PILIHAN RAYA Umum Mesir yang benar-benar bebas selepas kejatuhan rejim diktator Hosni Mubarak, akan diadakan pada September depan.
Lebih 20 parti baru ditubuhkan, mengintai peluang untuk menggalas amanah daripada 40 juta pengundi daripada 85 juta rakyat Mesir.
Daripada 20 buah parti, hanya satu parti sahaja yang mendapat perhatian media, sama ada dalam dan luar negara. Iaitu parti Al-Hurriyah wal 'Adalah (Kebebasan dan Keadilan) yang ditaja gerakan Ikhwan Muslimin.
Ibu pejabatnya yang berpusat di Manyal, Kaherah senantiasa sibuk dan sarat dengan kunjungan tetamu. Selain menerima kunjungan daripada Timbalan Perdana Menteri Mesir, mereka juga dikunjungi diplomat luar, antaranya dari negara-negara Eropah.
Malah Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Rodham Clinton membuat kenyataan seperti yang disiarkan secara langsung oleh Hurrah Channel, bahawa AS sedia menjalin kerjasama dengan Ikhwan Muslimin yang dilihat bakal peneraju utama kerajaan Mesir, pasca Hosni Mubarak.
AS yang selama ini mendukung kezaliman Hosni Mubarak ke atas pemimpin Ikhwan Muslimin, dilihat cuba untuk menjalinkan perhubungan.
Para pemimpin Ikhwan Muslimin begitu berhati-hati dengan usaha AS mencampuri urusan dalaman Mesir, namun sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi kebaikan rakyat Mesir keseluruhannya.
Mengapa Ikhwan Muslimin begitu digeruni dan dipandang tinggi masyarakat antarabangsa sekarang? Ikhwan Muslimin, sepanjang 83 tahun sejak ditubuhkan pada tahun 1929 melalui liku-liku perjuangan yang amat getir. Mursyidul Am pertamanya Imam Hassan al-Banna gugur syahid dibunuh pada tahun 1949, ramai pemimpin utamanya mati di tali gantung, dibunuh, dipenjara dan diseksa rejim pemerintah Mesir.
Hampir tiada pemimpin utama Ikhwan yang menjalani kehidupan dengan mudah. Penjara ibarat rumah kedua mereka. Rata-rata disumbat dalam penjara selama bertahun-tahun. Malah ramai yang syahid akibat diseksa dalam penjara.
Ikhwan menerima tekanan yang maha dahsyat dari pemimpin Mesir, sejak daripada Raja Farouk, Gamal Abdul Nasser, Mohamad Anwar Sadat sehingga Hosni Mubarak. Namun, Ikhwan tidak pernah luntur, kepimpinan dan ahli-ahlinya tetap istiqamah dengan perjuangan Islam.
Daripada pertubuhan yang diharamkan, dibenci dan diburu pemerintah, hari ini, selepas demonstrasi rakyat menumbangkan Hosni Mubarak 13 Februari lalu, Ikhwan dianggap bakal penentu masa depan negara Mesir.
Ramai orang bercakap tentang peranan Ikhwan Muslimin dalam tsaurah (revolusi) Mesir. Ada sesetengah pihak cuba melekehkan Ikhwan, malah ada yang menuduh Ikhwan menangguk di air yang keruh.
Tidak kurang juga ada yang mendakwa Ikhwan tidak terlibat, bahkan didakwa tidak keluar langsung pada permulaan tsaurah 25 Januari lalu.
Semasa di Kaherah minggu lepas, dengan bantuan seorang sahabat, Ustaz Mohd Zahari Mat Ali, saya diterjemahkan dengan sebuah rencana tulisan Ustaz Solah Abdul Maqsud, seorang wartawan Ikhwan yang terkenal, dalam Majalah Ar Risalah keluaran Jun 2011.
Beliau menjelaskan sejak bermulanya seruan berdemonstrasi bagi menuntut perubahan melalui facebook yang dipelopori golongan muda deri pelbagai aliran, termasuk anak-anak muda Ikhwan Muslimin.
Merekalah yang mula mengajak rakyat untuk berdemonstrasi pada 25 Januari 2011, yang kebetulan jatuh pada sambutan hari polis Mesir.
Seruan ditujukan kepada seluruh rakyat Mesir termasuk parti-parti politik. Sebahagian menyatakan sokongan, sebahagian lain mendiamkan diri, tidak kurang yang mempersendakan seruan tersebut, di antaranya Dr Rifa'at Saed, presiden parti Tajammuk haluan kiri yang menganggap demonstrasi pada hari polis suatu yang tidak patut.
Pendirian Ikhwan Muslimin
Reaksi Ikhwan Muslimin jelas memberi sokongan untuk demonstrasi. Ini disuarakan oleh kepimpinan tertinggi jamaah Ikhwan Muslimin, mahupun pimpinan Ikhwan dalam kesatuan sekerja, universiti, juga parlimen rakyat.
Pendirian ini memberikan tamparan yang hebat kepada kerajaan Hosni Mubarak. Mubarak membuat arahan melalui polis yang mengawal keselamatan negara, untuk memanggil sebahagian pimpinan Ikhwan sama ada di Kaherah atau negeri-negeri lain, tiga hari sebelum berlaku demonstrasi.
Polis memberi amaran agar mereka tidak keluar demonstrasi, dan mengugut sekiranya Ikhwan terlibat dalam demonstrasi tersebut mereka akan ditangkap. Polis mengugut akan melakukan demonstrasi berdarah dan mereka akan dikenakan perbicaraan mahkamah tentera.
Pada 23 Januari, Mursyidul Ikhwan Dr Muhammad Badie', mengeluarkan kenyataan keras dalam reaksi terhadap ugutan polis terhadap pemimpin Ikhwan.
Beliau menyatakan dengan tegas, menolak sebarang ugutan kerajaan dan polis. Katanya, semua ugutan tersebut tidak akan mampu menakutkan atau melemahkan semangat Ikhwan. Beliau sebaliknya menyeru seluruh rakyat Mesir berganding bahu demi mencapai reformasi untuk menjatuhkan Hosni Mubarak.
Bermula tsaurah
Pada pagi hari Selasa 25 Januari, bermula demonstrasi secara aman di Kaherah dan beberapa negeri lain di Mesir. Berpuluh-puluh ribu berhimpun di merata-rata tempat di seluruh negara.
Majoriti yang berhimpun adalah pemuda-pemudi facebook, bersama-sama mereka juga pemuda Ikhwan. Malah Ahli-ahli parlimen Ikhwan turut serta.
Arahan dikeluarkan oleh pucuk pimpinan Ikhwan agar bekerjasama dengan seluruh rakyat Mesir. Tanpa menggunakan slogan juga sepanduk Ikhwan dan tidak mengangkat kecuali bendera Mesir sahaja. Taktik ini berjaya menarik pendemonstrasi-pendemonstrasi untuk bergabung dengan Ikhwan.
Tindakan ini menyebabkan polis tidak mampu membezakan mana Ikhwan dan mana bukan Ikhwan, hasilnya polis tidak dapat menghalang Ikhwan daripada demonstrasi tersebut sebagaimana yang biasa mereka lakukan.
Keganasan polis terhadap rakyat
Pihak polis Mesir cuba meleraikan demonstrasi tersebut dengan pelbagai cara. Ratusan ditangkap dan disumbat ke dalam trak polis, termasuk yang ditangkap puluhan wartawan antaranya wartawan Ikhwan yang terkenal Ustaz Muhammad Abdul Quddus yang merupakan menantu kepada ulama' agung Mesir Sheikh Muhammad al-Ghazali, beliau merupakan Ketua Lujnah Kebebasan dalam Persatuan Wartawan Mesir.
Tangkapan tersebut tidak melemahkan semangat rakyat Mesir, bahkan dalam setiap demonstrasi semakin besar bilangan yang hadir. Khususnya di Medan Tahrir di tengah-tengah Kaherah dan di Jalan Qurnisy, Iskandariah.
Tidak dinafikan revolusi yang tercetus di Tunisia menjadi pembakar semangat kepada rakyat Mesir untuk terus bangkit. Polis mendapat maklumat bahawa pendemonstrasi tidak akan meninggalkan Medan Tahrir sehingga tuntutan-tuntutan mereka ditunaikan. Antaranya reformasi politik, pembubaran parlimen dan Dewan Senat, penghapusan darurat, menuntut agar Mubarak tidak bertanding lagi juga tidak mewariskan tampuk pemerintahan kepada anaknya.
Tuntutan-tuntutan ini adalah kehendak rakyat Mesir, yang mahu sistem demokrasi tulen diamalkan dalam negara.
Namun, polis bertindak melindungi kepentingan Hosni Mubarak, anak-beranak, kroni serta pemimpin al-Hizbul Watani dengan melakukan tindakan kekerasan terhadap pendemonstrasi.
Polis tidak menangani demonstrasi ini dengan baik, mereka menggunakan kekerasan yang melampau. Berpuluh-puluh ribu anggota polis dan 300 kereta perisai dikerahkan untuk mengepung Medan Tahrir. Gas pemedih mata dan peluru hidup dihamburkan ke arah pendemonstrasi. Malah di tepi jalan polis dengan tongkat elektrik, digunakan untuk menghalau para pendemonstrasi.
Uslub (pendekatan) yang sama digunakan di Suez, Iskandariah dan Gharbiyyah. Dengan kekerasan tersebut polis berjaya pada malam itu mengeluarkan pendemonstrasi daripada Medan Tahrir.
Namun, semangat rakyat tidak pernah luntur, mereka kembali berkumpul pada pagi keesokannya dan mengajak seluruh rakyat Mesir kembali berdemonstrasi pada 28 Januari, iaitu pada hari jumaat, yang dinamakan hari kemarahan.
Jumaat hari kemarahan
Ikhwan Muslimin tidak mengendahkan ugutan polis. Bahkan terus menyeru seluruh rakyat Mesir turun kembali pada Jumaat 28 Januari, akibat daripada keganasan melampau polis pada hari Selasa sebelumnya.
Polis berkawal ketat di seluruh jalan dan tempat-tempat tumpuan untuk menghalang demonstrasi tersebut. Namun begitu rakyat Mesir yang begitu bersemangat keluar beramai-ramai setelah selesai solat Jumaat.
Mereka menuju ke medan-medan utama di seluruh Mesir. Slogan yang dilaungkan, 'aman...aman..' Slogan tersebut menyebabkan sebahagian pemimpin polis serta anggota yang ditugaskan mengawal dwmo merasa serba salah.
Namun begitu, oleh kerana arahan tegas dikeluarkan oleh pucuk pimpinan tertinggi pihak keselamatan yang menjadi barua kepada Hosni Mubarak agar menghancurkan demonstrasi tersebut dengan apa cara sekali pun, mereka terus bertindak ganas.
Namun, kekerasan yang dilakukan polis tidak mampu membendung amarah rakyat. Para pendemonstrasi berjaya sampai ke medan-medan utama khususnya Medan Tahrir. Polis menyambut mereka dengan menembak pendemonstrasi dengan menggunakan peluru hidup tanpa sebarang belas ihsan. Hasilnya, ratusan syuhada' telah gugur dan ribuan yang cedera, semata-mata mahukan keadilan, keamanan dan demokrasi tulen terlaksana di Mesir.
Polis beredar dan menghilangkan diri
Di sebalik kebanjiran darah mengalir akibat ratusan syuhada' gugur dan cedera tidak mampu mengendurkan semangat rakyat. Ketakutan mereka kepada peluru hidup sudah hilang, mereka tidak gentar.
Polis terus menembak sehingga kehabisan peluru. Hal ini menyebabkan polis mula berundur, kerana takut kepada pendemonstrasi.
Sehinggakan ada setengah kereta perisai polis melanggar dan melanyak para pendemonstrasi sehingga syahid kerana dipandu dalam keadaan mengundur.
Segala usaha polis gagal menyuraikan demonstrasi. Hasilnya arahan telah dikeluarkan agar polis beredar sebelum jam 4 petang. Ramai di kalangan inspektor-inspektor polis yang ketakutan mula menanggalkan pakaian rasmi dan meninggalkan kereta-kereta perisai.
Akibat dari amarah rakyat terhadap keganasan polis, maka pendemonstrasi membakar kereta-kereta perisai tersebut. Malah dikhabarkan terdapat sebilangan orang yang tidak dikenali mula membakar balai-balai polis.
Di dalam kekelamkabutan itu pihak polis rahsia menggunakan taktik terbaru. Mereka melepaskan banduan-banduan yang berada di penjara dan balai polis.
Suasana menjadi huru-hara dengan pihak arahan pihak atasan kepada polis rahsia agar melakukan rompakan, kecurian bagi menakut-nakutkan rakyat.
Keadaan menjadi semakin tidak terkawal. Tepat jam 10 malam, Hosni Mubarak keluar di kaca TV Mesir mengisytiharkan pembubaran kabinet dan tentera turun untuk mengawal keadaan.
Pada waktu yang sama perintah berkurung diisytiharkan bermula jam 3 petang hingga 8 malam. Internet telah diputuskan juga hubungan telefon terputus.
Untuk menghadapi suasana huru-hara, pucuk pimpinan Ikhwan Muslilim telah mengarahkan anggota-anggotanya agar bekerjasama dengan seluruh rakyat bagi membentuk 'Jawatan kuasa Rakyat' bagi mengawal keselamatan seluruh negara. Ia berperanan mengawal bangunan-bangunan kerajaan, rumah-rumah rakyat serta mengatur lalu lintas.
Jawatankuasa ini cukup berjaya melaksanakan tanggungjawab dalam suasana ketiadaan polis dan ia menyebabkan peranan Ikhwan semakin disanjung rakyat.
Banduan lari dari penjara
Akibat daripada penjara-penjara dibuka polis, dianggar lebih 23 ribu banduan-banduan jenayah melarikan diri. Dalam hal ini kejahatan Hosni Mubarak terserlah kerana, polis diarahkan hanya membebaskan penjenayah untuk mencetuskan kekacauan dan huru-hara. Banduan politik tidak dilepaskan.
Mengetahui penjara telah dibuka, pemuda-pemuda yang berada di Medan Tahrir mula bergerak ke Penjara Thurah untuk membebaskan tahanan politik, yang kebanyakannya terdiri daripada pemimpin-pemimpin tertinggi Ikhwan Muslimin.
Antara yang dibebaskan rakyat adalah Timbalan Mursyidul Am Ikhwan Muslimin, Ir Khairat Syatir dan dua tokoh perniagaan terkemuka dari kalangan pemimpin Ikhwan iaitu Ustaz Hassan Malik dan Dr Usamah Sulaiman.
Bagaimanapun, di atas nilai moral yang tinggi ketiga-tiga pejuang Ikhwan tersebut menolak untuk keluar penjara dengan cara tersebut. Mereka hanya dibebaskan kerajaaan baru selepas Hosni Mubarak ditumbangkan.
Pada petang jumaat tersebut, kereta kebal tentera mula turun ke jalan raya utama dan mengawal kawasan-kawasan strategik. Rakyat menyambut tentera dengan gembira dan mengibarkan bendera Mesir. Tentera tidak menggunakan kekerasan sama sekali dengan rakyat. Rakyat Mesir merasa aman apabila tentera bersama mereka.
Negara Medan Tahrir
Rakyat terus berada di Medan Tahrir dengan melaungkan slogan 'Irhal, irhal, irhal' (Turun, turun, turun), 'Rakyat mahu jatuhkan kerajaan'.
Anak-anak muda pendukung Ikhwan Muslimin yang mempunyai pelbagai pengalaman mengatur perhimpunan dan perbincangan, mengatur muktamar-muktamar, membina khemah dengan kerjasama seluruh pertubuhan bukan kerajaan dan aliran massa yang berada di Medan Tahrir.
Dengan pertolongan Allah pucuk pimpinan Ikhwan berjaya mengatur dan mengurus rakyat dari pelbagai kalangan yang berhimpun di Medan Tahrir.
Anggota-anggota Ikhwan Muslimin dengan berbekalkan tarbiyah yang tinggi, mempunyai akhlak, sifat tawaduk dan sabar adalah paksi dan tunjang utama di Medan Tahrir.
Ikhwan Muslimin memberi ingatan kepada seluruh yang berada di Medan Tahrir agar tidak sekali-kali berundur. Slogan yang digunakan 'sama ada menang atau syahid'.
Malah dianjurkan para pendemonstrator agar eluar dari rumah dalam keadaan meninggalkan wasiat kepada anggota keluarga kerana kemungkinan tidak kembali lagi.
Dengan kesungguhan rakyat, Medan Tahrir bertukar menjadi 'Negara Medan Tahrir' atau 'Republik Tahrir'.
Di dalamnya ada pemimpin, ada pasukan pertahanan yang tidak bersenjata, senjata mereka hanya kekuatan tubuh badan dan iman. Di dalamnya juga ada doktor-doktor yang merawat pendemonstrasi yang cedera, terhadap jurutera-jurutera yang sentiasa membuat perancangan bagaimana untuk mempertahankan Medan Tahrir.
Semua berganding bahu bersatu hati, pemuda-pemudi, golongan miskin kaya, semuanya bersatu seolah-olah berada di Jabal Arafah atau di hadapan Kaabah untuk melakukan ibadah.
Mereka berkongsi makanan yang sama, makan bersama-sama, kadang-kadang roti, tamar, manisan. Semua berkorban dan tidak mementingkan diri. Itulah kekuatan yang menunjangi perjuangan rakyat.
Ikhwan menurunkan bendera mereka
Bendera negara Mesir menjadi senjata utama yang digunakan oleh pemuda-pemuda Ikhwan dan seluruh mereka yang berada di Medan Tahrir pada waktu itu.
Ada yang diangkat, ada yang dilukis dipipi dan didada, ia menjadi lambang kesatuan kepada semua.
Ikhwan merupakan golongan pertama yang menurunkan bendera mereka dan mengangkat bendera Mesir, melaungkan slogan-slogan umum dan tidak sekali-kali menggunakan slogan Ikhwan.
Golongan pemuda berjaya melancarkan tiga siaran utama di Medan Tahrir. Siaran ini digunakan untuk menyiarkan berita-berita terkini dan menolak segala pembohongan daripada RTM, TV3 Mesir dan akhbar-akhbar utama yang menjadi tali barut parti Umno Mesir. Siaran ini beroperasi selama 24jam.
Perkhidmatan perubatan
Ratusan doktor dan jururawat, di samping ratusan pelajar-pelajar perubatan berganding bahu memberikan khidmat perubatan kepada pejuang-pejuang siang dan malam selama 18 hari berturut-turut di Medan Tahrir.
Mereka membina hospital bergerak di Masjid Abdul Rahman di medan tersebut. Mereka juga membina khemah. Satu khemah di hadapan masjid dan dipecahkan kepada unit-unit bedah, perubatan awam Dan lain-lain. Doktor-doktor bertugas mengikut waktu dan masa yang ditetapkan, satu-satu waktu itu lebih daripada 100 doktor yang bertugas di samping jururawat dan farmasi. Semuanya dilakukan secara percuma.
Bukan setakat itu sahaja, malah upacara perkahwinan juga di langsungkan di Medan Tahrir dalam tempoh berlakunya tsaurah.
Penutup
Begitulah hebatnya Ikhwan Muslimin. Ia memainkan peranan utama dalam membersihkan negara Mesir daripada Hosni Mubarak yang zalim dan kejam.
Ikhwan Muslimin menjadi tunggak utama untuk menjayakan tsaurah Mesir yang dianggap oleh dunia sebagai tsaurah aman yang berdepan dengan keganasan melampau rejim Hosni Mubarak.
Oleh sebab itu, hari ini Ikhwan Muslimin dipandang tinggi oleh negara Kuasa Besar dunia. Ia digeruni dan dihormati. Ia berjaya dalam tsaurah dan ia dijangka menjadi peneraju utama pemerintahan Mesir selepas pilihan raya nanti.
Kemenangan yang bakal ditunjangi Ikhwan Muslimin, bukan sahaja akan mengembalikan Mesir ke zaman kegemilangan Islam suatu masa lalu, malah ia akan mengubah landskap politik seluruh negara Arab di rantau Teluk.
Dengan bebasnya Mesir dari cengkaman boneka AS-Israel, jalan untuk menyelamatkan Palestin juga akan terbuka seluas-luasnya. Insya-Allah.
1 comment:
salam,
ambo tidak melihat spt anda...memang Hosni zalim tapi lepas Mesir akan digantikan dgn kerajaan yang tidak aman untuk satu jangka waktu yang panjang..tunggulah...
Post a Comment