Dilampirkan tulisan seorang sahabat:
Oleh ABDULLAH ZAIDI HASSAN
Doa yang dibaca oleh Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam khutbah Hari Raya Korban baru-baru ini telah menarik perhatian banyak pihak. Apa yang disiarkan dalam media massa arus perdana, ialah propaganda yang menganggap doa itu tidak islamik malah bertentangan dengan ajaran agama.
Kita harus melihat isu ini dengan fikiran yang lebih terbuka, tanpa perasaan prejudis kepartian dan kekelompokan.
Apakah latar belakang kepada tercetusnya reaksi tersebut. Semoga Allah membimbing kita untuk melihat kebenaran sebagai kebenaran, serta kepalsuan sebagai kepalsuan.
Kenapa Tuan Guru berdoa sedemikian?
Ia berdasarkan isu tuntutan royalti minyak oleh Kerajaan Kelantan, Perdana Menteri membuat kenyataan di parlimen bahawa Petronas akan memberi wang ihsan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan.
Reaksi awal Tuan Guru adalah beliau berpuasa tiga hari tanda kesyukuran. Syukur kerana Kerajaan Pusat dan Petronas telah mengakui bahawa Kelantan adalah negeri pengeluar minyak dan gas.
Kita tentu akan bertanya adakah ianya suatu perbuatan yang menepati syarak, mematuhi undang-undang Negara dan mengikut lunas-lunas kemanusian, suatu yang adil dan tidak zalim bagi Kerajaan Pusat dan Petronas untuk menidakkan hak kerajaan Kelantan dan rakyatnya selama ini?
Kenapa hanya sekarang Kerajaan Pusat dan Petronas mengakui yang Kelantan adalah negeri pengeluar petroleum?.
Sekiranya Kerajaan Kelantan dan sebahagian rakyatnya tidak membuat tuntutan dan menghebohkan isu ini, adakah pihak Kerajaan Pusat dan Petronas akan membuat sebarang bayaran kepada Kelantan?
Kita tentu akan terus bertanya lagi, kalaulah benar maklumat dalam dokumen perjanjian Petronas dengan pihak kerajaan-kerajaan negeri sebagai yang ditandatangani Tengku Razaleigh Hamzah pada tahun 1970-an dahulu, pihak Kerajaan Kelantan diwakili Tan Sri Muhammad Yaakob selaku Menteri Besar; maka kita faham benar yang perjanjian itu adalah antara Petronas dan pihak Kerajaan Negeri.
Sedangkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) bukanlah sebuah agensi kerajaan negeri, bahkan ia adalah agensi Kerajaan Pusat.
Jika pembayaran dibuat kepada JPP, bermakna Petronas tidak membuat sebarang bayaran kepada pihak Kerajaan Negeri, tetapi Petronas membuat bayaran kepada sebuah agensi Kerajaan Pusat.
Apakah ini menepati semangat dan butiran perjanjian yang telah ditanda-tangani? Adakah ini bertepatan dengan keadilan dan tuntutan agama?
Kita juga mungkin terus bertanya tentang pembahagian kawasan pengeluar minyak pesisir pantai serta di kawasan luar pesisir pantai dan kawasan bertindih dengan negara-negara jiran.
Sudah tentu sebelum perjanjian antara Petronas dan Kerajaan Negeri dimeterai dahulu, kawasan laut Malaysia tersebut menjadi milik Malaysia kerana ianya adalah laut dalam perairan Kelantan, dan kerana Kelantan menyertai Persekutuan Tanah Melayu, maka perairan tersebut dikira pada peringkat antarabangsanya sebagai milik Malaysia.
Itulah semangat Persekutuan yang perlu semua pihak luhurkan. Menidakkan elemen asas sebegini mungkin sahaja merupakan tindakan menidakkan hak kerajaan negeri dan rakyatnya. Apakah perbuatan ini memenuhi butiran dan semangat syara dan perundangan negara?
Doa Tuan Guru
Tuan Guru berdoa agar Allah membuka (melunakkan) hati PM agar membayar royalti minyak kepada Kelantan, jika sekiranya PM terus-menerus enggan untuk membayar beliau mendoakan agar Allah menimpa bala ke atas PM kerana perbuatan tersebut agar menjadi peringatan dan pengajaran kepada yang lain.
Adakah tiada contoh yang Rasulullah pernah berdoa meminta agar dibala' orang-orang yang memerangi Islam?
Bukankah kita tahu dari hadis, Rasulullah membaca Qunut Nazilah selama sebulan dalam setiap solat fardu ke atas golongan yang memerangi Islam?
Kita juga mengetahui yang para ulama semenjak dahulu lagi telah menyusun himpunan wirid dan doa yang mereka namakan Hizbu an-Nasri 'ala al-A'da (bacaan untuk kemenangan ke atas musuh).
Antara yang paling tersebar amalannya ialah susunan Sheikh Abdul Qadir Jailani, Sidi Abu Hassan as-Shazili dan Habib Abdullah al-Haddad.
Semuanya mengandungi doa agar dimusnahkan orang menzalimi kita dan mahu memusnahkan kita.
Tanpa kita mengatakan yang PM atau Kerajaan Malaysia telah menentang Islam , tetapi perbuatan tidak membayar royalti kepada yang pihak yang sepatutnya mungkin boleh dihitung sebagai perbuatan yang zalim, memungkari perjanjian dan melanggari keluhuran Persekutuan.
Tuan Guru berdoa agar Allah yang menurunkan bala sebagai balasan ke atas perbuatan mereka, tentunya Allah itu kita yakini bersifat Maha Mengetahui, Maha Adil, Maha Pengampun dan Maha Keras Pembalasan-Nya.
Sekiranya doa itu dimakbulkan sekalipun, kita yakin balasan daripada Allah ke atas yang terkena doa itu adalah setimpal dengan perlanggaran dan keterlampuannya. Allah tidak akan menzalimi hamba-hamba-Nya, perbuatan jahat dibalas dengan setimpal sedangkan perbuatan baik akan dibalas berlipat ganda.
Penggunaan istilah laknat dalam al-Quran
Allah menyebut Allah melaknat orang yang mengatakan hati-hati mereka tertutup daripada menerima kebenaran Islam (al-Baqarah:88), orang yang menyembunyikan kebenaran agama (al-Baqarah:159), Ahlu al-Kitab yang mengatakan orang musyirikin lebih baik dan lebih mendapat petunjuk daripada orang yang beriman (an-Nisa’:52), orang yang memungkiri janji-janji selepas kemas perjanjiannya serta memutuskan apa yang diperintah Allah agar dihubungkan dan malakukan kefasadan di bumi (ar-Ra’du;25), Orang yang berdusta kepada Tuhan dan dianggap zalim (Hud:18).
Terdapat dua bentuk doa yang disebut di dalam al-Quran. yang mengandungi permohonan agar diturunkan laknat daripada Allah. Satunya apabila golongan ahli al-Kitab mendustai kebenaran Islam, lalu Allah mengajar agar kedua pihak melakukan ibtihal (doa yang bersungguh-sungguh) serta membawa anak isteri agar diturunkan laknat ke atas golongan yang berdusta (Ali-'Imran:61).
Satu lagi ialah doa pengikut kesesatan ke atas pimpinan mereka ketika mereka dihumban ke dalam neraka: "Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami mengikut pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami daripada jalan (kebenaran), ya Tuhan kami, timpalah ke atas mereka azab yang dua kali ganda dan laknatlah mereka, dengan kelaknatan yang dahsyat (al-Ahzab:67-68).
Semoga kita berusaha menghindari perbuatan-perbuatan yang mendatangkan laknat Allah ke atas kita di dunia ini dan di Akhirat kelak. Tiada jalan keselamatan yang lain kecuali jalan keselamatan yang Allah dan Rasul-Nya nyatakan.
No comments:
Post a Comment