Monday, December 12, 2011

Ikhwan Muslimin bakal cipta sejarah di Mesir


PADA waktu ini perhatian seluruh dunia sedang beralih kepada perkembangan di Timur Tengah, khususnya di Mesir. Mesir sedang menghadapi Pilihan Raya Umum yang paling demokratik selepas lebih 40 tahun selepas Hosni Mubarak ditumbangkan menerusi demonstrasi rakyat yang bermula 25 Januari 2010.

Walaupun terdapat beberapa kelemahan, namun secara keseluruhannya, lebih 40 juta rakyat Mesir, pertama kalinya dapat mengundi secara bebas parti-parti yang mereka inginkan menjadi kerajaan. Mentadbir secara adil dan demokratik selepas terbelenggu dengan kekejaman diktator sekian lama.

Apabila diktator tumbang, golongan yang akan bangkit untuk menerajui kerajaan, adalah golongan yang Islam. Ini terbukti dengan perkembangan politik di Tunisia, Algeria, Libya, Maghribi dan kini giliran Mesir.

Perkembangan ini sudah tentu membimbangkan blok Barat, yang cukup bimbang fenomena kesedaran Islam, fenomena kembali kepada Islam, merebak dengan meluas dari Timur Tengah hingga ke Timur Jauh. Ianya menjadi suatu catastrophe yang mengancam blok Barat.

Membicarakan soal Mesir, ia bukan sahaja ancaman kepada Barat. Lebih utama lagi, perkembangannya membimbangkan Israel dan sekutunya, Amerika Syarikat.

Hari ini, media di seluruh dunia, khususnya televisyen Israel, begitu sibuk membuat analis tentang perkembangan Mesir, yang jelas menunjukkan kecenderungan rakyat memilih golongan Islam, menerajui kerajaan.

Seperti yang diramal Amerika, parti yang ditaja Ikhwanul Muslimin, iaitu Parti al-Hurriyah wal Adalah (Kebebasan dan Keadilan) mendapat sokongan besar rakyat. Diikuti parti Salafi, yang juga sebuah kumpulan Islam mendapat 20 peratus dan parti Kutlah Misriyah (Liberal) mendapat 15 peratus.

Pilihan raya Umum Mesir peringkat pertama yang melibatkan sembilan buah negeri melihatkan Parti al-Hurriyyah wal Adalah atau nama ringkasnya PJF mendahului keputusan bagi pertandingan kerusi berparti sebanyak 41 peratus atau sebanyak 3.5 juta daripada 7.9 juta undi.

Kemudian, ia akan disusuli dengan pilihan raya ulangan peringkat pertama bagi kerusi individu yang berlangsung selama dua hari. Pemilihan ini melibatkan 52 kerusi parlimen dipertandingkan semula, dengan PJF akan menentang lawannya di 45 kerusi.

Fakta pada PRU peringkat pertama yang diadakan pada 28 dan 29 November adalah seperti berikut:
- Melibatkan 9 buah negeri
- 13.5 juta pengundi
- 8.5 yang telah membuang undi
- 62 peratus nisbah yang membuang undi merupakan peratus tertinggi dalam sejarah Mesir
- 7.9 juta undi diterima
- 518 ribu undi rosak

Pilihan raya Mesir dibahagikan kepada tiga peringkat. Pertama, pilihan raya kerusi Dewan Rakyat. Kedua, pilihan raya kerusi Dewan Negara (Senat) dan ketiga, pilihan raya Presiden.

Bagi menyempurnakan tugasan, Suruhanjaya Pilihan Raya Mesir membuat tiga jadual. Iaitu bagi Dewan Rakyat ianya bermula 28 November 2011 sehingga 12 Januari 2012.

Manakala pilihan raya Dewan Negara akan bermula 29 Januari sehingga 11 Januari 2012, dan pilihan raya Presiden akan diadakan sekitar bulan Jun 2012.

Pilihan raya Dewan Rakyat meliputi 510 kerusi. Ia dibahagikan kepada dua jenis kerusi yang dipertandingkan. Iaitu kerusi berparti (Qoimah) atau kerusi individu (Fardy). 1/3 daripada 510 kerusi diperuntukkan untuk calon Fardy dan 2/3 daripadanya diperuntukkan kepada calon Qoimah.

Sebagai contoh di Kaherah, sebanyak 54 kerusi dipertandingkan. 1/3 atau 18 orang mestilah diambil dari calon Fardy, berbaki daripadanya seramai 36 kerusi diambil dari calon Qoimah.

Untuk calon Qoimah, SPR Mesir memperuntukkan empat hingga 10 kerusi bagi setiap daerah. Parti-parti yang bertanding perlulah menamakan beberapa penama yang mewakili parti mereka mengikut tertib dengan jumlah kerusi yang telah ditetapkan.

Sebagai contoh di Kaherah, ada 36 kerusi Qoimah itu dipilih daripada pecahan empat daerah. Daerah ini ialah daerah yang sama dengan daerah calon Fardy.

Bezanya ialah pecahan daerah Qoimah lebih kecil berbanding daerah Fardy. Untuk memudahkan kita memahaminya, ianya seakan-akan pecahan kawasan Dun dan Parlimen di Malaysia.

Setiap pengundi mesti memilih dua orang untuk menjadi calon mereka di daerah Fardy dan mesti memilih parti yang mereka sokong.

Syarat kemenangan bagi kerusi Qoimah ialah, calon berparti akan dikira menang mengikut peratus sokongan rakyat di daerah tersebut.

Sebagai contoh, SPR meletakkan peruntukan sebanyak 10 kerusi untuk daerah pertama. Sekiranya parti al-Hurriyyah wal Adalah mendapat 50 peratus di daerah tersebut, ia akan mendapat sebanyak 5 kerusi yang akan dipenuhi penama calon parti itu mengikut turutan teratas yang dihantar kepada SPR. Berbaki lima kerusi lagi akan diagihkan kepada parti yang mendapat peratus kedua dan ketiga tertinggi.

Berdasarkan perkembangan mutakhir ini, kita dapat melihat dengan jelas bahawa jika tiada aral, kumpulan pro Islam akan menguasai kerajaan Mesir, sekali gus mengembalikan sejarah kegemilangan Islam di bumi anbiya itu.

No comments: