Friday, July 22, 2011
Rakyat mahu SPR bebas dari kongkongan Umno-BN
Pasca himpunan aman Bersih 2.0, media arus perdana masih memberikan laporan negatif terhadap Bersih 2.0 malah lebih parah dari itu, PAS yang menyokong angenda Bersih 2.0 diserang bertubi-tubi termasuk melabelkan PAS menyokong pemimpin beragama Hindu yang anti-Islam.
Walhal Bersih 2,0 mempunyai agenda membersihkan sistem pilihan raya yang punah di Malaysia, dan PAS menyokongnya kerana agenda tersebut.
Bagi menjawab semua persoalan ini, ikuti temubual wakil Harakah dan Harakahdaily, MOHD RASHIDI HASSAN, WAN NORDIN WAN YAACOB, ZULKIFI SULONG, SHUKRI MOHAMAD dan jurufoto WAN ZAHARI WAN SALLEH bersama Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Pejabatnya pada 18 Julai lalu.
Dikhabarkan PAS telah mengadakan 'retreat' baru-baru ini, boleh Ustaz menceritakan sedikit apa tujuan dan hasilnya?
TUAN GURU ABDUL HADI AWANG: Bismillahirahmanirrahim, retreat ini lebih bertujuan menyediakan 'road map' kepada PAS untuk menyediakan pelan bertindak menghadapi pilihan raya umum akan datang, setelah kita mendapatkan hasil yang sangat baik pada pilihan raya umum 2008, kita membina kejayaan itu untuk melangsungkan gerak kerja berikutnya. Kita membuat muhasabah dengan berdasarkan gerakan tuntutan demokrasi melalui himpunan Bersih 2.0. Bersih 2.0 ini adalah satu tema bukan pertubuhan yang dibina oleh gabungan daripada NGO-NGO yang berjuang untuk membetulkan amalan demokrasi di Malaysia supaya berlaku pilihan raya yang adil dan telus, dan supaya membaiki keburukan yang berlaku daripada penyalahgunaan kuasa oleh Umno-BN dan kedudukan SPR yang terlalu tidak berkuasa kerana dikongkong oleh kuasa Umno-BN.
Kita mengkaji itu semua disamping kita membincangkan bagi mengukuhkan jentera parti, kerana yang penting kekuatan jentera parti itu sendiri, ini penting. Kita tidak boleh menumpang kejayaan semata-mata atas kelemahan lawan dan kita tidak boleh berputus asa daripada halangan yang tidak demokrasi. Jika parti kita kuat, insya-Allah kita boleh mendepani semua itu, sama ada untuk membetulkan demokrasi, ataupun untuk menghadapi pilihan raya dan dengan keburukan yang ada itu dan PAS terus memilih pilihan raya sebagai pendekatan ramai yang merupakan keutamana dalam gerakan ISlam.
Apa hasil utama retreat itu Ustaz?
Kita mendapatkan maklumat yang disediakan oleh Pusat Penyelidikan PAS Pusat, kita dan pimpinan yang menyediakan kertas kerja hasil penyelidikan mereka. Retreat ini yang kita laksanakan, selepas itu kita ada perbincangan memakan masa satu hari satu malam.
Menyentuh soal keutamaan dalam memulihkan perjalanan pilihan raya, kita dapat lihat SPR ini semakin teruk, bagaimana PAS berdepan dengan hal ini?
Tanggungjawab kita ialah memberikan kesedaran kepada rakyat supaya berfikir dengan betul. Kita bukan sahaja berdepan dengan halangan SPR yang sedemikian rupa, termasuklah halangan daripada kebebasan media yang tidak wujud kerana sebarang perubahan yang berlaku daripada rakyat adalah antaranya kerana tekanan hidup dan minda yang sudah terbuka. Tekanan hidup ini ialah rakyat tertekan dengan kemiskinan hidup yang sangat tegar, yang tidak boleh bernafas seluasnya. Ini akan berlaku perubahan. Di negara kita ini, kerajaan Umno-BN lebih bersifat merasuah rakyat, dan tidak bertanggungjawab untuk membebaskan rakyat daripada kemiskinan dan membebaskan pemuda daripada pengangguran.
Apa yang berlaku sekadar 'melepaskan batuk ditangga', menghilangkan sementara sesak nafas, tidak menyelesaikan masalah, kemiskinan masih berlaku di luar bandar, di bandar di Pantai Timur dan sebagainya. Kemiskinan juga bukan sekadar berlaku dikalangan kaum bumiputera utama, tetapi juga kaum lain, Cina, India dan lain lagi. Mereka tidak sesak nafas tetapi tidak boleh bernafas dengan baik mereka tidak nampak kerana mereka tidak terasa sangat kesedaran kerana mereka ini dijahilkan lebih-lebih pemikiran mereka dijumudkan dengan media yang tidak terbuka di kalangan arus perdana cetak atau eletronik yang dikuasai sepenuhnya oleh Umno-BN. Media-media lain alternatif jangkauannya terhad, dan media yang dikendalikan parti juga terhad untuk ahli sahaja, jualannya terhad, jika diedarkan ke luar, akan diambil tindakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), malah jika melaporkan isu yang dianggap sensitif oleh kerajaan akan dipanggil oleh KDN sedangkan pihak pemerintah menggunakan media sepenuhnya setiap pelosok negara bahkan tiap-tiap rumah.
Media kita terhad bahkan ceramah parti pembangknag juga dihadkan. Minda rakyat tidak terbuka, namun demikian kita memikirkan perlunya kita mengerah tenaga agar perubahan itu berlaku. Kita melaksankan serampang dua mata, pertamanya memulihkan demokrasi bukan sahaja SPR termasuk kebebasan media salahguna kuasa parti memerintah, yang kedua memecahkan kebuntuan tidak sampai maklumat ke bawah, kita akan usahakan segigihnya melalui jentera parti di semua peringkat.
Mutakhir ini, dalam laporan-laporan akhbar, SPR beri alasan menjawab lapan tuntutan Bersih 2.0, yang kesemuanya disandarkan kepada soal keselamatan, sedangkan dalam tuntutan Bersih 2.0, isu yang dibincangkan ialah penyelewengan, apa pandangan Ustaz?
SPR juga berpolitik, mereka dikuasai oleh politik Umno-BN. Mereka lebih banyak buat kenyataan politik daripada kenyataan sebenar yang berpijak dimedan yang tidak boleh membebaskan SPR daripada berlakunya penipuan, penyelewengan.Dan ternyata hal-hal ini berlaku dengan jelas dengan kini kita lihat pertambahan jumlah pengundi baru yang besar di Selangor, pernah berlaku di Terengganu sewaktu tahun 2004 dan di beberapa negeri lain. Saya percaya Umno-BN akan memanjangkan masa sebelum menjalankan pilihan raya bagi memberi peluang kepada SPR dan bahagian jabatan pendaftaran bagi memasukkman pengundi bagi menjamin kemenangan BN samada pemindahan pengundi daripada negeri ke negeri kawasan ke kawasan ataupun memasukkan pengundi yang difikirkan mereka boleh menjamin kemenangan mereka.
Tadi Utaz ada menyebut soal strategi serampang dua mata, pendekatan demokrasi dan memecah kebuntuan maklumat, apa langkah sebenarnya pecahkan kebuntuan maklumat, jika kita mahu mengharapkan BN membuka ruang, sahih mereka tidak akan buat, apa rancangan PAS?
Yang pertama kita kena gunakan tenaga secara manual, mengerahkan tenaga manusia masuk ke kawasan dan cawangan ke seluruh negara. Ini kerana kita ada banyak kawasan dan cawangan (PAS). PAS ada sejuta ahli, kita boleh kumpul tenaga yang banyak walaupun terpaksa gunakan tenaga dan kewangan yang banyak. Ini memerlukan pengorbanan yang bersungguh-sungguh daripada ahli-ahli dan amilin kita. Sekiranya ini dapat digerakkan kita akan dapat memecah kebuntuan walaupun dalam masa yang lama. Kita orang Islam yakin tiada kerajaan yang akan terus kekal di dunia ini, yang kekal hanya kerajaan Allah sahaja, kerajaan nabi-nabi pun tidak kekal. Apatah lagi kerajaan yang bukan nabi-nabi, yang zalim, ianya tidak akan kekal. Cuma bagaimana perubahan itu boleh berlaku, ini mesti kita laksanakan. Kita mahu perubahan itu berlaku melalui proses demokrasi yang mesti kita kena lawan arus penyelewengan ini sekiranya jentera kita kuat.
Ini sudah terbukti dengan kita menang di Kedah, kita menang di Kelantan dan suatu ketika di Terengganu. Menandakan jika tenaga kita cukup, kita kerja kuat, kita boleh menyungkurkan Umno-BN dengan cara yang memalukan mereka. Dalam masa yang sama kita mahu pemimpin negara bermaruah dan bermoral yang boleh menerima teguran kerana kesalahan yang dilakukan. Mereka sanggup menerima hukuman oleh rakyat melalui demokrasi, sanggup menerima hukuman atas nama demokrasi, dan kita melihat di negara ini pemimpin Umno-BN tidak menerima hakikat ini, dan mereka masih mahu memerintah meskipun mereka melakukan kesalahan. Saya percaya jika mereka kalah, mereka akan melakukan sesuatu dengan cara yang salah asalkan mereka kekal berkuasa. Ini saya berikan amaran ini satu tindakan salah yang menyungkurkan mereka sendiri.
Dato' Seri ada menyebut, sebaran media alternatif kita ini terhad, apakah ada dibincangkan dalam retreat itu langkah untuk mengatasi?
Ya, kita memikirkan kerana PAS ada tenaga pemikira yang boleh dimanfaatkan menyalurkan maklumat melalui media alternatif dengan cara yang baik.
Perdana Menteri menyebut bahawa demonstrasi ini tidak boleh diadakan kerana ia bukan caranya untuk memperbetulkan kepincangan, apa pandangan Ustaz?
Setahu saya semua negara moden mengamalkan demokrasi, kerajaannya membenarkan demonstrasi, sementara polis mengawal demonstrasi dengan aman.Ini dalam negara yang moden, diamalkan di zaman kegemilangan Islam, sebenarnya Barat mengambil Islam. Pada zaman Rasulullah, baginda pernah menerima protes golongan Ansar yang tidak puas hati dengan pembahagian Ghanimah (harta rampasan perang). Kerana dibahaginan kepada golongan yangg baru menerima pemerintahan Islam tidak diberikan kepada Ansar yang sudah lama memeluk Islam.Lalu Rasulullah memanggil mereka dan menerangkan bahawa mereka (Ansar) sudah lama memeluk Islam, justeru Nabi memberikan kepada golongan baru kerana mahu membantu mereka yang baharu supaya mereka melihat secara praktikal. Mereka yang lama ini ditangguhkan tidak mengapa, ini menandakan Nabi menerima protes daripada kalangan umatnya. Negara-negara Barat kita melihat demonstrasi berlaku di UK, German dan USA, kalau kita nak mengambil contoh, kita ambil contoh begini (kebebasan dalam berhimpun), jangan kita mengambil contoh soal telanjang mereka, soal judi, riba dan arak mereka untuk diamalkan di sini. Mengapa kita tidak mengambil contoh yang positif, bahkan kerajaan menjadi semakin sihat, maksud saya bila terima protes sama ada melalui suara-suara wakil rakyat di Parlimen, dan samada kerajaan menerima secara langsung daripada rakyat melalui demonstrasi, kerajaan menerima sekiranya mereka bersalah, kerajaan harus membetulkan.
Ini akan melahirkan kecintaan rakyat kepada kerajaan. Jika kerajaan betul kerajaan boleh jawab dan menempelak mereka yang bertindak salah, negara yang tutup ruang yang tidak membenarkan rakyat menunjukkan rasa ialah negara komunis. Seperti yang berlaku di medan Tiananmen di Beijing, yang berlaku di Soviet Union pada zaman komunis dahulu, dan yang berlaku di Eropah Timur sewaktu dahulu yang mana apabila rakyat keluar protes, mereka ditembak dibunuh.Ini sifat diktatorship, seperti Marcos (Filipina) dan Sohaerto di Indonesia, tetapi mereka ini semuanya telah jatuh.
Adakah Dato' Seri maksudkan kerajaan mengambil tindakan yang keras kepada rakyat terbabit dalam demonstrasi?
Yang pertamanya Bersih telah melahirkan keberanian rakyat memprotes secara aman, dan saya amat bangga pertamannya melihatkan semua kaum Islam Melayu dan bukan Islam semua kaum. Usaha BN melagakan kaum melaui pelbagai NGO media mereka dengan isu yang sensitif yang bercannggah dengan undang-undang negara mereka biarkan, ini sudah gagal dan rakyat turun padang membabitkan semua kaum dan semua peringkat usia.
Keduanya mereka yang terlibat menunjukkan protes sama sekali tidak roskakkan harta awam, tidak anggota polis cedera, tiada satu kenderaan polis dibakar atau dilingkupkan, tiada cermin kedai yang dipecah. Apa yang berlaku sebaliknya, ada peserta demonstasi yang meninggal (Allahyarham Baharuddin Ahmad) dan ada yang cedera semasa demonstrasi. Keganasan bukan daripada rakyat yang terlibat tetapi daripada pihak kerajaan (Umno-BN) yang memaksa polis bertindak ganas terhadap demonstran, kerajaan menggunakan kaedah ini sebagai helah untuk menyelamatkan kuasa mereka dengan melagakan takyat dengan polis dan jentera kerajaan. Ini strategi mereka selamatkan diri dengan melagakan kita. BN bebas selesa dengan lakukan kesalahan termasuk menyalahgunakan kuasa dnegan amalan tidak adil dan tidak telus semasa pilihan raya bagi memastikan kuasa terus berada di tangan mereka.Dalam masa yang sama mereka menjadikan agensi kerajaan sebagai benteng untuk berdepan dengan rakyat.
Isu kematian Baharuddin semasa himpunan aman, dan isu lempar pemedih mata ke Hospital Tung Shin, yang lebih nampak besar dan dibesarkan media bukan Melayu ialah isu Hospital Tung Shin. Seperti kes kematian Beng Hock, berbanding kematian Sarbaini, mengapa?
Komen saya ialah, ini menunjukkan media bahasa Cina, Inggeris dan Tamil membuka minda warga bangsa Cina, India dan lain-lain. Tetapi media bahasa Melayu membodohkan bangsa mereka sendiri, sebab itu kita lihat pengundi bukan Islam sanggup mengundi Pakatan Rakyat walaupun calon PAS yang lawan MCA, Gerakan, MIC yang bukan Islam, mereka bukan Islam sanggup mengundi calon Islam (PAS). Di satu pihak orang Melayu-Umno sanggup mengundi calon MCA, MIC dan ada calon MCA bekas komunis juga diundi. Mereka ini digelapkan dengan politik wang dan dibodohkan oleh media berbahasa Melayu milik Umno-BN.
Ada yang menyebut, Pakatan Rakyat menggunakan himpunan aman untuk memburuk-burukkan kerajaan?
Sekiranya kita tidak sabar, isu kematian Baharuddin ini dengan perarakan jenazah sebagaimana berlaku di Mesir dan negeri lain, mengapa kita tak buat untuk hangatkan keadaan, dan upacara pengkebumian tidak diambil kesempatan, mengapa? Itu menunjukkan kesabaran kita tinggi dalam hadapi masalah ini menyedarkan jentera kerajaan dan Umno-BN bahawa kita ini menahan kesabaran, patutnya mereka ini (Umno-BN) menghargai, tetapi dalam masa yang sama, saya ingin memberi amaran bahawa kesabaran ada hadnya. Bersih 2.0 ini ini akan ada sambungannya, sama ada Bersih 3, 4 dan seterusnya, tak semestinya sebelum pilihan raya tetapi boleh berlaku lepas pilihan raya jika tiada perubahan berlaku.
Ada tohmahan Bersih diguna Pakatan Rakyat rosakkan imej kerajaan?
Setahu saya Pengerusi Bersih ini Dato' S.Ambiga bekas pengerusi Majlis Peguam Malaysia.Saya tak nampak bekas pengerusi majlis peguam ini boleh diperbodohkan. Adakah sebodoh itu beliau? Apa yang berlaku ialah kerana mereka tidak tahan melihat penyelewengan yang berlaku daripada menipu rakyat melalui pilihan raya, rakyat tidak menjadi hakim yang adil sedangkan negara dibejati dengan penyelewengan, salahlaku kuasa dan kronisme. Nepotisme, korupsi yang berlaku dengan begitu parah, ini dilihat berita tentang stadium, masjid dan jambatan rakyat runtuh. Ini sudah tentulah timbulkan rasa tidak senang dan mereka perlu menunjukkan rasa ini. PAS selaku parti Islam boleh mendukung perjuangan Bersih 2.0 yang dikepalai oleh seorang bukan Islam?
Saya ingin sebut Sirah Nabi Muhammad s.a.w apabila Baginda berhijrah ke Madinah dan mendirikan negara ISlam yang melibatkan masyarakat majmuk di Madinah dan menunjukkan Islam adil untuk semua. Sehingga nabi meluahkan satu rasa peristiwa yang sangat diingati baginda, zaman sebelum Islam apabila baginda diajak oleh bapa saudaranya menyertai satu perjumpaan kalangan kafir Arab, di rumah Abdullah Bin Juda'an, termasuk yang ada Abu Jahal dan Abu Lahab, yang boleh bermusuh dengan Islam.
Apabila timbul satu isu membabitkan seorang yang mengunjungi Mekah, Mekah adalah satu negeri aman yang perlu dilindungi, pengunjung itu telah dizalimi oleh kalangan penduduknya, lalu pengunjung itu merintih meminta pertolongan. Lalu pemimpin ini merasakan malu lalu berjumpa di rumah Abdullah Bin Judaan lalu memeterai Perjanjian AlFudhul, membantu mereka yang kena zalim. Sekiranya aku sangat menyintai perjanjian ini, seperti mengasihi kenderaan yang mahal harganya. Sekiranya perjanjian ini walaupun berlaku pada zaman Arab Jahilillah, dibawa ke zaman Islam, nescaya aku menyertainya.
Ini satu nas dalam sirah.K ita anggap Bersih ini satu langkah diambil untuk mendesak supaya dilakukan islah, daripada kerosakan berlaku pilihan raya di Malaysia, mereka tidak reda rakyat dibeli, dibodohkan media, perubahan tidak boleh berlaku jika halangan ini wujud.Kita anggap ini satu tanggungjawab mendukung sama perjuangan ini.
Pihak musuh PAS mainkan bahawa Ambiga ini adalah salah seorang peguam bela Lina Joy dan menyertai IFC Interfaith Commission, tetapi kini PAS berketuakan orang begini?
Saya rasa Abu Jahal dan Abu Lahab ini lebih teruk di zaman jahiliyah, mengapa nabi tak sebut kejahatan jahatnya di zaman jahiliyyah? Tetapi nabi sebut kebaikan yang dilakukan?
Saya tidak letak Ambiga dengan begitu rupa (umpama), itupun nabi tak kata begitu. Kita ambil aspek dia bukan Islam, bukan kerana dia buat kegiatan yang dia tidak setujui dengan kita, tetapi hak kita mendukung hak dalam mendapatkan keadilan.
Kita tengok Umno-BN mereka cuba rendah-rendahkan kononnya rakyat tidak ramai keluar pada himpunan Bersih 2.0, ada sebut 3 ribu ada sebut enam ribu, ada yang tidak, apa pandangan Ustaz?
Saya yang mengaji ilmu hadis bila riwayat itu bercanggah antara satu sama lain jadi hadis itu daif, jadi laporan media pihak berkenaan yang melaporkan bercanggah antara satu sama lain, kalau sedikit jumlahnya sangat memalukan adanya arahan larangan memasuki Kuala Lumpur oleh 91 individu yang memimpin himpunan aman itu di Kuala Lumpur. Mengapa? Mengapa mereka takut sangat? Polis begitu dikerahkan daripada seluruh negara, media arus perdana digunakan melampaui undang-undang, jika yang keluar itu hanya segelintir sahaja? Ini memalukan kerajaan. ni sangat memalukanlah, patutnya satu balai polis sahaja cukuplah.
(Pix: Presiden PAS beri amaran akan ada lagi Perhimpunan Bersih. Beliau ditemani Setiausaha Politik, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar dan Setiausaha Akhbar, Mohd Nasaie Ismail ketika diwawancara Harakah.)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment