Friday, April 02, 2010
Wee Choo Keong cari alasan untuk keluar?
PARA pengundi Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong mungkin harus bersedia kerana wakil rakyat mereka sudah menunjukkan indikasi yang jelas, bahawa beliau berkemungkinan akan menyertai kelompok MP Bebas seperti empat orang rakan yang lain.
Ucapan Wee di Parlimen, walaupun tidak sekeras rakannya Dato' Seri Zahrain Hashim (Bebas-Bayan Baru) dan Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim Bandar Baharu), tetapi adalah seiring dan senada dengan mereka.
Zahrain mengecam Dato' Seri Anwar Ibrahim secara terus, dengan mendakwanya berjuang untuk kepentingan peribadi. Zulkifli sering menggunakan istilah 'Firaun Kecil' dan Wee menggunakan istilah 'Little Napoleon' semasa mengkritik KeADILan di Parlimen.
Nada ucapan mereka adalah sama, menghentam Anwar, Keadilan, DAP atau Pakatan Rakyat, dalam masa yang sama mereka memuji Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.
Mengapa mereka-mereka ini memuji PM yang juga Presiden Umno? Adakah kerana mereka sudah dibawa berjumpa dengan PM sendiri atau ada ejen-ejen PM yang sudah berunding dengan mereka?
Apakah semua gelaran dan istilah-istilah ini diciptakan sebagai alasan semata-mata? Atau ianya merupakan alasan yang sudah diskripkan oleh pihak tertentu, untuk membalas budi pihak tertentu, dengan habuan tertentu yang dijanjikan.
Ketiga-tiga mereka ini, termasuk Tan Tee Beng (Bebas-Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bebas-Bagan Serai) mendakwa mereka keluar, dipecat, sudah keluar atau hendak keluar kononnya kerana mereka berprinsip.
Mereka menyerang KeADILan dengan mendakwa parti itu dikuasai oleh individu atau sekelompok pemimpin yang digelar 'Firaun Kecil' dan 'Little Napoleon'.
Mungkin mereka ini tidak sedar, atau sengaja tidak peduli apakah persepsi umum, khususnya pelawat-pelawat di Parlimen terhadap mereka, bahawa mereka ini adalah 'pelacur politik' yang tidak berprinsip.
Malah jika dicuri dengar, sembang-sembang beberapa MP Umno-BN pun, mereka ada menyebut rumours berapa nilai yang 'dibayar' kepada MP Bebas ini.
Ada yang menggelar MP Bebas tertentu dengan gelaran 'The Six Million Dollar Man'. Ada yang kata mereka sudah menerima bayaran pertama sebanyak RM1 juta seorang.
"Saya dengar beberapa orang sudah dapat RM1 juta, tapi Mohsin hanya dapat RM100 ribu tunai. Mohsin sudah tidak puas hati, dia cakap macam mahu balik ke Pakatan Rakyat," kata seorang rakan wartawan akhbar tempatan yang menambah sebarkan rumours.
"Ya lah, tadi orang-orang PM cakap ada MP Bebas jumpa PM di pejabat PM (Tingkat Dua, Bangunan Parlimen)," kata seorang yang lain.
Malah ketika penulis bersembang dengan seorang menteri di Lounge Ahli Parlimen selepas Wee berucap, beliau memberikan justikifasi kepada serangan Wee terhadap KeADILan dengan berkata:
"Kalau you nak tahu, Wee sangat marah apabila nama beliau dikaitkan untuk lompat, sewaktu berkunjung ke Washington, bersama Zahrain dan Nazri (Dato' Seri Mohamed Nazri Aziz).
"Kunjungan itu bukan untuk BN membeli MP KeADILan, tapi itu program yang sudah lama diatur oleh Parlimen," jelasnya bersungguh-sungguh.
Katanya, Wee juga marah apabila dikaitkan oleh 'Little Napoleon' bahawa beliau mahu melompat kerana mempunyai masalah peribadi termasuk bebanan hutang yang besar.
Soal betul atau tidak semua dakwaan dan alasan ini, bagi penulis ia, bukan persoalan asas yang sebenarnya. Semua itu bukan alasan dan penyebabnya.
Berkenaan dengan Wee, ada dua alasan yang besar iaitu, pertama, sebab Wee sejak dulu memang anti-Anwar. Kedua, Wee memang 'tidak sebulu' dengan DAP.
Mengenali Wee secara peribadi, beliau merupakan antara rakan lama penulis. Mengenali beliau sejak tahun 1990, ketika menjadi Ahli Parlimen Bukit Bintang, di atas tiket DAP.
Beliau adalah seorang peguam, yang berasal dari Kampung China, Kota Bharu. Kalau bercakap bahasa Melayu beliau tidak mahir, tetapi kalau 'kecek Kelate', jika tidak melihat wajahnya, nescaya kita akan percaya dia orang Melayu Kelantan.
Namun nasib beliau dalam politik agak kelam. Selepas menang kali kedua dalam Pilihan Raya Umum 1995, beliau dikalahkan dalam mahkamah. Kerusi Bukit Bintang disedekahkan secara percuma kepada calon Barisan Nasional dari MCA.
Wee ketika itu menjawat jawatan Setiausaha Publisiti DAP. Tidak lama kemudian, berlaku krisis kepimpinan dalam DAP, menyaksikan beberapa orang anggota Jawatankuasa Pusat DAP, bertelagah dengan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.
Beberapa orang rakan Wee, termasuk bekas Ahli Parlimen Seputeh, Liew Ah Kim mengumumkan keluar parti. Wee menubuhkan Malaysian Democratic Party (MDP). MDP adalah splinter group dari DAP.
Masalah Wee dengan rakan-rakan DAP tidak pernah kesudahan. Beliau sering bertelagah dengan mereka. Media-media akhbar Cina khususnya, sering menyiarkan kenyataan Wee.
Namun perjuangan MDP tidak sampai ke mana. Parti itu wujud tetapi tiada sokongan. Ia lebih kecil dari grup parti sosialis pimpinan Dr Mohd Nasir Hashim atau pun mungkin lebih kecil dari Kimma.
Difahamkan atas tiket MDP ini Wee diberi ruang untuk bertanding menggunakan lambang KeADILan, dengan persefahaman MDP akan dibubarkan.
Penulis agak terkejut beliau diberi peluang oleh Anwar untuk bertanding di Wangsa Maju, kerana jika dikaji balik sejarah ucapan Wee di Parlimen sebelum ini, memang banyak ditujukan menghentam Anwar sewaktu beliau duduk dalam Kabinet.
Penulis percaya, Anwar juga tahu sikap Wee terhadap beliau.
Mungkin kerana Anwar fikir Wee barangkali, boleh diterima sebagai rakan politik untuk menentang BN. Tetapi mungkin juga Anwar tersalah calculate, atau salah anticipate tentang sikap Wee terhadap beliau.
Anwar cuba bersikap profesional dengan Wee, walaupun banyak kenyataan MP Wangsa Maju itu mengkritik KeADILan dan DAP secara terbuka.
Antara isu panas, yang dibangkitkan Wee mengenai pejabat Exco Kerajaan Selangor, dari DAP digunakan sebagai tempat mesyuarat bouncer kelab malam, yang membawa kepada campur tangan SPRM sehingga menyebabkan kematian Teoh Beng Hock, menajamkan krisis-krisis ini.
Tanpa mengambil kira apa masalah beliau, secara peribadi, penulis bercakap dengan Wee untuk terus kekal dalam Pakatan Rakyat, walaupun beliau tidak bersetuju dengan pihak-pihak tertentu dalam KeADILan.
Apa pun kata penulis kepada beliau, semua alasan yang diberikan dalam Parlimen, tidak cukup kuat untuk dijadikan asas mengkhianati perjuangan rakyat dengan bersekongkol dengan BN.
Penulis menyarankan agar Wee memikirkan pengundi-pengundi yang menyokongnya, bukan kerana ketokohan peribadinya, tetapi komitmen menolak BN. Penulis mengingatkan Wee, supaya jangan sekali-kali melakukan tindakan yang bertentangan dengan kehendak dan aspirasi rakyat.
Kata penulis kepada Wee, sebagai anak Kelantan, sebelum buat apa-apa sahaja keputusan, Wee sepatutnya berjumpa dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, untuk meminta pandangan beliau.
Kata penulis kepada Wee, "Kalu demo gi jugok, tak rujuk Tok Guru, kapir tobat kawe dan pengundi demo di Wangsa Maju tak terima."
"Takpa kawe pehe, kawe pikir dulu guano," kata Wee.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment