Thursday, July 14, 2011
Bersihkan negara daripada keganasan polis
KITA hidup dalam negara Malaysia yang berdaulat, mempunyai keluhuran undang-undang, berada dalam suasana yang aman lagi sejahtera.
Negara kita mempunyai sistem. Sistem yang berpaksikan kepada prinsip-prinsip demokrasi, yang seharusnya diamalkan dengan jujur dan adil oleh semua pihak, demi kesejahteraan rakyat berbilang kaum dan agama.
Dalam sebuah negara demokrasi, rakyat diberikan hak untuk bersuara dan berhimpun, selama mana perlakuan mereka tidak mencetuskan sebarang tindakan ganas atau mengancam keselamatan negara.
Malaysia menyaksikan banyak sisi perhimpunan rakyat, antaranya isu Bersih, isu PPSMI, isu ISA, isu karikatur menghina Nabi Muhammad s.a.w, isu kekejaman Amerika Syarikat, isu Palestin, isu kejahatan Israel dan sebagainya.
Pada semua perhimpunan ini, kita harus berbangga kerana kita mempunyai rakyat yang cukup berdisiplin. Mereka berhimpun secara aman, membuat bantahan dan menyerahkan memorandum kepada pihak yang ditujukan.
Tiada insiden peserta perhimpunan melakukan vandalisme. Tidak pernah kedutaan Amerika, Denmark, Mesir dan sebagainya, dibaling dengan bom, batu atau botol air sebagaimana yang berlaku di beberapa negara.
Dalam ertikata lain, sifat perhimpunan yang dianjurkan oleh rakyat Malaysia, jauh lebih baik, jauh lebih berdisplin berbanding dengan negara asing.
Justeru, apakah tidak wujud keganasan? Bukanlah media arus perdana yang didalangi Umno menunjukkan pelbagai kemusnahan atau vandalisme gara-gara perhimpunan yang didakwa mereka sebagai haram?
Persoalan yang harus ditanya di sini, siapakah yang mencetuskan keganasan, siapakah yang mengatur provokasi sehingga berlakunya insiden yang buruk itu?
Kita harus ingat, pihak polis cuba membuat plot atau drama keganasan ini, berminggu-minggu sebelum berlangsungnya Perhimpunan Bersih 2.0.
Setiap hari media tali barut Umno-Barisan Nasional memaparkan, kononnya wujud plot mencetuskan fahaman komunisme, kononnya dijumpai senjata dan alat-alat yang boleh digunakan semasa rusuhan.
Plot yang diatur polis ini ternyata gagal. Buktinya tiada satu pun insiden pada 9 Julai 2011, yang boleh dikaitkan dengan 'penemuan' awal pihak keselamatan, kononnya terdapat di kalangan peserta Bersih yang mahu merusuh.
Sehingga akhbar paling bodoh dan provokatif di Malaysia, menyiarkan pada muka hadapannya pada hari tersebut bahawa Kuala Lumpur berada dalam keadaan darurat.
Polis dan media menjadi tali barut paling jahat untuk melindungi kepentingan Umno-BN. Mereka yang merancang drama keganasan, mengarahkan drama, tetapi malangnya drama yang dirancang tidak mengikut skrip asal yang ditentukan mereka.
Hari ini rakyat berang kerana pada 9 Julai, pihak polis bertindak ganas menghambat peserta Perhimpunan Bersih, menangkap mereka, mencederakan, sehingga ada yang meninggal dunia. Bukti keganasan polis tersiar dalam youtube dan web-web tertentu.
Keganasan polis direkodkan dan disaksikan media antarabangsa, sehingga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menyelar salahlaku pihak keselamatan yang mencabuli prinsip demokrasi untuk menyuraikan penunjuk perasaan.
Oleh kerana itu kita menuntut supaya anggota polis yang terbabit melakukan keganasan diambil tindakan menurut undang-undang.
Bahkan pemimpin yang terbabit mengeluarkan arahan, harus diheret sama ke kancah pengadilan.
Moga dengan tindakan tegas kita menghalang kezaliman ke atas rakyat daripada merebak, akan mengembalikan negara ke landasan demokrasi yang sebenar.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment