TGNA, TGHA dan Anwar di Himpunan Royalti di Shah Alam |
Pada 3 Oktober lepas, rakyat Kelantan menyerahkan refrendum 150,000 tandatangan rakyat ke Pejabat Perdana Menteri Dato' Seri Najib Razak, petang Rabu lepas bagi menuntut pembayaran royalti petroleum yang dinafikan selama bertahun-tahun oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional.
Referendum tersebut dikirim khas menerusi konvoi royalti menuju ke Putrajaya yang dilepaskan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 2 Oktober.
Konvoi ratusan kereta dau Kota Bharu, terus menuju ke Shah Alam. Mereka disertai lebih 10 ribu hadirin yang menyertai ceramah mega tuntut royalti yang di adakan di Dataran Kemerdekaan.
Ceramah tersebut diadakan sempena dengan perbicaraan kes saman Kerajaan Negeri Kelantan terhadap Petronas di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada 3 Oktober.
Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika berucap malam tersebut, melahirkan rasa kesal terhadap Kerajaan Pusat yang menafikan hak royalti negeri itu.
"Saya yakin 100 peratus mereka tidak mahu melihat kejayaan PAS bila memerintah negeri.
"Umno telah menarik balik bayaran royalti (semasa PAS memerintah Terengganu) serta tidak pernah diberi royalti langsung (kepada Kelantan)," jelasnya.
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang pula berkata apa yang dituntut oleh Kelantan adalah hak mereka yang sebenarnya.
"Saya sebagai seorang nelayan telah mengunjungi pelantar minyak tersebut dan jika benar ia berada di luar perairan Kelantan sudah pasti saya telah ditangkap oleh pihak berkuasa kerana mencerobohi pengairan antarabangsa.
"Namun segalanya tidak berlaku sebaliknya saya diberi layanan oleh pekerja-pekerja di pelantar tersebut," jelasnya yang pernah sampai ke pelantar itu.
Sementara itu, Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim pula berkata, Pakatan Rakyat seperti dibentang dalam belanjawan mereka, telah memutuskan apabila menguasai Putrajaya, pembayaran tunai royalti sebanyak 20 peratus bagi empat buah negeri akan dilaksanakan serta merta.
"Selain itu juga kita telah bersetuju untuk menyerahkan sebahagian daripada lapangan kecil kepada kerajaan negeri untuk mereka menubuhkan sendiri syarikat minyak dan gas.
"Kita mahu syarikat kerajaan negeri terlibat bersama dalam perusahaan tersebut dan kerajaan pusat di bawah Petronas akan menjamin sebahagian daripada projek tersebut yang dijalankan sendiri oleh kerajaan negeri," ucapnya.
Turut hadir pada ceramah mega itu ialah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abd Rani Othman, Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti & Pendaratan Gas Negeri Kelantan, Dato' Husam Musa, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
DAP pula diwakili oleh Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw dan juga pimpinan Pakatan Rakyat bagi Negeri Sabah dan Sarawak serta wakil dari exco Kerajaan Negeri Selangor.
Program ceramah itu turut dimulai dengan solat hajat yang diimamkan oleh Presiden PAS sendiri.
Selain itu juga, Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (Royalti) atau 'R' bagi peringkat nasional yang melibatkan negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak dilancarkan pada majlis itu.
Pada keesokan harinya, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan membenarkan Kerajaan Negeri Kelantan mengemukakan rayuan terhadap tiga tuntutan yang ditolak Mahkamah Rayuan sebelum ini.
Tuntutan itu adalah memohon agar mahkamah menolak permohonan Kerajaan Persekutuan sebagai pencelah serta memohon mahkamah menolak permohonan Petronas membatalkan saman kerajaan negeri.
Satu lagi tuntutan adalah memohon penzahiran dokumen keputusan penyelesaian kes saman Kerajaan Terengganu terhadap Petronas sebelum ini.
Keputusan itu dibuat oleh panel lima hakim yang mendengar kes itu kira-kira jam 9 pagi ini.
Terdahulu, pasukan Konvoi Royalti Kelantan tiba di hadapan Istana Kehakiman Putrajaya seawal jam 7.30 pagi ini bagi mendengar keputusan hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Besar Kelantan Dato' Ahmad Yakub, Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Kelantan, Dato' Husam Musa, Dato' Takiyuddin Hassan, Dato' Abdul Fatah Mahmod, Dato' Anwar Tan, Dr Mohd Fadhli Hassan, Baihaqi Atiqullah, Che Abdullah Mat Nawi, Wan Ubaidah Wan Omar dan kepimpinan yang lain.
Bercakap kepada peserta konvoi di luar mahkamah selepas itu, Husam berkata keputusan tersebut memberi petanda awal bahawa 'pintu gol lawan sudah ditembusi'.
"Kita bukan sahaja bagi hak kepada Petronas hisap minyak, tetapi juga mebuat explorasi telaga baru.
"Tuan rumah masih kerajaan negeri, Petronas hanya pekerja upahan kita. Bila kita mintak, dia kata tak boleh bagi. Ini bagi kita tak logik," katanya.
Beliau juga berkata, kerajaan negeri tidak akan sesekali akan berkompromi dalam isu ini dan menolak cubaan membayar sebahagian sahaja wang royalti iaitu RM300 juta setahun untuk Blok PM301 tanpa sebarang tunggakan.
"Kita nak kesemua bayaran untuk keempat-empat telaga kita dengan jumlah tunggakan RM10.4 bilion," tegasnya.
No comments:
Post a Comment