BAGI sesiapa yang mengenali Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, sudah tentu mereka beranggapan beliau seorang ulama yang tersohor di serata dunia, dengan keilmuan dan ketokohan yang diwarisi daripada ayahandanya.
Tuan Guru yang lebih dikenali dengan 'Ayah Chik', mempunyai acara kehidupan yang amat padat. Beliau adalah Ahli Parlimen Marang dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Rhu Rendang, yang diwakilinya sekian lama. Nama Ayah Chik begitu sinonim dengan Masjid Rusila.
Kuliah pagi Jumaatnya menjadi ikutan rakyat Terengganu dan pencinta Islam dari seluruh negara sejak puluhan tahun. Penulis sendiri, sejak zaman persekolahan, sering mengikuti rombongan berkunjung ke Masjid Rusila seawal tahun 1980-an.
Ayah Chik sedar bebanan tugasnya amat besar kerana beliau adalah pemimpin utama bagi seluruh ahli PAS yang jumlahnya melebihi sejuta orang. Beliau harus memenuhi undangan rakyat di seluruh negara. Bahkan sering diundang mengisi forum-forum antarabangsa.
Namun, tidak ramai yang mengetahui bahawa, dari suatu perspektif yang lain, beliau adalah seorang nelayan yang hebat. Pengalamannya lebih 30 tahun 'bermain' dengan laut, bot dan ikan, jika dihimpun dan disusun, boleh dibuat sebuah buku ensaiklopedia yang hebat.
Dari memancing dan memukat ikan di daratan atau di lautan, sama ada di tasik, sungai, pesisir pantai, laut dalam, semuanya sudah diterjah Ayah Chik. Ianya sudah menjadi minat dan hobi beliau. Selain daripada memancing, Tuan Guru juga perenang dan penyelam yang hebat.
Ketokohannya sebagai ulama yang tersohor, tidak menghalang beliau bergaul mesra dengan para nelayan dan anak-anak muda, khususnya pengundi di kawasan Marang dan Terengganu.
Pemandu peribadi beliau, Yusof Mahmood yang lebih mesara disapa dengan nama Pak Yusof. Beliau sering menemani beliau ke laut dan tasik, setiap kali ada masa terluang.
"Saya mengikuti beliau sejak muda lagi, pada waktu itu anak-anaknya masih kecil, saya kadang-kadang jadi awak-awak. Sekarang ini anak-anak beliau sudah besar, saya jarang turun ke laut.
"Tuan Guru amat cekap memancing dan memukat. Dalam banyak-banyak ikan, beliau amat suka memancing ikan tenggiri dengan menggunakan umpan ikan hidup, seperti ikan selayang, isi ikan parang dan sebagainya," ujar Pak Yusof kepada penulis.
Menurutnya, pada awal dahulu, Ayah Chik hanya mempunyai bot kayu kecil. Dengan menggunakan bot kecil, antara lokasi utama untuk memukat dan memancing ialah di sekitar Pulau Kapas, yang paling hampir dengan pantai Marang.
Kemudiannya menggunakan bot fiber berenjin. Sekarang ini Ayah Chik mempunyai bot sebesar 30 kaki. Bot sebesar itu boleh memukat di laut dalam.
"Saya pun tidak pasti bot boleh pergi sejauhmana, yang saya tahu ianya jauh ke tengah laut sehingga tidak nampak daratan.
Menurut Pak Yusof, beliau baru sahaja menemani Ayah Chik memukat ikan di Tasik Kenyir. Di Kenyir Ayah Chik berjaya menangkap ikan patin yang beratnya dianggar mencecah 4 kg.
Mendengar cerita Pak Yusof terasa begitu seronok jika berpeluang memukat ikan bersama Ayah Chik. Tentunya banyak cerita yang dapat dinukilkan nanti.
Tetapi penulis tidak pernah mengikuti nelayan memukat di lautan, bila dengar orang yang tidak berpengalaman akan mengalami 'mabuk lauk' hingga lembik kerana muntah-muntah, penulis agak keberatan.
"Tak mengapa, kalau tidak biasa di laut, kita boleh memukat di Tasik Kenyir, insya Allah ada masa nanti kita atur dengan Tuan Guru," kata beliau.
(Gambar2 akan diupload kemudian).
No comments:
Post a Comment