APALAH malangnya Barisan Nasional di Perak. Hanya menjadi 'kuda tunggangan' orang-orang PAS sahaja. Bukan kuda betul-betul, tetapi hanya sebuah kapcai lama yang lampunya menunduk ke bawah macam tengkuk alien.
Jika dihitung usia kapcai 65cc tersebut, sama macam usia BN yang sudah menjangkau setengah abad. Dah tidak punyai masa yang lama, hanya menunggu untuk direhatkan, sama macam parti Umno-BN.
Kapcai berplatkan BN ini menjadi 'kuda tunggangan' mantan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang melawat kawasan yang diwakilinya iaitu Dun Pasir Panjang.
Dengan menaiki motosikal kapcai 65 CC jenis Honda yang cukup antik, dipinjamkan oleh seorang bekas ahli Umno, Nizar menaiki motosikal melawat Dun beliau sehari suntuk.
Sepanjang perjalanannya dari Pusat Khidmat Adun Pasir Panjang ke hospital, banyaklah orang yang memerhatikan beliau menunggang matorsikal antik tersebut dan sambil mengangkat tangan melambai-lambai kepadanya.
Tidak kurang dari mereka yang terkejut kerana bekas MB naik motosikal. Ada juga peniaga jalanan yang tersipu-sipu segan apabila Nizar berhenti sambil menegur mereka.
Kebiasaannya, bagi sesetengah wakil rakyat, khususnya yang sudah mencapai status Menteri atau MB, kebanyakan mereka menjenguk kawasan dengan menggunakan kereta mewah. Habis cekai pun (kata orang muda) naik Mercedez mata belalang.
Bagi Nizar, menjadi seorang wakil rakyat bukan sahaja berada di dalam Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat, atau sekadar berceramah di kampung-kampung memberi penerangan mengenai kemelut politik negara semata-mata.
Walaupun sibuk dengan tugasnya sebagai AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Nizar tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai Adun. Beliau sangat-sangat menjiwai kehidupan rakyat, khususnya golongan marhaen dan rakyat bawahan.
Walaupun beliau terpaksa menjaga dua tempat yang berbeza, namun beliau masih mampu membahagikan masanya menemui rakyat. Sikapnya yang ramah, mudah berbual, terlalu mesra, cukup menyenangkan hati sesiapa sahaja yang menemuinya sama ada di kawasan Dun Pasir Panjang dan di kawasan Parlimen Bukit Gantang.
Beliau yang cukup "humble" dengan rakyat tidak mementingkan sangat soal protokol. Jadual lawatannya dipenuhi dari awal pagi hingga ke larut malam. Tidak nampak langsung riak wajahnya tanda keletihan.
Dalam lawatan itu Nizar menemui pesakit di Hospital Seri Manjung. Kebetulan ada beberapa orang pesakit yang berada di wad hospital tersebut terdiri dari pengundinya di Pasir Panjang.
Di wad hospital beliau menemui beberapa pesakit khususnya kencing manis yang kronik di wad 7. Berbual dan bertanya khabar dan kemudian membacakan doa agar pesakit ini sembuh sedia kala. Pesakit merasa terlalu gembira dengan kehadiran wakil rakyat mereka.
Selepas berkunjung ke hospital beliau ke Kampung Teluk Pencalang, berhampiran dengan tambatan bot-bot kecil nelayan pantai yang ke laut mencari ikan. Di sini terdapat gerai-gerai menjual hasilikan yang baru ditangkap. Terdapat juga penjual buah durian yang menjual buah durian di tempat ini.
Beliau juga sempat berbual-bual dengan para pengunjung yang kebanyakannya penduduk tempatan. Bila waktu maghrib tiba, Nizar menunaikan solat maghrib di Surau Pasir Pandak yang tidak jauh dari kawasan tersebut.
Beliau diminta untuk menyampaikan kuliah maghrib di surau tersebut dengan tajuk tuntutan iman, tuntutan hijrah dan tuntutan jihad. Ucapan dan huraian ceramahnya sangat menarik dan para jemaah tidak berganjak mendengarnya sehingga selesai. Begitulah rutin harian Nizar sebagai wakil rakyat di kawasan ini.
No comments:
Post a Comment