Wednesday, April 21, 2010

Jangan cabar saya dedah menteri Umno kaki botol dan kaki judi


DATO' ZAID IBRAHIM tidak terkejut dengan serangan peribadi yang disasarkan kepadanya oleh Barisan Nasional. Walaupun beliau sedar usaha Umno-BN itu boleh membunuh karier politiknya, beliau bersikap profesional, tidak mahu membalas balik dengan menyebut nama-nama menteri Umno yang kaki botol serta tahi judi.

Baginya, beliau sudah sedar dan insaf dari kesalahannya. Kesedaran itu mungkin tidak timbul jika beliau masih bersama Umno. Ikuti pengakuan ikhlas beliau dalam wawancara eksklusif bersama wakil Harakah, MOHD RASHIDI HASSAN dan Harakahdaily, NAZRI ABDULLAH di kediamannya, di Tropicana, Damansara 19 April lepas.


HARAKAH: Nampaknya dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor ini, Dato' diserang dengan begitu hebat. Umno-Barisan Nasional melalui media tali barutnya membuat serangan peribadi dengan mendakwa Dato' seorang 'kaki botol', apa komen Dato'?

DATO' ZAID IBRAHIM: Ingin saya perjelaskan bahawa pendirian saya dalam hal ini, saya suka berterus terang. Saya sebenarnya tidak suka mengungkit kisah yang lama. Semasa saya dalam Umno, ramai pemimpin Umno yang meminum minuman keras, tetapi semua ini, semasa dalam Umno tidak dipersoalkan.

Tetapi selepas saya keluar Umno, menyertai Pakatan Rakyat, peribadi dan karektor saya mula dipersoalkan.

Saya sudah berubah, perkara-perkara yang tidak baik semasa dalam Umno, sudah saya tinggalkan.

Saya sudah membentuk keperibadian yang baik dan saya mahu menjadi wakil rakyat yang bertanggungjawab dalam menjalankan amanah.

Saya serahkan kepada rakyat, khususnya di Hulu Selangor, untuk menilai sikap saya dan sifat saya.

Dalam kehidupan ini bagi saya, yang pentingnya ialah, adakah kita sudah sedar dan insaf. Itulah beza saya dengan menteri Umno. Saya berterus terang dan saya bukan hipokrit.

Umno-BN juga menuduh saya sebagai kaki judi. Ini sesuatu yang tidak benar. Yang kuat berjudi di kasino adalah menteri-menteri Umno. Sehingga ada yang berhutang berjuta-juta ringgit tidak bayar. Mereka terlepas kerana mereka ini Umno. Tolong jangan cabar saya dedahkan nama-nama mereka ini.

Saya tidak mahu menyebut nama-nama bekas kawan-kawan saya ini. Saya tidak mahu mengaibkan mereka kerana saya tidak mahu mengikut jejak langkah Muhyiddin (Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan rakan-rakannya, yang giat menyerang peribadi saya.

Itulah jawapan saya terhadap perkara-perkara yang ditimbulkan oleh media BN.

Apakah yang mendorong mereka membuat serangan peribadi terhadap Dato'? Apakah ianya manifestasi dari kebimbangan mereka (BN)?

Mereka bimbang sebenarnya (ketawa). Jika mereka tidak bimbang, tak akanlah mereka menyerang peribadi saya sedemikian rupa. Mereka juga menyerang peribadi Anwar (Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Mereka menaikkan poster Anwar, poster saya, dengan pelbagai cacian. Seolah-olahnya Zaid melawan Najib (Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak). Bukan Zaid lawan MIC.

Jelas, jentera BN yang diketuai sendiri oleh Muhyiddin, mahu mematikan karier politik saya. Cuma saya berharap rakyat di Hulu Selangor dapat memahami dan menolak usaha-usaha jahat yang dilakukan oleh BN.

Dato', sewaktu Dato' bertanding mewakili BN dalam Pilihan Raya Umum 2004 di Kota Bharu. Pada ketika itu PAS dan KeADILan, dilihat tidak langsung menyerang peribadi Dato', walaupun dikatakan masyarakat di sana agak konservatif. Apa komen Dato'?

Ya. Saya amat menghargai sikap gentleman PAS dan KeADILan. Walaupun, saya tahu, PAS pun mengenali dan tahu latar belakang saya. Tiada pucuk pimpinan PAS yang menyerang saya, walaupun mungkin di akar umbi isu ini mungkin timbul.

PAS tidak menggunakan taktik menghina peribadi calon lawan. Ini amat berbeza dengan budaya politik Umno, terutama yang mereka lakukan sekarang.

Mereka menyerang peribadi saya kerana mereka takut kalah, takut kuasa mereka hilang.

Inilah petanda bahawa mereka berada dalam keadaan yang takut dan cemas dengan kuasa rakyat. Mereka tahu bahawa rakyat menolak mereka.

Pada hari penamaan calon, calon BN P Kamalanathan berkata beliau tidak mahu membuat serangan peribadi, namun TPM sendiri yang mengatakan ianya penting untuk kempen BN, komen Dato'?

Sebab itu saya katakan, saya bukan melawan MIC. Saya lawan PM dan TPM. Sebab itu juga MIC tidak berminat untuk mencungkil isu-isu peribadi. Malah saya tidak langsung mendengar sebarang cemuhan dari MIC sendiri.

Malah yang bersungguh-sungguh mencemuh saya ialah Umno. Disebabkan ketakutan mereka, mereka sanggup berceramah memaki hamun saya, mengupah media talibarut membuat beritadan rencana, mengupah bloggers Umno, seolah-olah mereka tahu benar tentang peribadi saya.

Kebanyakan serangan mereka adalah fitnah. Sehingga ada blog Umno yang mendakwa di firma guaman saya ada bar. Lebih 22 tahun saya di pejabat, tiada langsung bar seperti yang didakwa. Dituduh pula di rumah saya ada wine dan macam-macam lagi.

Isteri saya yang menguruskan rumah tangga, tak kanlah dia benarkan keadaan ini berlaku dalam rumah saya. Dia tahu peribadi saya.

Tetapi saya tidak boleh menghalang kejahatan mereka (BN). Mereka pamerkan poster, billboard yang saya memegang botol arak. Memang ini kerja jahat mereka yang takut kepada kekalahan.

Dalam PRK Hulu Selangor, ada dua calon Bebas. Satu daripada Umno, satu lagi daripada MIC. Bermakna, mereka (Umno-MIC-BN) yang berpecah sebenarnya. Apa pendapat Dato'?

MIC sendiri berpecah belah. Mereka ada banyak kem. Sekarang ini kita dengar calon bebas MIC ini menarik diri. Calon Bebas yang seorang lagi daripada Umno. Ini menunjukkan bahawa Umno sendiri memang tidak puashati apabila BN meletakkan calon dari MIC.

Tetapi mereka cuba menutup kelemahan ini. Orang-orang atasan BN tidak mengetahui masalah orang bawahan yang tidak mahu menerima calon MIC.

Apa pandangan Dato' tentang dakwaan tiada kerjasama dari kalangan KeADILan dan juga keluarnya Dr Halili Rahmat hari ini?

Saya sedar tidak semua yang bersetuju dengan saya. Namun, setahu saya tidak ada yang menyerang saya. Orang yang tidak puashati macam Dr Halili kerana mungkin namanya termasuk dalam short-listed, tetapi tidak terpilih.

Mungkin ada yang mempunyai pandangan berbeza dalam KeADILan tentang pencalonan saya. Tetapi saya lihat mereka bekerja membantu saya (berkempen) sebagai sebuah pasukan.

Di sebalik serangan peribadi oleh media tali barut BN, apakah sambutan yang Dato' terima sewaktu berkempen?

Saya cukup terharu dengan sambutan rakyat. Sama ada mereka orang di bandar atau luar bandar, orang Melayu di kampung dan Felda. Juga orang Cina dan India, mereka keluar beramai-ramai menyambut kempen saya.

Saya yakin, jika tidak ada penipuan, tiada yang termakan fitnah-fitnah yang melampau, pengundi akan memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat.

Setakat ini tidakkah serangan-serangan peribadi ini mengganggu Dato'?

Tidak ada. Tidak sama sekali. Saya pun sudah jangka apabila Muhyiddin kata mereka akan bongkar hal Zaid. Mereka ada beberapa hari lagi untuk membongkar hal-hal peribadi saya.

Seperti yang saya katakan, jika saya melakukan kesalahan. Saya tidak takut untuk meminta maaf dan memperbetulkan kesalahan saya.

Yang lebih penting, saya harap rakyat tidak terkeliru dengan tipu helah BN. Buatlah penghakiman yang sewajarnya menjelang 25 April ini.

Sama ada ia menjejaskan saya, saya dan isteri serta keluarga sudah sedia menghadapinya.

Pada saya jika kita hendak ungkit kelemahan pemimpin Umno, terlalu banyak, tetapi saya fikir, tidak usahlah berbuat demikian.

Apa pun serangan mereka. Saya berpuashati dengan sambutan dan sokongan rakyat sepanjang kempen.

Dalam kempen PRK ini, bagaimana Dato' melihat kerjasama daripada PAS dan DAP?

Saya amat berterima kasih kepada PAS kerana begitu kuat menyokong saya. Terutamanya Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang. Saya juga sering berbincang dengan Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali.

Saya bertemu petugas-petugas PAS yang begitu gigih berkempen di pasar-pasar. Mereka datang dari seluruh negara, bekerjasama dengan PAS Kawasan Hulu Selangor.

Apa pun serangan ke atas saya, petugas-petugas PAS ini begitu gigih menangkisnya Begitu juga dengan DAP, mereka bekerja keras di kawasan bandar dan perumahan kaum Cina. Mereka bekerja siang malam membantu saya.

Malah dalam KeADILan pun, walaupun ada dakwaan pihak tertentu yang tidak membantu saya, tetapi atas arahan dan kesungguhan Ketua Umum (Anwar), saya fikir semuanya akan berjalan lancar.

Serangan-serangan peribadi yang dilancarkan ke atas Dato' kelihatannya bertujuan untuk menggugat undi orang Melayu. Apakah barangkali undi orang Melayu terhadap Dato' akan terjejas?

Saya rasa tidak. Memang ada yang tebal menyokong Umno. Saya rasa orang seperti ini sudah tentu akan percaya semua dakyah Umno.

Tetapi saya percaya, sebahagian besar orang Melayu, orang Islam, akan membuat penilaian seadil-adilnya. Saya tidak katakan permainan isu peribadi ini tidak langsung menjejaskan saya. Tetapi saya yakin ia tidak mempengaruhi kecenderungan majoriti pengundi Melayu.

Umno menjadikan Felda sebagai stronghold mereka, bagaimana Pakaran Rakyat boleh menarik sokongan orang Melayu di kawasan tersebut?

Saya berkesempatan untuk mengunjungi beberapa kawasan Felda. Saya bertemu dengan peneroka, orang-orang tua dan anak-anak muda, mereka memberikan sambutan yang baik.

Jika hendak dibandingkan dengan keadaan dahulu, amat jauh berbeza. Sekurang-kurangnya ketika saya berucap, mereka mahu mendengar.

Saya sempat beberapa kali berceramah sepentas dengan Dato' Seri Hadi dan Dato' Seri Mohammad Nizar Jalamuddin.

Alhamdulillah, pada saya, saya amat berpuashati kerana mereka menyambut saya dengan begitu baik, mereka mendengar apa yang hendak saya sampaikan.

Bagaimana dengan sokongan pengundi Cina?

Saya mendapati orang Cina begitu bersemangat memberi sokongan kepada saya. Mungkin kerana mereka mengingati jasa-jasa saya sewaktu dalam parlimen dahulu. Saya membela beberapa orang Cina yang dikenakan tahanan di bawah ISA.

Saya juga mempertahankan kepentingan kaum mereka, sekolah mereka. Malah ada kalangan pemimpin MCA yang takut untuk bercakap di Parlimen, meminta saya berucap dalam hal-hal berkaitan kaum Cina.

Saya percaya orang Cina tidak akan lupa perkara ini.

Pengundi India pula bagaimana?

Orang India di Hulu Selangor, secara keseluruhannya kemiskinan mereka amat meluas. MIC telah gagal membantu memperjuangkan nasib kaum mereka sendiri. MIC gagal menjadi pembela kaum India.

Bukan sekadar kerana skandal Maika Holdings, MIED dan sebagainya semata-mata. Kerana MIC sendiri berpecah kepada banyak kumpulan besar. Ada kumpulan Samy Vellu, ada kumpulan G Panivel, ada juga kumpulan Subramaniam.

Apabila kumpulan-kumpulan ini dalam satu parti berpecah, maka sukar untuk kaum India menyuarakan permasalahan mereka.

Sebab itu saya menyeru kepada orang-orang India di Hulu Selangor, supaya kali ini beri peluang kepada orang Melayu pula untuk membela nasib mereka. Sudah berbelas-belas tahun wakil rakyat berketurunan India gagal membantu, maka beri peluang orang Melayu pula yang jadi wakil rakyat.

Dalam lawatan saya ke ladang dan perkampungan kaum India. Sambutan mereka terutamanya dari kalangan kaum wanita cukup baik. Malah mereka bercerita tentang permasalahan mereka, persekolahan anak-anak dan sebagainya.

Selama ini MIC pun tidak pernah mengambil berat tentang mereka.

Kempen PRK begitu singkat, apa fokus Dato' pada hari-hari terakhir ini?

Fokus saya ialah untuk cuba bertemu dengan seramai mungkin pengundi Hulu Selangor, kerana itulah sahaja cara saya untuk memperbaiki imej buruk yang dijaja BN terhadap saya.

Saya perlu mengatasi semua fitnah ini walaupun berjumpa seketika dengan pengundi. Dalam setiap pertemuan, saya jelaskan mengapa saya sanggup membela nasib mereka dan apa sejarah perjuangan saya.

Saya amat mengharapkan Zaid yang dikenali orang Hulu Selangor berbeza dengan Zaid yang orang Umno kenal.

Mudah-mudahan 25 April ini mereka memberi undi kepada calon Pakatan Rakyat dari KeADILan.

No comments: