Wednesday, April 14, 2010

Zaid ajak rakyat Hulu Selangor tolak BN


DATO' Zaid Ibrahim mengakui beliau dihubungi Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Pakatan Rakyat di Hulu Selangor lebih awal. Sebagai ahli parti yang taat, beliau membuat persiapan dengan mengadakan temuramah di kediamannya lebih awal dari tarikh pengumuman. Tetapi jika parti memilih orang lain sebagai calon, beliau menerimanya dengan hati yang terbuka. Ikuti wawancara wakil Harakah MOHD RASHIDI HASSAN dengan beliau di Tropicana Golf Resort, 11 April lepas.

HARAKAH : Boleh Dato' jelaskan latar belakang.

ZAID IBRAHIM : Saya dilahirkan di Kampung Chap, Bachok, Kelantan pada tahun 1951. Dilahirkan dalam keluarga kampung biasa di kawasan pedalaman.
Pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bukit Marak berhampiran kampungnya, di mana saya terpaksa berjalan kaki selama sejam setiap kali pergi dan pulang dari sekolah, sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Rendah Sultan Ismail.

Apabila keluarga berpindah ke kawasan setinggan di Kota Bharu, selepas ayah saya, yang sebelum ini membuat kerja-kerja kampung sambil berniaga kecil-kecilan untuk menyara keluarga, mula berniaga ayam di pasar besar Kota Bharu.

Semasa di darjah lima, saya menerima Biasiswa Kecil Persekutuan sebanyak RM15 sebulan berdasarkan prestasi baik pelajaran dan akibat kesulitan kewangan keluarganya.

Inilah saat paling menggembirakan dalam hidup saya, kerana tanpa bantuan tersebut, saya berkemungkinan tidak dapat meneruskan persekolahannya.

Menyedari hakikat kemiskinan keluarga, saya berusaha gigih dalam pelajaran, Alhamdulillah saya berjaya ke salah sebuah sekolah menengah yang terbaik di Kota Bharu, Kolej Sultan Ismail.

Saya mahu terus timba ilmu, meluaskan pergaulan dan mencari pengalaman baru di negeri orang, berbekalkan duit saku RM 5 dari ayah, saya berpindah ke Johor Bharu, untuk meneruskan pendidikannya di Maktab Sultan Abu Bakar di Johor Bahru.

Ketika itu saya berasa sedikit terpinggir. Semuanya anak-anak orang besar dan hebat. Sebagai orang luar dan pertama kali pula bergaul dengan orang-orang bukan Melayu.

Tetapi dengan galakan dari guru-guru, saya berjaya memupuk bakat berpidato sehingga mewakili sekolah sebagai pendebat Bahasa Inggeris.

Selepas di Johor Bahru, saya meneruskan pendidikan tingkatan enam di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) di Ipoh, di mana saya mula berjinak-jinak dengan bahan bacaan politik dan sastera di samping meneruskan minat berpidato dan menulis.

Selepas itu?

Saya melanjutkan pelajaran di bidang undang-undang di Institut Teknologi Mara (ITM) di Shah Alam pada tahun 1971. Di ITM, saya meneruskan minat dalam bidang berpidato dan mula aktif dalam persatuan pelajar.

Selepas menerima ijazah tiga tahun kemudian, saya bekerja sebagai eksekutif jualan di Pulau Pinang selama setahun untuk meringankan beban kewangan keluarga di kampung.

Kemudian saya ke London dengan pinjaman MARA untuk mengambil peperiksaan akhir Bar.
Akibat kesilapan di peringkat pemerosesan permohonan, pinjaman yang diterima tidak merangkumi bayaran tuisyen, saya terpaksa belajar sendiri dengan meminjam nota dari teman-temannya di sebelah malam. Namun begitu, Alhamdulillah saya lulus peperiksaan Bar dalam masa 6 bulan.

Adakah Dato' teruskan kerjaya guaman?

Ya. Selepas pulang ke tanah air, saya memulakan latihan chambering dengan syarikat guaman Shook Lin & Bok, syarikat guaman terbesar di Malaysia pada masa itu. Dari 1976-1979, saya memulakan kerjaya guamannya bersama dengan firma Raja Aziz Addruse sebelum menimba pengalaman di firma-firma lain.

Tahun 1987, saya nekad untuk tubuhkan syarikat guamannya sendiri, Zaid Ibrahim & Co (ZICO). Walau dihimpit cabaran kewangan kerana tidak mempunyai senarai pelanggan besar yang kukuh pada awalnya, selepas berjaya diterima sebagai syarikat guaman untuk UEM-Plus Highway, ZICO mula diterima oleh pelanggan korporat dalam dan luar negara.

Dengan rakan kongsi yang pintar dan setia dan reputasi perkhidmatan guaman yang cemerlang, selepas 30 tahun, ZICO kini adalah syarikat guaman terbesar di Malaysia, dengan lebih 130 orang peguam dan ratusan pekerja lain dengan pejabat cawangan di Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Emiriah Arab Bersatu. Sejurus selepas dilantik menjadi menteri, saya lepaskan kepentingan di dalam ZICO.

Bagaimana dengan penglibatan politik?

Semenjak usia remaja tatkala mula mengikut ayah mendengar ceramah-ceramah pemimpin politik era 1960-an di Kota Bharu, terutamanya sekali para pemidato PAS yang hebat.

Saya mula menjadi ahli Umno Bukit Bintang sekitar 1986 tetapi mula bergiat secara lebih aktif di Kelantan selepas pilihan raya 1990.

Tahun 2001, beliau menjadi Ketua Bahagian Umno Kota Bharu dan kemudian dipilih menjadi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan pada tahun 2003.

Oleh kerana saya dilihat mempersoalkan kuasa pemimpin Umno, pada tahun 2005, saya digantung dari jawatan Ketua Bahagian. Namun, saya terpilih menjadi Ahli Parlimen Kota Bharu dari 2004-2008.

Walaupun tidak terpilih untuk bertanding dalam pilihanraya 2008, saya terus menyuarakan pandangan kritisnya secara terbuka terhadap hala tuju BN dan masalah kepemimpinan di dalam Umno.

Sejurus selepas Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008, saya ditawarkan jawatan sebagai Senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri "untuk membuat perubahan dalam sistem perundangan dan badan kehakiman".

Apa puncanya Dato' meletakkan jawatan menteri?

Tidak sampai beberapa hari selepas menjadi menteri, saya memulakan proses memohon maaf terhadap hakim-hakim yang dipecat semasa Krisis Kehakiman 1988 dan pemberian saguhati kepada mereka, walaupun dikritik hebat oleh pelbagai pihak di dalam Umno.

Namun pada September 2008, selepas 5 bulan dan 27 hari menjadi menteri, saya meletakkan jawatan atas dasar prinsip kerana tidak bersetuju dengan penahanan penulis blog Raja Petra Kamaluddin, Ahli Parlimen DAP Teresa Kok dan wartawan Tan Hoon Cheng di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Saya menjadi menteri paling singkat perkhidmatannya di Malaysia, dan menteri yang benar-benar meletakkan jawatan atas dasar prinsip.

Selepas menulis surat terbuka kepada Perdana Menteri Malaysia tentang isu ISA pada bulan yang sama dan muncul di majlis-majlis anjuran parti pembangkang selepas itu, saya akhirnya dipecat dari Umno pada Disember 2008.

Pada bulan Jun 2009, saya menyertai Parti Keadilan Rakyat, setelah yakin akan landasan parti tersebut dalam memperjuangkan hak rakyat dan demokrasi tanpa bersandarkan pada sentimen perkauman.

Penglibatan Dato' dalam aspek lain?

Sebagai seorang yang dibesarkan dalam keluarga yang susah, saya cukup prihatin dengan masalah kemiskinan dan kebajikan rakyat.

Seawal tahun 1998, saya dan isteri menubuhkan Yayasan Orang Kurang Upaya (YOKUK) di Pengkalan Chepa untuk memberikan perkhidmatan kepada terutamanya warga emas yang kurang upaya seperti melibatkan mereka dalam kegiatan riadah dan berkebun.

Kini YOKUK menawarkan khidmat kebajikan dan pemulihan percuma kepada lebih 2,500 warga kurang upaya tanpa mengira kaum, usia ataupun jenis ketidakupayaan mereka.

Antara khidmat yang diberikan YOKUK termasuklah pelbagai jenis terapi dan perkhidmatan pengangkutan.

YOKUK juga merancang untuk menyediakan atau memperbaiki 500 rumah warga kurang upaya yang memerlukan di Kelantan.

Pada tahun 2008, saya tubuhkan MyFuture Foundation, sebuah yayasan yang bergiat untuk mempromosikan keharmonian antara kaum di kalangan belia Malaysia.

Saya juga telah menulis dua buah buku, Dari Hati yang Ikhlas dan Saya pun Melayu.

Selain itu, saya aktif dalam usaha memelihara kesenian tradisi Melayu Kelantan kerana beliau percaya kebudayaan warisan turun-temurunlah yang dapat memberi pengisian terhadap jatidiri anak bangsa.

Perkembangan saya boleh diikuti di laman blognya, http://myzaidibrahim.wordpress.com dan berkomunikasi melalui http://twitter.com/zaidibrahim dan di Facebook.

Jika dipilih sebagai calon Hulu Selangor, apa matlamat Dato'?

Matlamat saya ke Parlimen adalah untuk menyumbangkan tenaga kepada negara yang kita cintai dan memelihara kepentingan rakyat dan demokrasi di mana "rakyat dapat hidup selesa tanpa takut ditahan pada pagi hari kerana pandangan politiknya malam tadi".

Saya mahu bantu memastikan yang undang-undang negara mesti berteraskan keadilan dan tidak lagi disalahgunakan untuk melindungi kepentingan elit di negara kita yang sudah merugikan rakyat berbilion-bilion ringgit selama ini.

Penyelewangan kuasa dan rasuah dan penggubalan dasar-dasar yang tidak adil BN telah banyak merugikan dan memiskinkan rakyat, yang dapat dilihat dari masalah tanah yang tidak selesai ke persoalan perumahan dan pendidikan sehinggalah ke pengurusan Petronas yang tidak telus.

Saya yakin rakyat Malaysia tiada sebab untuk tidak dapat hidup dengan selesa dengan limpah kurnia kekayaan negara ini melainkan disebabkan pilihan-pilihan politik yang buruk dan kerakusan pemimpin memperkayakan diri dan kroni-kroni mereka.

Saya mahu membela masyarakat yang terpinggir, sama ada disebabkan oleh kemiskinan, masalah kurang upaya ataupun penindasan sistematik yang meminggirkan kaum petani, buruh ladang dan Orang Asal yang masih berleluasa di negara kita.

Apakah selepas 50 tahun negara merdeka, rakyat masih terpinggir?

Saya sering mengutarakan bahawa politik di Malaysia sudah lama ‘sakit’ dan harus diangkat martabatnya. Kita harus berpindah dari kata nista dan serangan berbentuk peribadi, atau tindakan-tindakan yang berbaur perkauman yang melambangkan percaturan politik yang dangkal pemerintah BN, kepada perdebatan tentang dasar dan halatuju negara kita.

Tanpa dasar-dasar yang baik, rakyat tidak kira kaum dan budaya akan merasa terpinggir di negara sendiri.

Apakah ini mendorong Dato' berusaha memperbetulkan kesilapan BN?

Sebelum ini saya memang aktif dalam kerja-kerja kebajikan. Saya mengkritik secara terbuka dasar-dasar Kerajaan BN yang tidak adil walau ketika saya masih lagi bersama BN.

Sebagai menteri pun, saya berani usulkan proses meminta maaf kepada hakim-hakim yang dipecat oleh kerajaan pada tahun 1988.

Dan terbukti, saya meletakkan jawatan menteri atas dasar prinsip menentang konsep penahanan tanpa bicara menunjukkan ketulusan beliau untuk menjaga proses demokrasi, keadilan dan kebajikan masyarakat keseluruhannya.

Malah, saya maklumkan secara jelas kepada Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, bahawa saya menerima tawaran menjadi menteri undang-undang atas prinsip mahu membantu BN untuk berubah, menghentikan penyalahgunaan kuasa perundangan dan memperbaiki ketelusan dalam proses kehakiman negara.

Saya lepaskan jawatan dan saya minta maaf kepada rakyat, kerana "kegagalan merubah BN".

Apa pandangan Dato' mengenai politik negara?

Kita mesti menolak politik perkauman dengan sekeras-kerasnya. Ini hanya akan dapat dilakukan dengan baik jika kita bersungguh-sungguh menghargai keragaman kebudayaan rakyat kita.

Kita mesti menghormati dan mempertahankan hak saksama setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama tanpa mengabaikan kumpulan-kumpulan terpinggir yang perlu diberikan bantuan. Inilah tuntutan agama Islam dan inilah tuntutan Perlembagaan Malaysia.

Kita mesti membela ketuanan rakyat dengan memartabatkan kuasa rakyat dan memelihara proses-proses dan badan-badan yang menjaga demokrasi. Beliau percaya bahawa pilihan-pilihan politik yang bijak hanya akan diambil oleh rakyat yang mempunyai kuasa.

Jika mana-mana perkumpulan rakyat ada mengemukakan permasalahan dan tuntutan-tuntutan yang wajar, sama ada Melayu, Cina, India, Orang Asal atau apapun kaum dan pekerjaan mereka, kerajaan yang ihsan wajib membantu mereka.

Proses politik kita mestilah memerdekakan dan membebaskan rakyat negara ini dari belenggu kuku besi, perkauman, gejala rasuah dan ketidakadilan.

Dato' sebelum ini turut menjadi mangsa serangan BN dan NGO terutama isu Melayu, apa komen Dato'?

Oleh kerana kritikan saya terhadap Umno yang sudah tenat dengan budaya-budaya tidak sihat, saya sering diserang oleh kumpulan-kumpulan yang menggunakan unsur-unsur perkauman untuk melindungi kepentingan politik dan ekonomi mereka.

Sebagai seorang bumiputera yang berasal dari keluarga miskin, sudah tentu saya tidak menentang dasar untuk membantu kaum Bumiputera yang memerlukan.

Apa-apa juga dasar yang membantu membasmi kemiskinan dan memberi keistimewaan terhadap orang-orang miskin dan terpinggir, mestilah diteruskan.

Namun, kebimbangan saya ialah terhadap kesan buruk penyalahgunaan 'keistimewaan' ini kepada negara, yang diuar-uarkan oleh pihak BN.

Dasar apa pun tidak boleh disalahgunakan untuk membolehkan penerimaan faedah tanpa usul periksa tentang latar belakang ekonomi seseorang.

Maknanya Umno menggunakan dasar Melayu untuk kepentingan politik?

Saya sebenarnya amat bimbang bahawa Dasar Ekonomi Baru telah menjadi 'Dasar Ekonomi Umno', kerana ia menggalakkan pemberian subsidi dan bantuan melampaui batas, yang memberikan projek-projek besar negara untuk memperkayakan Bumiputra yang sudah cukup serba serbi dan untuk jentera parti, tanpa memerlukan si penerima faedah berusaha gigih dan berdikari.

Dasar yang disalahgunakan bukan sahaja merugikan negara, tetapi boleh merugikan kaum Bumiputera itu sendiri.

Saya mahu melihat generasi muda kita memahami bahawa tidak ada jalan mudah dalam hidup ini untuk mencapai kejayaan. Jangan sesekali kita terbabit dengan budaya ali-baba yang 'menjual' nama Melayu untuk habuan sendiri tanpa apa-apa usaha.

Tabiat-tabiat seperti inilah yang sebenarnya memalukan bangsa.

Kegemilangan bangsa tidak akan dapat dicapai dengan menyemburkan api perkauman dan menyalahertikan 'keistimewaan' sebagai 'ketuanan’ mutlak.

Kedua-dua ini adalah perkara yang mempunyai implikasi yang jauh berbeda. Jika kita mahu menjadi Tuan, kita mesti bekerja keras, itu sahaja caranya.

Melaungkan tuntutan-tuntutan tanpa janji untuk berusaha keras dan dengan nada berbaur perkauman pula, disertai adegan mencium-cium keris, tidak akan merubah nasib sesebuah bangsa itu. Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa itu sendiri jika sesuatu bangsa itu sendiri tidak berubah.

Orang-orang yang berbahaya kepada bangsa dan negara sebenarnya adalah mereka yang meletakkan kepentingan diri di atas kepentingan rakyat.

Inilah orang-orang yang menjual nama bangsa untuk mendapatkan habuan tanpa bekerja keras, orang-orang yang merompak harta kekayaan negara, orang-orang yang tidak menghormati hak-hak rakyat, orang-orang yang menahan warga tanpa membenarkan mereka dibicara, orang-orang yang menggubal undang-undang yang tidak adil dan mereka-mereka yang senang menggalakkan prejudis perkauman.

Bagaimana pula dengan isu Orang Asal, mereka juga terpinggir?

Isu ini sudah lama saya bangkitkan. Saya memang prihatin terhadap nasib Orang Asal di Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Saya banyak berbincang dengan peguam dan aktivis hak tanah adat di Sarawak berserta melawat perkampungan Orang Asal di Bidor dan Temerloh bagi mengetahui dengan lebih jelas permasalahan mereka.

Pentingnya negara menggubal Dasar tentang Hak-Hak Orang Asal Malaysia bagi menjamin kesejahteraan masyarakat tersebut dan hak tanah adat mereka.

Kita lihat lebih 2,000 Orang Asal telah berarak ke Putrajaya untuk menyerahkan memorandum mereka yang menceritakan hal-hal penganiayaan di tangan kerajaan BN selama lebih 50 tahun, tentang tanah nenek-moyang mereka yang dirampas dan diambil untuk pembangunan tauke-tauke besar BN dan hanya memberi pampasan 6 ekar sekeluarga kepada mereka.

Saya juga gusar kerana Orang Asli Semenanjung tidak disenaraikan sebagai Bumiputera oleh Perkara 153 and 161 Perlembagaan Persekutuan.

Saya percaya merekalah orang yang paling layak sekali kerana bukan sahaja sebagai Orang Asal, tetapi juga disebabkan kemiskinan mereka.

Oleh itu dalam konteks Hulu Selangor ini, saya mahu menumpukan perhatian terhadap pengiktirafan hak tanah adat kaum Orang Asal seperti yang sedang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyelesaikan permasalahan tanah adat Orang Asli di negeri ini.

Isu-isu lain yang Dato' akan perjuangkan?

Saya amat sedar tentang masalah kemiskinan yang melanda kaum buruh ladang di Hulu Selangor dan kehidupan mereka yang tidak cukup serba serbi, terutamanya dari segi kemudahan awam.

Begitu juga dengan permasalahan pemilikan tanah rakyat yang tidak selesai sehingga kini dan kegusaran pemilik tanah bahawa tanah mereka sedang diintai oleh pihak-pihak tertentu.

Apabila rakyat biasa sulit untuk mendapatkan jaminan tentang hak-hak mereka setelah lebih 50 tahun merdeka, perkara ini tentunya ada kena mengena dengan dasar dan cara pentadbiran Kerajaan BN selama ini yang tidak telus serta tidak menghormati hak rakyat kecil dan kebajikan mereka.

Oleh sebab itu saya mengajak pengundi-pengundi di Hulu Selangor, mengekalkan kerusi Parlimen ini di tangan Pakatan Rakyat, untuk masa depan yang lebih baik buat mereka.

No comments: