Wednesday, December 09, 2009

Konvensyen memperkukuh Pakatan Rakyat


Buat julung-julung kalinya parti-parti gabungan Pakatan Rakyat akan menganjurkan konvensyen pertamanya pada 19 Disember 2009 ini, di Auditorium MBSA, Shah Alam.

Dianggarkan lebih 1500 perwakilan terdiri daripada pemimpin tertinggi ketiga-tiga parti gabungan dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) akan menghadiri konvensyen ini.

Penganjuran konvensyen ini merupakan suatu langkah yang amat tepat pada masanya dan dijangka menghasilkan kesan yang memberangsangkan bagi Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat dibentuk secara rasmi dengan gabungan tiga parti selepas memenangi 82 kerusi Parlimen serta menguasai Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac 2008.

Dalam tempoh 18 bulan Pakatan Rakyat dibentuk, ia menerima ujian, kecaman dan serangan bertalu-talu tanpa henti dari parti lawannya, iaitu Barisan Nasional.

Akibat dari serangan tanpa henti ini, BN berjaya merampas kembali Kerajaan Negeri Perak selepas lebih 10 bulan ia diterajui Pakatan Rakyat.

Usaha untuk merampas Perak dilakukan secara sistematik. Pada awalnya BN berusaha merampas Perak dengan dengan strategi utama, membuat pelbagai adu-domba dan melaga-lagakan PAS dengan DAP.

BN meniupkan api perkauman dan mencetus ketegangan di Perak dengan memainkan semangat rasis ketuanan Melayu, dengan berselindung alasan mempertahankan institusi Raja dan agama.

Malah lebih jahat daripada itu, mereka melangkau jauh, berusaha melaga-lagakan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dengan Sultan Perak.

Setelah beberapa usaha mereka menemui kegagalan, BN berusaha memerangkap beberapa orang wakil rakyat yang berkepentingan, terbabit dengan beberapa skandal. Mereka juga diberikan tawaran yang amat lumayan, sehingga tergadai maruah dan prinsip.

Setelah berjaya merampas Perak, BN menghalakan serangan kepada Selangor, Pulau Pinang dan Kedah dengan strategi yang sama.

Akhir-akhir ini, mereka menumpukan serangan terhadap Kerajaan Negeri Kelantan, khusus dengan menyerang keperibadian Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sebelum ini mereka menyerang Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang secara peribadi.

Kesemua serangan ini dibuat oleh BN dengan tujuan untuk memusnahkan persepsi rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

BN membuat pelbagai taktik dan pendekatan, sehingga kepada peringkat yang paling maksimum, iaitu dengan menukar Perdana Menteri, untuk memenangi semula hati rakyat yang sudah terhakis terhadap mereka.

BN menyedari bahawa, jika gelombang 8 Mac 2008 tidak disekat, maka hayat mereka akan terkubur pada PRU ke-13 dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.

Maka tiada jalan lain bagi BN, selain memperkenalkan beberapa transformasi yang masih menemui kebuntuan, dalam masa yang sama, mereka mesti berusaha memusnahkan kredibiliti pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dan parti-parti gabungannya.

Secara keseluruhannya sehingga kini, BN masih gagal untuk menyesuaikan dirinya dengan kehendak rakyat. Selepas Umno kononnya direform, BN masih buntu dengan masa depan parti gabungan terkuat, seperti MCA, MIC dan Gerakan.

Sudah tentu porak peranda dalam parti gabungan BN akan memberikan kesan yang amat negatif terhadap keupayaan mereka untuk mempertahankan kuasa di peringkat Persekutuan.

Sementelahan pula, semua serangan yang ditujukan kepada Pakatan Rakyat, ternyata gagal mengugat kesepakatan pemimpin, ahli dan penyokong Pakatan Rakyat. Malah kedudukan Pakatan Rakyat semakin kukuh di mata rakyat.

Sehubungan dengan itu, konvensyen yang dijadualkan berlangsung dua minggu lagi, bakal mencetus suatu anjakan paradigma baru dalam politik negara.

Paradigma inilah yang akan membentuk suatu kesepakatan yang amat berharga buat menumbangkan BN dalam PRU akan datang.

Selamat berkonvensyen.

No comments: