Tuesday, December 27, 2011

Santai bersama Ustaz Haron Din


"APA khabar Mat (Ahmad Lutfi), apa khabar Di (Rashidi), lama tak jumpa," tegur Dato' Dr Haron Din selepas menyambut salam kami di pintu rumahnya, di Bangi, pagi Isnin 26 Disember lalu.

"Sila duduk," pelawa beliau terhadap kami, sambil melabuhkan punggungnya ke sofa. Suasana di sekeliling rumah banglo lama dua tingkat itu agak sibuk. Banyak aktiviti. Walaupun hari Isnin beliau tidak mengubat, beliau hanya mengubat hari Selasa, tetapi jalan masuk ke rumah beliau, yang bersebelahan dengan Pusat Rawatan Darul Syifa, senantiasa sibuk dengan pengunjung.

"Dato' kelihatan sihat, nampak penuh dengan aktiviti," tegur saya kepadanya. Ustaz Haron Din tersenyum, wajahnya kelihatan kemerahan dan segar pagi itu. Beliau kelihatan begitu cergas dan ceria.

"Tidak juga, ana masih belum sihat sepenuhnya. Hari itu baru keluar IJN, sihat sikit terus isi beberapa program, termasuk kelmarin di Terengganu," kata beliau.

Beliau menceritakan perihal kesihatannya dengan agak panjang lebar, termasuk beberapa sesi lawatan di IJN dan di Amerika Syarikat. Katanya, dalam tempoh dua minggu ini, beliau sedang menantikan laporan perubatan yang dihantar IJN ke AS, untuk diketahui rawatan selanjutnya.

Cuma kata beliau, jika jantungnya hendak dibuat by-pass lagi, keadaannya agak berisiko.

Sesekali beliau dan Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman bertukar-tukar cerita perihal jantung. Ahmad Lutfi juga mengalami komplikasi yang sama. Ahmad Lutfi juga masih menerima rawatan.

Mendengar kedua-dua mereka berbicara soal jantung, timbul keinsafan pada diri, betapa berharganya sebuah kesihatan yang dikurniakan Allah.

"Baru-baru ini, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat juga mendapat rawatan di IJN. Beliau kunjungi saya, dan kami berbual panjang.

"Saya sama seperti Tok Guru, kami perlukan kerehatan, tetapi kerana tugas dan amanah, kami terus seperti biasa, tanpa menghirau soal kesihatan," ujar Ustaz Haron.

Sebagai petugas parti, saya faham apa yang beliau maksudkan. Memang tiada break dalam perjuangan. Lihatlah, sebagai Timbalan Mursyidul Am PAS, Ustaz Haron walaupun masih dalam rawatan di katil IJN, masih sempat berbicara persoalan parti dan ummah bersama Ustaz Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS.

Ustaz Haron berbicara dengan kami agak panjang pagi itu. Maklumlah sudah lama tidak ketemu. Jam sudah menunjukkan hampir 1 tengah hari. Kami sudah mengira-gira untuk 'meminta diri', namun beliau melarangnya.

"Jom kita makan nasi dulu, Kak Jah (Datin Khadijah Md Salleh) dah siapkan," kata Ustaz. Apa lagi, saya dan Ahmad Lutfi mengekori beliau ke dapur.

Hidangan sudah tersedia. Ada beberapa orang di dapur, anak-menantu Ustaz juga ada sama. Tetapi kerana menghormati tetamu, mereka tidak duduk makan sama-sama. Mereka mempelawa kami makan bersama Ustaz Haron.

"Wah istimewa hidangan ni," kata saya pada beliau. Ustaz Haron terus menyendukkan nasi untuk kami.

Banyak menu dihidangkan, antaranya siakap goreng, daging burung goreng berempah, ikan masin jeruk, sambal telur dan beberapa jenis sayur.

"Ikan (siakap) ini Ustaz pancing sendiri, ikan masin ini hadiah Raja Perlis kepada Ustaz, rasalah sedap tu," kata Kak Jah kepada kami.

Saya dan Ahmad Lutfi berpandangan sesama sendiri. Lauk pauk yang disajikan memang sedap, sampai putih mata tengok. Tapi segan juga bila Ustaz Haron pelawa makan sampai ke dapur.

Satu lagi hidangan istimewa yang disajikan ialah buah Kambayau yang dibawa khas. Saiznya sebesar buah kana, berwarna unggu, rasanya lemak-lemak tetapi tawar.

"Kambayau ini hanya ada di Brunei, orang Brunei makan dengan ikan masin, ada juga yang cicah sambal belacan," kata Ustaz Haron.

Saya dan Ahmad Lutfi mencubanya beberapa biji. Tapi kami tidak berapa biasa makan, bolehlah makan sekadar buat ubat.

Seusai makan, kami dipelawa memakan buah-buahan yang baru sahaja diambil di kebun beliau berhampiran Sungai Merab. Rambutan, pulasan, langsat semua ada. Kebetulan Ustaz baru balik dari kebun pagi itu.

Alhamdulillah dah rezeki kami hari itu. Perbualan kami bersama Ustaz Haron dan keluarga beliau seperti tidak mahu berhenti. Namun kami juga faham beliau perlukan kerehatan, tetapi beberapa panggilan telefon yang beliau terima, nampaknya macam banyak lagi program dan temujanji yang hendak diisi.

Masa begitu mencemburui kami. Kami mengakhiri sesi bersama Ustaz Haron dengan secawan kopi putih yang dibancuh Kak Jah. Insya Allah ada kelapangan buat Ustaz, kami akan kunjungi lagi.

Mudah-mudahan Allah memberikan kesihatan kepada beliau untuk terus menggalas amanah perjuangan.

No comments: