Wednesday, December 23, 2009

Pakatan Rakyat semakin hampir ke Putrajaya


SESIAPA sahaja yang berkesempatan untuk menghadiri Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat yang diadakan di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam, 19 Disember 2009 akan berasa amat teruja.

Teruja kerana mereka merupakan sebahagian daripada pencetus kematangan politik baru, pencetus sejarah politik baru dalam sejarah Malaysia moden.

Buat pertama kalinya ketiga-tiga parti terdiri daripada PAS, KeADILan dan DAP, bersatu tenaga dan bersatu hati menghasilkan persefahaman politik, iaitu muafakat baru untuk Malaysia.

Konvensyen pertama ini menjadi platform yang amat penting bagi Pakatan Rakyat, menganjak ke suatu paradigma baru dalam politik negara.

Ia merupakan suatu petanda aras yang penting iaitu Pakatan Rakyat, dengan kesepaduan yang amat kukuh, sudah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13, pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh Barisan Nasional.

Natijah daripada Konvensyen juga menunjukkan dengan jelas bahawa Pakatan Rakyat berada pada tahap yang sangat kukuh dan meyakinkan, sedia mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan daripada BN.

Kesediaan Pakatan Rakyat bukan sehingga PRU ke-13 sahaja, namun Pakatan Rakyat sudah bersedia memikul amanah menerajui negara, jika ditakdirkan BN sudah tidak berupaya lagi mempertahankan majoritinya dalam Dewan Rakyat.

Ketidakupayaan BN semakin terserlah, mereka bukan sekadar tidak mampu mentabdir negara dengan baik, gagal menstabilkan ekonomi negara, gagal menstabilkan perpaduan kaum dan agama, serta yang paling penting, Umno-BN gagal mengawal perpecahan dalam parti-parti komponen mereka.

Di saat Pakatan Rakyat difitnah dengan pelbagai tohmahan dan adu domba, Pakatan Rakyat tampil dengan kesepaduan yang jitu, sedangkan mereka (Umno-BN) berada dalam keadaan caca merba dan kekalutan.

Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat ini bakal menghasilkan impak besar dalam politik negara. Ianya pada penganalisis politik, amat-amat membimbangkan BN, kerana sehingga kini Umno terus busuk sampai ke usus, MCA seperti tongkang pecah, MIC sudah karam dan Gerakan sudah pupus.

Manakala PAS, KeADILan dan DAP yang selama ini dituduh 'tidur sebantal, mimpi lain-lain', dengan penuh kerendahan hati, berjaya menghakis perbezaan antara satu sama lain, demi masa depan yang cemerlang untuk rakyat Malaysia.

Di Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat, pemimpin-pemimpin ketiga-tiga parti menunjukkan kematangan berpolitik yang amat tinggi.

Secara terbuka, masing-masing mengakui wujudnya perbezaan dan pernah melalui perselisihan. Namun semuanya secara terbuka mengakui berlapang dada, menerima hakikat bahawa rakyat perlukan suatu front politik yang kukuh dan stabil untuk menggantikan BN.

Khususnya bagi PAS dan DAP, perselisihan dan perbezaan sudah berjaya dikuburkan, semata-mata kerana kematangan pemimpin melihat, ada suatu agenda yang besar di hadapan mereka, iaitu mencapai satu titik kebersamaan untuk menumbangkan BN.

Kesepakatan yang dicapai dalam konvensyen di MBSA amat menerujakan. Rakyat dari kalangan berbilang agama, kaum, bahasa, warna kulit hadir berduyun-duyun menyatakan sokongan padu kepada semua parti dalam Pakatan Rakyat.

Dalam Pakatan Rakyat sudah tidak wujud kejangalan. Kejanggalan sudah dihapuskan. Perseteruan antara pemimpin tidak wujud sama sekali. Siapa boleh menjangkakan Karpal Singh, yang dilabel 'Singa DAP' boleh duduk diapit Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang?

Kedua-dua pemimpin PAS itu berbual dengan penuh mesra dengan Karpal. Mereka bangun tanda hormat tatkala Karpal (yang berkerusi roda) hendak berucap dan walaupun bertongkat Tuan Guru Nik Aziz menyantuni, dengan memegang tangan Karpal memimpinnya duduk bersebelahan beliau dan Ustaz Hadi.

Di dalam dewan konvensyen semua pemimpin PAS, KeADILan dan DAP duduk berselang seli tanpa membentuk kelompok yang berasingan.

Anda akan melihat individu yang memakai pelbagai warna baju, bendera, kaum atau pakaian keagamaan, duduk bersama-sama dalam suatu kelompok.

Bendera hijau PAS, biru KeADILan dan merah DAP disusun bersekali melambangkan kesepaduan.

Malah dalam ucapan penutupnya, Tuan Guru Nik Aziz sempat berseloroh, dengan katanya, "Di dada Karpal ada bulan (jaket hitam dengan lambang semua parti)," disambut tepukan gemuruh semua perwakilan konvensyen.

Jelas, jika anda menghadiri konvensyen Pakatan Rakyat, anda sendiri akan memperakui bahawa inilah dia Satu Malaysia yang sebenarnya (A true One Malaysia). Ia bukan seperti retorik Umno-BN. Ia adalah realistik yang dihasilkan daripada kesepaduan pelbagai parti dalam Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat berjaya menghapuskan ketidakseimbangan kaum, mengetepikan perbezaan agama dan warna kulit. Malah yang paling penting, seluruh rakyat yang menyokong Pakatan Rakyat, tidak langsung mempunyai kebimbangan atau ketakutan.

Tiada fitnah dan tohmahan yang mampu merosakkan persepsi rakyat terhadap PAS, KeADILan dan DAP lagi.

Selepas PRU ke-12, 8 Mac lepas berjaya mencetuskan suatu anjakan besar dalam politik negara, momentum penolakan rakyat terhadap BN, seumpama suatu arus besar yang disifatkan sebagai 'tsunami' politik yang sudah tidak mampu ditahan Umno-BN.

Dengan kemelut besar yang ada dalam komponen BN, mereka sudah tidak mampu lagi untuk mempertahankan kedudukan mereka di persada politik negara.

Umno, MCA, MIC dan Gerakan harus bersedia menerima hakikat bahawa masa depan mereka sudah semakin kabur. Politik cara mereka sudah ditelan zaman. Pendekatan mereka sudah tidak relevan sama sekali.

Seluruh pemimpin, ahli dan penyokong Pakatan Rakyat harus mengambil tarikh konvensyen ini sebagai titik mula, bekerja dengan lebih kuat dan bersungguh-sungguh, membuktikan komitmen Pakatan Rakyat kepada seluruh rakyat Malaysia.

Hakikatnya, Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat, membawa PAS, KeADILan dan DAP, semakin hampir ke Putrajaya.

No comments: