Wednesday, April 21, 2010

Kamalanathan tidak relevan buat Hulu Selangor

PILIHAN RAYA Kecil Parlimen Hulu Selangor yang bakal diadakan 25 April ini merupakan antara pilihan raya yang paling tercemar dan korup.

Ia dipenuhi dengan taktik kotor Umno-Barisan Nasional, memburuk-burukkan keperibadian calon Pakatan Rakyat, Dato' Zaid Ibrahim.

Ia juga merupakan siri penerusan kecaman dan kata nista terhadap Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim, pertuduhan yang dijaja oleh juak, pecacai dan tali barut Umno-APCO pada setiap kali pilihan raya.

"Mengapa setiap kali pilihan raya mesti keluar cerita Anwar?" getus seorang wanita di sebuah restoran kepada rakannya yang sedang membaca akhbar arus perdana.

"Entahlah, nampak sangat kerajaan takut dengan Anwar," komen rakannya yang jelas muak dengan trend politik Malaysia.

Isu mengenai Anwar Ibrahim begitu menarik perhatian ramai. Untuk membunuh karektor politik Anwar, Umno-BN terpaksa mengupah ramai pecacai, mengeluarkan belanja yang cukup besar untuk membuat 'pembelian' pemimpin dan penyokong KeADILan.

Setiap kali pilihan raya maka keluarkan pecacai-pecacai 'mencari makan', macam ulat keluar dari lubang selepas hujan. Mereka memainkan skrip lama, kononnya bertaubat dari menentang kerajaan, memohon maaf kerana 'tersilap' menyokong Anwar dan sebagainya.

Kejahatan Umno-BN ini ditambah dengan usaha memburukkan kredibiliti KeADILan melalui pendekatan smear campaign. Mereka menggunakan broker untuk shopping pemimpin KeADILan yang kecewa.

Lepas satu persatu dibeli Umno-BN. Terdapat ciri-ciri aneh dari kalangan mereka yang keluar parti KeADILan ini. Kebanyakannya membaca skrip, duduk di sebelah bekas Setiausaha Agung KeADILan, Dato' Salehudin Hashim dan memuji Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Seolah-olahnya kenyataan mereka sudah diskripkan dan diuruskan oleh seorang broker.

Banyak mana yang dibelanjakan untuk membeli 'katak-katak politik' ini setiap 'seekor' tidak diketahui.

"Sekarang ini baru ana faham maksud teks usrah yang kami baca bersama naqib, Ustaz Nakhaie Ahmad di tahun dua universiti Golongan yang gugur di jalan dakwah," kata Setiausaha Agung KeADILan, Saifuddin Nasution Ismail kepada Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar, bersama penulis di lobi Parlimen.

"Tapi selepas itu dengan naqib-naqib pun tinggalkan perjuangan," katanya sambil tergelak besar kami semua.

Saifuddin merujuk kepada betapa lemahnya iman seorang pejuang, kurangnya tarbiah pada jiwa mereka sehingga mereka sanggup menggadaikan prinsip perjuangan dan mengkhianati parti demi kepentingan diri.

"Bagi saya Zaid merupakan contoh seorang yang sudah ditarbiah," kata Naib Presiden KeADILan, Mohd Azmin Ali di suatu sudut yang lain.

"Masa duduk dalam Umno, beliau dirosakkan dan masuk KeADILan, menerima tarbiah, meninggalkan perkara-perkara yang tidak elok.

"Jika beliau terus dalam Umno, barangkali beliau akan terus mengikut cara mereka. Bagi saya Zaid sekarang adalah seorang yang suci dan harus disokong," katanya.

Apa yang jelas, Umno-BN terpaksa membelanjakan peruntukan, wang rakyat dengan begitu besar untuk memenangi kerusi Hulu Selangor yang dikatakan do or die bagi masa depan mereka.

Peruntukan besar ini merupakan rasuah terang-terangan, digunakan untuk membeli orang-orang KeADILan supaya keluar dan mencemuh Anwar serta merosakkan peluang Zaid, membeli undi rakyat dengan merasuah pembinaan Institut Pengajian Tinggi, membina sekolah, memberi peruntukan kepada masjid, mengeluarkan 'bonus' kepada peneroka dan juga orang Asli.

Umno-BN kelihatan begitu agresif dengan bantuan media tali barut mereka. Mereka membuat apa cara sekalipun yang boleh untuk menang. Kempen dengan cara yang buruk, memfitnah dan melaga-lagakan pemimpin KeADILan, merasuah rakyat, tidak kira apa sahaja cara.

Hakikatnya mereka tidak boleh menipu rakyat. Jika Dato' G Palanivel, selama empat penggal berjaya menjalankan tugas dengan baik, sudah tentu beliau akan diterima Umno Hulu Selangor dan rakyat setempat.

Bukan sekadar Palanivel, kawasan Hulu Selangor merupakan kawasan majoriti Melayu. Ia sudah menjadi kawasan pertelagahan Umno dengan MIC. Umno sudah lama menuntut kerusi Hulu Selangor.

Bagaimana P Kamalanathan hendak boleh menjalankan tugas jika Umno bahagian menolak MIC? Bagaimana calon BN boleh berfungsi jika dalam partinya, iaitu MIC pecah banyak kumpulan?

Ada kumpulan Palanivel. Ada kumpulan Mugilan. Ada kumpulan Samy. Umno pun tidak menerima MIC. Kamalanathan tidak relevan bagi rakyat Hulu Selangor.

Beliau tidak layak diundi. Dalam partinya tiada kesatuan. Sesama komponen BN tiada persefahaman. Hakikatnya semuanya berada dalam keadaan yang berselerak.

Mereka hanya beruntung kerana ada media tali barut yang boleh digunakan untuk menutup 'bangkai gajah.'

Undilah calon KeADILan dari Pakatan Rakyat!

No comments: