Thursday, December 15, 2011

Petanda Umno sesat, menyesatkan Melayu


MURSYIDUL AM PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz sering menjadi bahan kecaman Umno, sehinggakan pada Perhimpunan Agung Umno, minggu lepas, nama Tok Guru sering disebut-sebut dalam perbahasan. Mengapakah Tok Guru tidak disenangi Umno?

Semua persoalan ini dijawab Menteri Besar Kelantan itu kepada wakil Harakah MOHD RASHIDI HASSAN dan IZWAN ABDUL HALIM di Rumah Kelantan, 10 Disember 2011.

HARAKAH: Boleh Tuan Guru huraikan beza doktrin PAS dengan Umno?

TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT: PAS diajar melalui Islam supaya manusia sedar bahawa segala-galanya menumpang nikmat Allah SWT. Bumi kita pijak Allah yang buat, udara kita sedut Allah buat, air kita minum Allah buat, bahkan seluruh anggota tubuh badan kita Allah buat. Maka bila kita menumpang nikmat Allah Taala kita wajib bersyukur.

Syukur ertinya buat yang Dia suruh, tinggal yang Dia larang. Perkara ini tiada dalam Umno. Umno tidak mengajar perkara ini, yang diajarnya menumpang jalan raya Kerajaan Pusat buat, itu dulu. Menumpang kemudahan-kemudahan telekom, Umno yang buat.

Umno mengira dia telah beragama bila dia buat masjid, bila ada guru agama di sekolah-sekolah, itu sahajalah (agama pada Umno). Sekarang kita berada di Malaysia. Bolehkah kita ambil setengah-setengah sahaja undang-undang Malaysia sebagaimana Umno ambil setengah-setengah hukum Allah.

Misalnya motokar, kita tidak mencuri, kita beli kerana undang-undangnya begitu. Tetapi ‘road tax’ (cukai jalan) tak bayar, lampu belakang tidak menyala, sedangkan itu salah juga undang-undang kerajaan.

Jika kita duduk bawah kerajaan kita kena patuh semua undang-undang kerajaan, mana boleh kita dengan Allah SWT kita ambil setengah-setengah. Bila kita duduk bawah kerajaan, tak kiralah Kerajaan Malaysia, Kerajaan Amerika dan mana-manapun, rakyat kena terima semua segala undang-undang, begitulah kita dengan Allah Taala, kena terima semua.

Mungkin ada yang keliru status rakyat dengan status hamba Allah?

Kita dididik oleh Islam hendaklah menjadi bertaraf hamba dengan Allah SWT, bukan menjadi taraf rakyat. Kita bukan rakyat Allah, kita jadi hamba 24 jam. Rakyat kalaulah kita tidak pernah buat salah dengan kerajaan, bila kita mati kita tidak diberi apa-apa oleh kerajaan kerana kita tidak buat salah dengan dia.

Polis datang rumah kita bila kita buat salah, kalau kita benar tak pernah datang pun. Tapi kita dengan Allah, kita benar dapat pahala, kita salah dapat dosa. Tiada masa kita ini kosong dengan Allah Taala.

Inilah cara kita berfikir kita sebagai hamba Allah dengan berfikir cara rakyat bagi Allah. Umno hanya sebut kita rakyat. Rakyat lain, hamba lain, hamba 24 jam. Hamba ini berasaskan “liya’budun” (untuk beribadah pada-Nya). Kalau kita ini rakyat Allah, maka kita boleh guling Allah macam kita rakyat Malaysia boleh guling kerajaan. Kita dengan Allah SWT nak guling macam mana, nak tukar macam mana?

Maknanya selama ini Umno keliru dan celaru?

Orang Cina tak melawan sangat PAS, yang melawan PAS ini orang Melayu Umno. Adakah dengan kehendak Umno, dia (orang Melayu) melawan PAS ini atau sebagai mata tombak (lembing) sahaja, (sedang) hulunya Umno pegang atau MCA pegang?

Jika Umno sendiri nak lawan, tiada sebab langsung. Sebab PAS bawa Islam, maka sepatutnya Umno sokong dan Umno tidak perlu wujud di atas muka dunia. Kerana PAS perjuangkan Islam, Umno tak perlu lawan PAS. Atau Umno telah jadi mata tombak, hulunya orang lain pegang. Ini bahaya, maknanya jadi alat orang lain. Kerana itulah timbul masalah celaru yang jadi melawan PAS ini. Bukan Islam di Malaysia ini jadi celaru, hendak turut PAS atau turut Umno.

PAS bertengkar dengan Umno, Umno bertengkar dengan PAS, bukan Islam terpinga-pinga pihak mana yang betul. Kita sebagai umat Islam bukan sahaja kita wajib berpegang kepada Islam, tetapi wajib juga dakwah Islam.

Ke mana sahaja kita pergi kita diwajibkan dakwah Islam. Di Malaysia ini sebab hampir sama bilangan Melayu dengan bukan Melayu ini, maka bukan Islam terpinga-pinga hendak menurut siapa. Bukan sahaja bukan Islam, Melayu juga terpinga-pinga juga hendak turut PAS atau Umno. Turut Umno dapat duit, turut PAS tak dapat duit. Semua ini Umno kena fikir kesudahannya.

Isu agama dipolitikkan sering jadi mainan Umno, pendapat Tuan Guru?

Politik ini sebahagian agama. Memperjuangkan Islam ini bukan kerja main-main. Bila kita Islam, maka menyebarkan Islam menjadi kewajipan, bukan sahaja solat wajib, bukan sahaja puasa wajib, bahkan sebarkan Islam, dakwahkan Islam menjadi wajib.

Jadi hendak sebarkan macam kalau Melayu sendiri tak faham. Ulasan Umno ialah agama lain, politik lain. Baik, kita hendak tanya Umno; bila politik tidak agama, pentadbiran negara tidak ikut agama, siapa dia yang jadi Ketua Kerajaan semasa Nabi kita di Madinah?

Kalau agama lain, politik lain, maka yang jaga politik masa Nabi di Madinah itu siapa? Kalau Nabi juga yang jaga sebagai ketua kementerian kewangan, portfolio sosial, ertinya Nabi Muhammad juga dengan agama, terlibat dengan Allah SWT. Kerana kerja-kerja Nabi Muhammad semua agama. Solat itu agama, berperang itu agama, kirim surat kepada raja-raja itu agama. Baginda letak cop mohor atas surat-surat itu, ini kerja apa?

Ini kerja politik, jadi bagaimana Umno boleh kata agama lain, politik lain? Raja-raja mana hendak terima kalau Nabi Muhammad hanya (seorang) imam sahaja. Raja-raja sekitar, Raja Parsi, Raja Mesir, Raja Rom Byzantin, Raja Hebyah, mereka tahu Nabi Muhammad bukan Tok Imam sahaja, dia Ketua Negara. Bila Nabi Muhammad itu Ketua Negara, maka kenapa Umno kata agama lain politik lain?

Maknanya, Umno tiada hujah, hanya putarbelit mereka sahaja?

Apa hikmah Allah lanjut dakwah Nabi Muhammad sehingga 23 tahun? Nak mengajar sembahyang puasa sahaja dua minggu pun cukup. Dua minggu itu pun dak kira lama mengajar orang sembahyang.

Tapi Nabi Muhammad diminta urus urusan hidup manusia, ‘the way of life’. Urusan ini mesti diurus oleh Nabi Muhammad sendiri, bagaimana berumah tangga, berjiran.

Mengurus kewangan, adakah sebarang harta boleh ambil semua, tidak! Ada had, ada halal, ada haram. Semua ini 23 tahun, bila cukup 23 tahun turun ayat (Quran) bahawa agama telah sempurna. Jadi 23 tahun memakan masa baru sempurna. Perkara apa, sembahyang? Sembahyang ini diwajibkan masa di Makkah. Dalam keadaan ditekan kafir Makkah, sembahyang diwajibkan.

Jadi bukan sembahyang sahaja jadi agama, tapi urusan hidup lain yang tidak boleh dibuat di Makkah kena mari ke Madinah membentuk sebuah negara sendiri. Kita baru sambut Maal Hijrah, sambutan ini ertinya ingati balik pengorbanan nabi menjalankan urusan agama termasuklah kewangan, mengurus sosial, budaya, pemikiran hingga 23 tahun.

Jadi Umno tiada hujah, bila tiada hujah inilah mereka guna ISA. Macam Raja Namrud dengan Nabi Ibrahim, bila Nabi Ibrahim kemuka cabaran minta Namrud buktikan kebenaran jika dia Tuhan, bawa naik matahari dari barat ke timur kerana Allah menaikkan matahari dari timur ke barat.

Bila Namrud tak boleh jawab, dia bakar (Nabi Ibrahim). Sepatutnya dia berterima kasih kerana Ibrahim mengajar dia, tapi dia bakar. Zaman sekarang tak bakar, tapi ISA.

Banyak tok-tok guru pondok kena ISA tak pasal-pasal kerana Umno tak boleh jawab. Sepatutnya hujah lawan hujah, bila orang lawan kita (hujah) kita sebutlah balik. Macam negeri demokrasi, orang hujah kita hujah. Ini orang hujah, tak boleh jawab ditangkapnya mereka, buang kerja, pindah tempat kerja. Ini semua tanda Umno itu sesat.

Dalam sembahyang kita berdoa agar kita tidak sesat, tapi jalan Umno hala ke sesat. Tak boleh jawab sepatutnya terima kasihlah. Ini tangkap orang, ISA orang, mengarut Umno.

Pandangan Tuan Guru mengenai perjuangan Melayu Umno?

Umno sibuk jaga Melayu sedangkan Melayu ni bangsa, tak payah jaga. Kerana bangsa ni tak boleh hilang. Kalau orang Melayu duduk di Kutub Utara seorang diri, Melayu juga dia.

Pergi ke mana pun, kalau duduk di London sejak dahulu sampai tak boleh cakap Melayu, bila tanya bangsa (dijawab) Melayu juga dia. Jadi Melayu tak payah jaga kerana bangsa ini tak hilang. Yang kena jaga ini perkara boleh hilang dan ada. Macam duit, kena jaga kerana boleh jadi hilang, boleh jadi tak hilang. Islam ini macam tu, Islam ni kena jaga, boleh jadi orang murtad kerana orang tak jaga dia.

Jadi benda kena jaga ni bukan bangsa tapi agama kerana boleh hilang dan boleh ada. Macam duit kita dapat masuk dalam beg, kita zip, masuk dalam poket seluar kita zip lagi kerana ia boleh hilang, boleh kena curi, boleh poket kita tembus. Umno dia jaga Melayu, tak jaga pun dia Melayu, sampai dalam kubur mati pun dia Melayu. Ini kesilapan Umno.

Kalau Umno ikut kata dia ikut kata Hang Tuah “Takkan Melayu hilang di dunia” habis begitu buat apa dia jaga juga? Ini Umno jaga benda yang tak hilang, PAS jaga benda yang boleh hilang; Islam, iman, ihsan. Sebab tu Jibril turun dari langit tanya Nabi tentang Islam, iman, ihsan. Dia tak tanya Arab, tak tanya bangsa.

No comments: