Malaysia sertai 'blok' sokong Israel, sekat minyak ke Iran
PAS menyelar Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak kerana tunduk dengan tekanan Amerika Syarikat untuk menekan Iran, sekaligus menyertai blok penyokong Israel.
Tindakan Kerajaan Malaysia menghentikan bekalan minyak mentah ke Iran seperti yang diumumkan Najib di AS membuktikan kini pentadbiran negara pro kepada negara haram Israel.
Dengan keputusan ini, membuktikan bahawa perjanjian Kontrak Malaysia dengan APCO Worldwide berjaya menjadikan pentadbiran negara turut serta dalam perang tekanan sekutu Israel ke atas Iran, katanya.
Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Luar PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad berkata, sebagai sebuah negara Islam patut malu kepada Venezuela dan Bolivia yang secara berani menentang 'hegemoni'. AS serta Barat dan terus menjalin hubungan dagang dengan Iran.
"Apakah kunjungan Najib ke Washington untuk menjadi pak turut kepada AS?
" Apakah APCO Worldwide yang menjadi konsultan kerajaan turut mengatur pertemuan Najib-Barrack Obama, bertanggungjawab menasihat kerajaan Malaysia menamatkan penjualan gas ke Iran?" soal beliau.
Syed Azman yang juga AJK PAS PUsat berkata, Malaysia seolah-olah lupa bahawa syarikat gergasi negara, Petronas telah bertapak lebih 20 tahun lamanya di Iran.
"Petronas telah mengaut keuntungan berpuluh bilion Dollar dengan hubungan minyak serta gas dan hubungan dua hala Malaysia-Iran begitu baik dan tidak pernah ada tekanan walaupun menghadapi ancaman sekatan dari AS.
"Kita amat kesal dengan tindakan Najib, kerana Iran merupakan satu-satunya negara Islam yang aktif membantu Palestin. Pada kita ancaman nuklear Iran hanya helah AS bagi melindungi kepentingan strategik mereka di Teluk Parsi," tegasnya.
Isu sebenar kata beliau, ialah AS mahu menjaga dan melindungi 'keselamatan Israel' dari ancaman Iran.
Israel sebenarnya kata beliau, menjadi ancaman dunia kerana memiliki senjata nuklear dan tidak pernah menandatangani perjanjian 'nonproliferation nuclear treaty' sedangkan Iran menandatangan perjanjian tersebut.
"Apakah selepas ini Kerajaan Malaysia akan menamatkan perjanjian antara Petronas dengan Sudan yang turut disenaraikan sebagai 'negara pengganas oleh AS?" soal beliau.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat, Dato' Kamarudin Jaffar berkata, tindakan Najib menghentikan bekalan minyak mentah ke Iran membayangkan pentadbiran negara hari ini seolah-olah sudah duduk dalam blok negara-negara yang menyokong Israel.
"Ini kerana Israel sebenarnya memusuhi Iran, dan hanya Iran sahaja yang menjadi ancaman kepada Israel.
'Kita kecewa dengan tindakan ini kerana seolah-olah mahu membawa negara ini kepada menyokong negara yang kejam (Israel) yang diketahui akan kerakusan mereka membunuh rakyat Palestin," katanya.
Akibat rasa terancam dengan pembangunan tenaga nuklear Iran, Israel menggunakan Amerika Syarikat untuk mengumpulkan kekuatan mencari sokongan menekan Iran, katanya.
Akhirnya ia membawa kerjasama yang kononnya erat bersama Amerika, dan hasil lobi yang dibuat APCO, Malaysia berada bersama-sama negara yang menyokong Israel, katanya.
"Ini satu yang memalukan kepada kita sedangkan kita sebagai sebuah negara Islam dan menyertai OIC," ujar Kamarudin yang juga AJK PAS Pusat.
No comments:
Post a Comment