Wednesday, January 04, 2012

Sebutir pasir yang dijadikan sebuah busut

TIMBALAN Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din yakin kemelut dalaman PAS boleh diselesaikan. Nasihatnya, supaya semua pihak bermaaf-maafan di antara satu sama lain dan meletakkan matlamat perjuangan lebih besar untuk dicapai. Ikuti wawancara beliau bersama wakil Harakah, Ahmad Lutfi Othman dan Mohd Rashidi Hassan di Bangi, 26 Disember 2011.

Harakah: Apa nasihat Dato' tentang isu dalam PAS yang hangat mutakhir ini?

DATO' DR HARON DIN: Di atas nama Haron Din, saya amat bersetuju dengan kenyataan Mursyidul Am PAS, bahawa semua pihak yang terbabit dalam pertelagahan, supaya berhenti daripada menggunakan media arus perdana.

Apa yang berlaku bukannya krisis, tetapi lebih merupakan salah faham yang boleh diselesaikan secara rundingan.

Pengalaman kita sebagai sebuah parti Islam yang sudah lama dalam kancah politik negara, sudah cukup untuk menyedarkan kita bahawa akhbar bukannya penyelesaian terhadap permasalahan yang kita hadapi. Lebih-lebih lagi, media pro Barisan Nasional.

Pada saya perbezaan yang wujud ini hanyalah sebutir pasir yang dijadikan sebuah busut dan diperbesar-besarkan. Saya mahu semua pihak berhenti bercakap. Jangan cakap apa-apa lagi.

Saya mahu kedua-dua pihak sama ada Dato' Mustafa Ali dan Dato' Dr Hasan Mohd Ali, bermaaf-maafan di antara satu sama lain. Ingatlah apabila kita bermaaf-maafan, ianya akan menambah nilai keperibadian kita.

Kita sudah sampai ke suatu peringkat yang matang. Oleh itu kita wajar merebut peluang untuk bermaaf-maafan dan kita masih belum terlambat untuk memperbaiki sebarang persepsi yang tidak baik terhadap PAS.

Oleh itu saya menyeru supaya semua pihak dalam PAS, harus berusaha meredakan perkara ini. Jangan ada tuding-menuding atau salah mempersalahkan. Islam membenarkan seseorang membuat tuduhan, tetapi mestilah mempunyai cukup bukti dan dibuat dengan penuh berhemah.

Yang indahnya kita dalam perjuangan, apabila kita menghadapi keadaan sebegini, pihak yang terlibat menyedari kesilapannya, meminta maaf dan menarik balik kata-kata yang tidak disenangi mana-mana pihak.

Musuh kita yang sebenar adalah Umno-BN, bukannya sesama pejuang Islam.

Saya amat gembira jika semua pihak yang terbabit meminta maaf secara terbuka. Jika kita meminta maaf atas ketelanjuran kita, ianya tidak akan mengurangkan apa-apa pun pada diri kita. Meminta maaf itu menambah nilai keperibadian seseorang muslim.

Bagaimana hendak kita elakkan perbalahan?


Misalannya jika kita mendengar jiran kita meninggikan suara, kita akan membuat kesimpulan bahawa jiran kita sedang bergaduh. Bila kita tidak mendengar apa-apa apabila mereka diam, maka kita akan berkata mereka sudah berdamai.

Samalah dengan kita. Selagi ada interbiu, selagi ada sidang akhbar, akan timbul macam-cama.

Mungkin ada pihak-pihak tertentu ada agenda lain menimbulkan isu dalaman PAS. Selama ini orang tidak bercakap soal PAS, orang hanya bercakap tentang masalah Umno-BN. Bertimbun kes rasuah, NFC, Awang Adek, macam-macam berlaku dalam Umno.

Isu kita ini tidak ada kena mengena dengan rasuah, ia hanyalah perbezaan pandangan yang mudah diselesaikan.

Apa langkah pimpinan?

Pada saya kita yang memimpin harus ada ketelusan dan tidak mengira status seseorang. Sesiapa yang menimbulkan permasalahan harus dipanggil. Jika Presiden salah pun kita harus panggil. Hatta jika Mursyidul Am sendiri yang tersilap, kita harus perbetulkan. Masyarakat melihat daripada mula, orang yang prihatin dengan PAS akan memerhatikan kita dan mengetahui sesiapa yang terlibat dalam konflik. Kita tidak boleh memanggil sebahagian dan membiarkan sebahagian yang lain. Yang terlibat harus dipanggil semuanya.

Kita tidak terlambat menyelesaikan permasalahan ini. Pertamanya, pada ketika isu ini timbul, Presiden PAS tidak berada di dalam negara. Jadi sebagai pemimpin, kita tidak mahu mendahului Presiden. Keduanya, saya melihat bahawa jika kita campur, takut ianya menjadi lebih besar. Bila kita diam buat sementara, kita harap isu ini akan reda. Kita tidak mahu ia semakin menjadi-jadi. Pada ketika ini, saya lihat suasana sudah semakin baik, alhamdulillah.

Daripada apa yang berlaku ini, kita harus mengambil iktibar dan kita harus mengelak daripada melemparkan tuduhan kepada mana-mana pihak sebelum ada bukti nyata dan pasti, seseorang itu benar-benar terlibat. Kerana Islam mengajar kita supaya bertanggungjawab dengan apa yang kita katakan.

Contoh jelasnya dalam soal menuduh seseorang berzina. Islam membenarkan pertuduhan, tetapi harus benar-benar ada empat orang saksi. Jika si penuduh tidak boleh membawa empat saksi, dia dibolehkan untuk dijatuhkan di bawah undang-undang kazaf. Bila sabit dengan kazaf, maka orang itu pula yang akan dikenakan hukum 80 rotan.

Jadi pengajaran jelas, kalau pun kita tahu tentang sesuatu perkara, harus ada bukti yang cukup. Jika tidak cukup bukti, jangan disebut sama sekali. Inilah pengajaran yang patut kita ambil untuk kita mengelak daripada membuat tuduhan.

Saya tidak merujuk kepada sesiapa. Saya bercakap soal umum. Jangan buat tuduhan.

Ada beza Negara Islam dengan Negara Berkebajikan?

Saya lebih suka mengambil pendekatan untuk menekankan bahawa PAS mempunyai dasar yang tidak pernah berubah, yang berpaksi kepad prinsip Islam yang sangat jelas.

PAS ada Majlis Syura, iaitu suatu badan yang sentiasa memastikan dasar PAS kekal dan tidak menyeleweng. Pendekatan, taktik atau strategi mungkin boleh berubah, tetapi tidak pada dasar. Taktik dan strategi akan berubah mengikut keadaan.

Harus ada kefahaman dan keyakinan kepada semua ahli PAS, bahawa yang menerajui PAS itu amat memahami. Memahami dasar dan memahami strategi.

Dalam soal negara kebajikan misalnya, kita tidak pernah lari daripada dasar Islam. Di dalam al-Quran, memang tidak di sebut walau satu ayat pun mengenai negara Islam. Yang ada hanya disebut 'baldatun tayibah warabbun ghafur'. 'Baldatun tayibah' boleh diterjemahkan sama ada negara yang baik atau pun negara kebajikan pun boleh.

Yang penting kepada kita ialah dasar tidak berubah. Inilah yang ditekankan oleh Presiden dan Mursyidul Am PAS.

Mengenai persepi negatif Melayu terhadap PAS?

Persepsi orangnya terhadap kita ialah kerana mereka lebih banyak terpengaruh dengan sebutan Umno. Ini kita katakan psywar. Orang-orang Melayu di kedai-kedai kopi di kampung sering dikelirukan media massa milik mereka.

Oleh itu saya mahu Harakah, menyebut-yebut selalu, bahawa PAS teguh dan tetap teguh dalam memegang dasar perjuangannya, dan PAS tidak pernah berganjak hendak melaksanakan hukum Islam. Tidak timbul sama sekali PAS menggadaikan dasar Islam, bila mana PAS bergabung dalam Pakatan Rakyat.

Kita mahu masyarakat Melayu yang bukan PAS, khususnya Umno, supaya sedar dan tahu bahawa PAS perlu lebih kerusi daripada rakan-rakannya, untuk menjamin dan memelihara martabat Islam dan Melayu.

Bagaimana kaum bukan Melayu menganggapi hal ini?

Kita mengharapkan agar kita mempunyai golongan bukan Islam, khususnya kaum Cina yang moderate. Hidup dengan tenang dan aman dalam negara. Mereka bekerjasama dengan orang Melayu dalam perniagaan dan politik. Menerima kuasa politik di tangan orang Melayu sebagai kaum yang majoriti. Kita harap mereka tidak membuat apa-apa tuntutan yang menyentuh sensitiviti orang Melayu seperti meminta jawatan Perdana Menteri dan sebagainya.

Umno sukarkan Melayu menyokong PAS?

Kita, khususnya orang-orang Melayu dalam unjuran politik, kita harus mempunyai matlamat untuk mengelakkan perpecahan.

Jika timbul perpecahan Melayu, kita akan ketinggalan. Kita mahu PAS menerajui kaum Melayu, iaitu Islam sebagai dasar pegangan. Tetapi orang Melayu masih tidak memahami hasrat PAS. Saya mencadangkan supaya orang-orang Melayu, khususnya dalam Umno, membuka minta untuk sedia menyokong PAS apabila BN tewas pada Pilihan Raya Umum nanti. Akan tiba suatu ketika nanti, apabila Umno-BN sudah tewas dan majoriti kerusi Parlimen ada pada Pakatan Rakyat, mana-mana wakil rakyat Umno yang menang boleh masuk PAS untuk memperkukuhkan kuasa Islam dan Melayu.

Soal ini walaupun tidak difikirkan sekarang, tetapi sampai suatu masa kita harus melaluinya. Pada masa itu tidak timbul soal PAS masuk Umno. Yang ada ketika itu orang Umno meninggalkan bahtera yang karam untuk menyertai PAS. Oleh itu kerusi PAS akan bertambah dan PAS boleh take lead. Ini harus difikirkan untuk menjadi situasi penyelamat kepada kuasa politik Melayu.

Bagi saya kita PAS harus mencongak situasi ini. Berhentilah dari bergaduh sesama sendiri. Jangan timbulkan orang PAS hendak masuk Umno. Saya tidak bimbang orang PAS berjumpa dengan Umno, saya tidak bimbang jika ada orang PAS yang hendak masuk Umno. Yang kita harus usahakan ialah orang Umno masuk PAS.

No comments: