Wednesday, January 04, 2012

Umno-BN makin sulit jika saya disumbat ke penjara - Anwar

Tanggal 9 Januari bakal menjadi tarikh keramat kepada rakyat Malaysia jika Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim disumbat ke tirai besi oleh penguasa yang zalim dan mengikut nafsu serakahnya. Umno-BN sedang merancang bagaimana untuk menyekat pengaruh Pakatan Rakyat dalam mencapai kemenangan di peringkat Kerajaan Persekutuan, dan dengan isu tuduhan liwat kedua Anwar ini, mereka merasakan ini sahaja jalan menutup pelan ke Putrajaya yang digagaskan Pakatan Rakyat.

Bagi Anwar ia silap, dan keutuhan Pakatan Rakyat bukan kerana Anwar, sebaliknya kesepakatan yang terjalin dalam menentang dasar kerajaan Umno-BN yang sangat menyeleweng.Membic arakan isu berdepan tarikh 9 Januari, wakil Harakah,

MOHD RASHIDI HASSAN, WAN NORDIN WAN YAACOB dan Jurugambar, WAN ZAHARI WAN SALLEH menemui Anwar di pejabatnya, pada 3 Januari lalu di Merchant Square, Tropicana.

HARAKAH: Bagaimana persediaan Dato' Seri dan parti serta Pakatan Rakyat menjelang tarikh 9 Januari ini?

DATO' SERI ANWAR IBRAHIM: Ya..kita kena hadapi dengan sepenuhnya, saya tumpu kepada keluarga dalam dua tiga hari ini, dan mereka cukup bersedia. Bagaimana kita melihat ini persoalan. Isu kezaliman, tugas mereka Umno-BN ini menghina dan menzalimi dengan media mereka menyerang dan mengaibkan. Jika berdasarkan fakta dan hukum tak perlu ada pendakwaan pun (dalam kes liwat kedua membabitkan pembantunya, Saiful Bukhari Azlan), dan saya harus dibebaskan, tetapi apa yang kita lihat (setakat ini) keputusan mereka (Umno-BN) selalunya ikut nafsu serakah mereka, tetapi insya-Allah bagi saya, saya sedia apakah penjara atau bebas, sebarang rayuan, jika bebas program kita boleh berjalan, jika terpenjara kita akan terus lawan. Apa jua keputusannya, ia bakal menjadi titik noktah kepada masa depan Umno pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Apakah tujuan Umno-BN dalam kes ini?

Tujuan mereka itu adalah untuk menjejaskan kesepakatan dan kekuatan dalam Pakatan Rakyat, tetapi saya tidak fikir ia mampu menggugat kesepakatan dalam Pakatan Rakyat, saya ada bersembang panjang dengan Ustaz Hadi (Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang), pimpinan PAS lain dan pimpinan KeADILan serta DAP apa yang kita jangka tentang perbicaraan saya ini dan apa peluang dan apakah gambarannya. Umno cuba gambarkan tentang bagaimana kononnya Anwar seorang yang bermasalah moral, tetapi ini semua sudah difahami oleh pimpinan PAS dan DAP akan ia suatu fitnah.

Sebarang kemungkinan berlaku kita dah bincang, mesyuarat beberapa kali kita fokuskan bagaimana pelan bertindak selepas ini. Perjuangan ini bukan soal Anwar semata-mata, ianya adalah perjuangan rakyat menolak nafsu serakah penguasa yang zalim.

Jika Dato' Seri dimasukkan ke penjara, mereka merasakan lebih mudah untuk mereka mendapat keyakinan rakyat lantas mengkucar-kacirkan Pakatan Rakyat?

Itu tidak mudah juga kerana jika mereka sumbat saya ke penjara, ada kesan sampingannya orang akan melihat masyarakat bukan Melayu semakin tidak menyokong mereka, akan datang masalah besar di kalangan Melayu yang akan terpecah dua sokongannya, dan sebenarnya Umno-BN bimbang akan keyakinan mereka kini untuk mendapat sokongan Melayu juga bermasalah. Justeru sebarang kemungkinan mereka bertindak dalam kes ini memberi kesulitan kepada mereka. Kesannya amat besar.

Apakah gelombang baharu seperti pada 1998 akan berlaku pada 9 Januari ini jika sebarang kemungkinan Dato' Seri akan ke penjara?

Saya tidak tahulah, tetapi saya melihat ada suatu lonjakan semangat yang baharu sedang berlaku. Kita dapat melihat bahawa ceramah-ceramah kita (Pakatan Rakyat) sedang diberi perhatian yang cukup besar kalangan rakyat. Kita juga mahu pimpinan Pakatan Rakyat beri perhatian juga mengenai isu-isu semasa membabitkan dasar negara bukan sekadar isu penzaliman ke atas saya. Saya nasihatkan kawan-kawan, semua memanfaatkan kesempatan yang ada (gelombang baharu) untuk menjelaskan juga isu nasional lain, isu lembu (isu skandal penyelewengan NFC) isu rasuah dan sentimen antara agama yang menjadi isu besar, isu perkauman ala -asabiyyah Umno perlu kita tangani. Ini suatu cabaran kepada kepimpinan Pakatan Rakyat dalam mana ia suatu cabaran dakwah yang lebih luas. Kita perlu fahamkan rakyat bahawa Umno-BN ini membawa isu perkauman.Umno membawa isu asabiyyah bangsa yang membawa kepada perkauman sempit, ini sedang dipertahankan Umno, saya tak mahu apologetik dalam hal itu.

Berbalik kepada soal perbicaraan kes Dato' Seri di peringkat awal dahulu terlalu banyak percanggahan besar mengenai bukti DNA dan percanggahan antara saksi, namun semuanya cuba ditutup dan akhirnya Umno-BN memainkan isu sumpah, bagaimana Dato' Seri melihat?

Ada sebahagian kecil yang tidak melihat hal ini, tetapi apa lagi pilihan kepada Umno-BN untuk mempertahankan kuasa mereka dan Umno-BN mengesahkan fitnah ini dengan pelbagai kaedah. Persoalan sumpah ini yang sengaja direka oleh kaki mabuk, orang yang memiliki syarikat arak pun dibiarkan menyebut soal sumpah kononnya menurut Islam. Soal ini tidak difikir oleh umno berhubung syarat sah seseorang yang mahu mengangkat soal sumpah ini. Mereka ini memperalatkan agama sebagai senjata politik dalam berlawan dengan isu ini. Jadi saya melihat ada kecenderungan bahawa isu ini tidak kira salah betul, mereka teruskkan, jika mereka ikutkan fakta mereka akan undur dalam kes ini. Tetapi dari awal lagi kita dapat melihat tujuan Umno membawa kes ini (liwat) untuk menghilangkan bibit keyakinan rakyat ke atas saya dan Pakatan Rakyat. Bayangkan orang yang siuman mustahil boleh melihat setiap hari saya diserang dan difitnah dengan pelbagai isu, sebut sahaja soal masalah ekonomi, politik, dan sebagainya semua mahu disalahkan kepada Anwar. Jadi saya ini macam garuda yang menguasai, ini bukan soal tanggapan bagi mereka-mereka yang lemah (pemikiran), tetapi menteri sendiri menjawab di Parlimen terpaksa menyalahkan saya (Anwar).

Kini wujud ketakutan di peringkat Umno tentang Anwar-fobia, bagaimana Dato' Seri melihat?

Anwar-fobia ini masih terlalu kuat, semasa himpunan Umno dan sebagainya ada igauan tentang peranan Anwar suatu dahulu, pengaruhnya.Saya ingat pada 2004, ada yang tanam kecurigaan mungkin Anwar masuk Umno semula berdasarkan pengalaman semasa Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dahulu. Tetapi ini salah, isu saya ini ialah isu dasar yang terlalu besar dan soal tahap budaya dan kerangka perjuangan yang terlalu jauh dengan Umno untuk bersama dengan Umno semula.

Teman=teman lain yang mahu berbicara soal bersama dengan Umno, ini mereka tidak faham tentang soal falsafah, mutu dan akhlak kepimpinan Umno yang ada hari ini. Jika mereka tahu mereka akan tahu bagaimana Umno ini samada soal fahaman agama Melayu dan bahasa dan ekonomi Melayu, soal moral soal negara hukum, tiada titik pertemuan antara kita dengan Umno. Semasa saya Timbalan Presiden Umno dahulu, bagaimana saya bangkitkan soal gelombang kebangkitan Islam, tetapi kini sudah langsung tiada.

Maknanya titik pertemuan dengan Umno sudah tiada?

Tiada titik pertemuan dengan Umno, jika dalam keadaan sekarang ini ada yang mahu bincang titik pertemuan, saya mahu tegaskan dengan Umno sukar dan tidak boleh diterima sama sekali.

Isunya kini kadang-kadang kita melihat ada yang membawa agenda bahawa Umno ini Islam dan Melayu, sedangkan DAP ini bukan Islam bagaimana dalam hal ini?

Betul jika itu pandangan untuk memohon Umno buat perubahan tiada maslaah, tetapi dalam soal DAP ini, mereka tidak menentang negara hukum. Apa yang kita sepakati, kita menentang kezaliman, penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa, ini semua disetujui DAP. Kegiatan dakwah, umpama di Pulau Pinang jauh lebih baik sekarang berbanding semasa Umno-Gerakan dahulu. Soal pelaksanaan berbeza kerana kongkongan fahaman jumud Umno ini, saya tidak menyatakan bahawa DAP lunak kepada Islam, namun apa yang kita cerakinkan dalam dasar kita, bagaimana Islam tetapi soal prinsip negara hukum ini disetujui DAP, dalam masa yang sama tidak pula disetujui Umno. Bagaimana rasuah pimpinan ini direla Umno tetapi DAP tidak setuju, penghinaan terhadap kaum lain, ini tak disetujui Islam.

Ada yang berpandangan bahawa DAP tidak pernah buat kenyataan mendukung Islam Ya ini saya terima, tetapi lebih parah lagi jika orang yang menguar-uar Islam sepereti Umno tetapi membawa contoh buruk. Bila Malaysia dipuji oleh Amerika Syarikat dan UK kononnya negara Islam moderate, saya bantah kerana amalan sebenarnya Malaysia ini Umno merelakan rasuah, bukan negara hukum, rakyat ditindas ekonomi semakin teruk dan ini tidak mencirikan negara Islam.

Maknanya dengan Umno ini tiada ruang untuk kita melakukan perubahan?

Bagi saya jelas bahawa ikut prinsip dasar yang dibawa oleh agama Islam itu menuntut suatu perubahan sepertimana yang kini sedang dibawakan oleh Pakatan Rakyat bukannya Umno. Kita ada kemajuan besar berbanding dahulu, mengapa kita perlu tewas kepada agenda umno, jika mereka (Umno) mahu dijadikan kelompok kecil bergabung dengan kita dan mengikuti apa agenda kita tidak mengapa, tetapi jangan dijadikan Umno itu sebagai kelompok besar yang akan menggunakan kita, dan menetukan arah kita.

Apa yang dipersetujui jika saya bersama dengan Umno? Saya dapat Tun saya boleh jadi menteri? Apakah itu pertimbangannya? Ataupun sebenarnya kita mahukan negara hukum ditegakkan, Islam dimulikan dan syariat ditegakkan, keadilan ekonomi rakyat dan jangan ada khazanah negara dipunggah dan dibolot seperti yang dilakukan oleh Umno. Hal ini harus difahami bersama.

Berbalik kepada kes perbicaraan liwat kedua, bagaimana diperingkat Dato' Seri dan Parti serta Pakatan Rakyat berdepan dengan pilihan raya umum ke-13 sekiranya Dato' Seri terpenjara?

Dalaman KeADILan kita dah buat persiapan, dalam Pakatan Rakyat pula perbicangan dah telah hampir selesai, soal muafakat pimpian kita setuju, soal pembahagian kerusi kita setuju keseluruhannya, hanya ada beberapa kerusi sahaja yang masih belum selesai namun tidak menjejaskan persiapan kita menjelang PRU-13. Andaian Umno bahawa dengan penjarakan saya lemahkan Pakatan Rakyat ini meleset, di sebaliknya rakan-rakan kita melihat ini suatu kesempatan memperkukuh saf kita.

Kita dapat melihat Umno takut dengan gelombang rakyat yang sedang bagkit dalam kes ini, mereka menggunakan pihak berkuasa untuk memulakan sekatan ke atas hak bersuara rakyat?

Umno ini, dia apabila nak menzalimi orang tetapi nak suruh orang diam, politik Umno kami zalimi kamu tetapi rakyat kena diam. Tindakan ini sama seperti politik Hosni Mubarak, Muammar Gaddafi, dan di Tunisia. Skripnya sama, Umno tuduh Anwar meliwat, berapa ramai pimpinan Ikhwan Muslimin pula dituduh meliwat oleh Mubarak? Ramai...berapa orang Sheikh yang terkenal di Iraq yang menjadi guru kepada Sheikh Taha Jabir dituduh homokseksual, mereka ini ramai dituduh tetapi tidak benar tuduhan itu. Ini sistem mengaibkan, saya sampai peringkat tidak mahu mempedulikannya.

Mereka ini sudah tidak mempeduli hukum, jika dahulu pertikaian soal bagaimana air mani dan DNA diperolehi, tetapi kini mereka tidak fikir soal hukum.

Menghukum itu soal Qazaf, tetapi mereka tidak terima.Sebab itu saya kata kita kena offensive.Betul isu Anwar, ada orang kata saya suka saya 'dihighlight', tetapi kita nak kena kata ini soal sistem, bukan soal Anwar lawan Tun Dr Mahathir Mohamad, ini sistem yang dibawa Pakatan Rakyat lawan dengan sistem Umno-BN yang sudah korup. Ingat sahaja suatu ketika dahulu, penubuhan Parti Keadilan Nasional, kononnya hanya untuk membela Anwar, dan ada tanggapan menyatakan bahawa selepas saya bebas pada tahun 2004, KeADILan akan terkubur, ini semua silap. semasa Anwar di penjara atau keluar, parti (KeADILan) semakin mantap, selepas saya dibebaskan ada yang kata KeADILan akan terkubur, tetapi hingga kini KeADILan semakin mantap, dan paling penting kita menang besar pada pilihan raya umum 2008, ini sebagai buktinya.

Bagaimana pula Dato' Seri melihat Dato' Seri Najib Tun Razak dalam soal pentadbirannya dan politiknya?

Najib ini saya kenal dia tak ada satu pendirian tegas, Dia ambil Public Relation, media consultan, ini secara umum, tetapi dia tiada keyakinan, dia ini 'media savvy', jika dalam kes Shahrizat, ini nampak 'drag' panjang, dia tak ambil tindakan, dia sosoknya tidak keras sangat, sosok sederhana, tetapi tiada kekuatan politik.

No comments: