadilan, demokrasi dan kejujuran dalam pemerintahan.

Tegas Dr Wahbah, walaupun mungkin nampak semacam ada kejayaan kaum (pihak tertentu) untuk menyekat DSAI, namun beliau yakin semuanya itu tidak akan berjaya. Allah tidak akan mengizinkan pihak yang tidak benar mengatasi kebenaran.

Dr Wahbah juga mendoakan DSAI supaya diberi kekuatan dan kejayaan oleh Allah SWT.


Untuk lebih lanjut, saya memetik laporan Harakahdaily seperti di bawah:

Dr Wahbah Az-Zuhaily menasihatkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim iktibar dari pemenjaraan Nabi Yusof a.s. disebabkan perancangan pihak yang berkuasa yang tidak senang baginda.

Nasihat tersebut disampaikan dalam suatu majlis dialog yang diadakan di kediaman peribadi Anwar, di sini malam tadi.

Dr Wahbah yang juga Dekan Fakulti Fiqh dan Mazhab Islam dari Universiti Damsyik, Syria berkata, Nabi Yusoff a.s dipenjarakan walaupun dibuktikan bahawa Nabi Yusof tidak melakukan kesalahan.

"Tidak semua yang diperjara itu bersalah...seperti Nabi Yusof a.s (yang) walaupun telah ada keterangan yang jelas (iaitu) kesan koyakan baju di bahagian belakang menunjukkan Yusuf cuba melarikan diri daripada fitnah, tetapi dia tetap dipenjarakan disebabkan muslihat musuh," jelasnya.

Beliau turut melahirkan rasa kurang senang dengan ujian yang menimpa Anwar dan berdoa supaya Allah membantu Anwar sebagaimana yang dilalui Nabi Yusof a.s kemudiannya.

"Saya amat serius bahawa cabaran yang dihadapi Anwar ini menyusahkan hati saya...semoga Allah akan menaikkan darjatnya seperti Nabi Yusof a.s," jelasnya.

"Beliau (Anwar) akan dapat kedudukan yang lebih baik dari apa yang telah pun didapati sebelum ini."

Menyampaikan ucapan sekitar 30 minit, Dr Wahbah turut menyeru seluruh rakyat bersama-sama memperjuangkan kebenaran yang cuba ditegakkan oleh Anwar di Malaysia.

"Bagi kita semua, menjadi tanggungjawab kita untuk membantu perjuangannya yang benar dan melawan kuasa yang batil," jelasnya.

"Ini adalah tanggungjawab bersama (dan) ini adalah ujian bagi beliau dan dunia Islam yang sedang disaksikan dunia Barat."

Selepas dialog tersebut, Dr Wahbah turut mengimamkan solat hajat demi mendoakan Anwar serta perjuangan menegakkan keadilan di Malaysia dipelihara Allah s.w.t kelak.

Sebelum pada itu Anwar merakamkan penghargaan kepada Dr Wahbah kerana sudi mengunjungi kediamannya.

Dalam ucapan aluan, Anwar memuji karya Dr Wahbah az-Zuhaily yang berjudul Fiqh
al-Islami wa Adillatuhu.

Turut menyertai dialog tertutup Dr Wahbah az-Zuhaily itu, AJK PAS Pusat Abdul Ghani Shamsuddin, Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkifli Ahmad, Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presidennya Senator Dr Syed Husin Ali, Naib Presidennya Mustafa Kamil Ayub, Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin, para pemimpin mahasiswa dan wartawan.

Semalam, dilaporkan Dr Wahbah turut menyampaikan syarahan ‘Fiqh Masyarakat Bukan Islam dalam Negara Islam’ dalau suatu simposium yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Selangor (PUMSEL), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Dalam syarahan tersebut, beliau menggesa cendekiawan Islam memperkenalkan prinsip-prinsip Islam secara fitrah kepada masyarakat bukan Islam di Malaysia.

No comments: