Ku Duka sembang santai di kediamannya di Batu Buruk. |
Apakah yang mendorong Tengku menyertai PAS?
Pertamanya, saya ingin katakan bahawa saya menyertai PAS kerana Allah. Umur saya pun sudah mencecah 73 tahun, saya tiada apa-apa kepentingan, selain mahu menyaksikan Islam dan kebenaran tertegak di Terengganu dan di Malaysia amnya.
Saya melihat perkembangan politik dalam negara kita, keadaan sekarang ini begitu teruk dari segi penyelewengan, kemungkaran dan kezaliman yang dilakukan oleh pemimpin kerajaan Umno-Barisan Nasional, baik di Pusat dan di Negeri.
Saya bimbang, jika saya duduk diam sahaja di rumah, pandangan saya tidak laku kerana saya tidak di pentas politik. Sebab itu saya memilih PAS, yang saya rasa PAS adalah sebuah parti yang sesuai pada saya.
Tetapi sejak dulu saya baik dengan PAS. Saya cukup-cukup menghormati Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Malah semasa saya menjadi wakil rakyat Parti Semangat 46, saya sudah akrab dengan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut dan Adun Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.
Saya melihat pemimpin-pemimpin PAS begitu akrab dan mengambil berat tentang permasalahan rakyat. Kita hendak pemimpin macam inilah yang menjadi pemimpin kerajaan negeri. Semasa saya jadi Adun dahulu, sehingga sekarang pun saya masih rapat dengan rakyat.
Justeru, tujuan saya dengan memasuki PAS, kita boleh kemukakan pendapat kita dan membangkit isu-isu yang berkepentingan rakyat.
Agak lama Tengku tidak aktif dalam politik?
Ya..Selepas dibubar Semangat 46 pada bulan Jun 1996, saya dikira sudah bersaralah, main dengan cucu-cucu sahaja (ketawa).
Tetapi sebenarnya dalam politik tiada istilah bersara. Saya bercakap juga, saya menegur juga, malah ada yang meminta pandangan saya, saya terus memberikan pendapat.
Ada dakwaan Umno yang mengatakan Tengku pernah menyertai Umno?
Sebenarnya saya bukan menyertai Umno. Semasa Semangat 46 hendak dibubarkan, syarat Dr Mahathir Mohamad kepada Tengku Razaleigh Hamzah ialah, semua ahli Semangat 46 diminta menyertai Umno. Jadi, keputusan MKT. Ramai yang tidak setuju, tetapi akur dengan permintaan Presiden parti (Tengku Razaleigh) kerana hormatkan beliau.
Saya tidak pernah bayar yuran untuk masuk Umno. Tak tahu lah kalau Pusat (Ibu pejabat S46) yang bayar. Bukan saya seorang, ramai lagi punyai pandangan yang sama dengan saya. Semasa mesyuarat akhir MKT S46, bukan semuanya setuju, tetapi kita akur kepada kehendak Presiden.
Apa pandangan Tengku mengenai kerajaan Umno-BN sekarang?
Dalam konteks Terengganu, saya melihat pentadbiran kerajaan Umno-BN terlalu banyak kucar-kacir. Banyak penyelewengan, kemungkaran dan salahguna kuasa.
Saya tahu apa yang saya cakapkan. Saya tidak akan bercakap sesuatu perkara yang saya tidak ada bukti. Saya tidak buat fitnah. Banyak perkara yang tidak sepatutnya berlaku, dilakukan oleh pemimpin Umno-BN.
Contoh mudah ialah mengenai Zoo Kemaman. Belanja yang diperuntukkan RM100 juta. Pada pendapat saya tidak ada keperluan kita bebelanja besar untuk zoo. Pemimpin Umno-BN sila beritahu saya, di mana di Malaysia ini zoo yang mampu menjana keuntungan?
Kita tahu semua binatang itu harus dibeli. Memang dia tidak mengaku, tetapi kita tahu lah dia beli dengan harga yang mahal.
Kita lihat di Kuala Lumpur misalnya, ada korporat yang membantu dan sponsor makanan dan rawatan untuk haiwan. Tetapi hendak kata untung, memang tiada.
Kemudiannya, mengenai Zon Bebas Cukai di Tasik Kenyir. Ini semua projek tidak masuk akal. Kalau di negeri-negeri yang berkaitan dengan sempadan seperti di Kelantan, Perlis dan Kedah, kita faham. Ia tujuan untuk menarik pembeli dengan saingan harga dengan negara jiran.
Tetapi yang Umno buat di Terengganu dalam hutan, siapa hendak pergi? Buatlah cantik macam mana pun, ia tidak praktikal.
Sebab itu pada saya, peranan utama PAS sekarang ini ialah menukar kerajaan. Bukan semata-mata hendak memperbetulkan kesalahan kerajaan yang ada.
Saya juga bercakap dengan pemimpin-pemimpin Umno, tetapi no response. Mereka seolah-olah tidak mengendahkan teguran rakyat.
Apa pandangan Tengku mengenai royalti minyak Terengganu dan Kelantan?
Satu perkara yang paling mustahak ialah mengenai royalti. Royalti minyak ini, yang dibawa ke Dewan Undangan Negeri, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said menarik balik saman yang dibuat kerajaan PAS dahulu dengan alasan isu itu sudah diselesaikan.
Bila kita tanya dia (MB) selesaikan macam mana? Apa butiran bertulis mengenai penyelesaian itu..dia tidak jawab. Kita tegaskan, adalah hak rakyat Terengganu untuk tahu, kerana duit itu (royalti) bukan milik Umno, bukan milik MB, tetapi milik semua rakyat Terengganu.
Keseluruhannya rakyat Terengganu berhak tahu. Bila kita tanya dia kata ini maklumat sulit. Apa yang hendak disulitkan kita tiada apa yang hendak Umno tutup? Ini mesti ada masalah yang disembunyikan. Apa Ahmad Said hendak takut jika beliau tidak buat salah?
Insya Allah selepas ini, jika PAS dan Pakatan Rakyat menang, saya cadangkan kita bongkar semuanya dan beritahu rakyat apa sebenarnya yang berlaku. Bukan hendak menuduh sesiapa, ini adalah fakta yang harus kita beritahu rakyat, apa sebenarnya yang berlaku.
Begitu juga di Kelantan. Kelantan ada 1.5 juta rakyat, Terengganu ada 1.3 juta. Lebih 90 peratus rakyatnya orang Melayu, orang Islam. Apa yang Umno hendak permainkan orang Melayu-Islam ini? Kejap royalti, sekejap wang ihsan.
Pada saya, saya tidak boleh terima nama 'wang ihsan'. Wang ihsan ini hanya menghina kan rakyat. Sebab nama dia ihsan, dia boleh kata, "aku nak beri boleh, aku tak nak beri pun boleh. Semuanya atas ihsan.
Inilah kuasa yang dipegang Umno-BN untuk mempermainkan orang-orang Melayu khususnya. Cerita sebenar mengenai royalti ini tidak akan keluar dalam media masa yang dikuasai Umno. Sebab itu, kita harapkan Harakah dan Suara Keadilan untuk bersuara.
Mengapa agaknya Terengganu yang kaya dengan hasil minyak, tetapi rata-rata rakyat masih berada dalam kemiskinan?
Semasa dalam S46 lagi saya bawa slogan bahawa 'Terengganu Kaya Rakyat Miskin'. Sekarang ini mengikut jangkaan saya, kerajaan dan Petronas masih lagi berhutang RM5 bilion kepada rakyat Terengganu, yang perlu dibayar daripada wang yang disekat dahulu. Inilah kerja pemimpin Umno Terengganu yang menindas rakyat.
Sebab itu saya menyeru rakyat Terengganu menyokong Pakatan Rakyat. Pakatan komited untuk bayar 20 peratus wang royalti. Jangan cakap 20 peratus, jika 10 peratus pun Terengganu akan dapat 3 bilion setahun. Ini sesuatu yang amat baik untuk kepentingan seluruh rakyat Terengganu. Allahu Akbar.
No comments:
Post a Comment