Tuesday, July 05, 2011

Misi amal untuk Palestin



MISI kemanusiaan Yayasan Amal Malaysia dilaksanakan semula pada 19 Jun lalu, dengan harapan bahawa peluang untuk menjengah umat Islam Palestin di Gaza begitu cerah selepas kejatuhan Presiden Mesir, Hosni Mubarak.

Misi disertai tujuh orang anggota, begitu bersemangat kerana selama ini umat Islam Palestin dihimpit oleh kesengsaraan dan kebuluran akibat kerakusan tentera rejim Zionis haram Israel, yang terus menutup ruang di sempadan Mesir-Palestin tanpa belas ihsan.

Setibanya kami di Kaherah, ibu negara Mesir, kami diberitahu pintu masuk Mesir-Palestin tidak dibuka untuk non-Palestin atau non-Mesir.

Jika pun alasan diberikan untuk tujuan pelancongan, kita terpaksa melalui berpuluh-puluh check-point tentera yang akan memeriksa, menyoal dan menggunakan pelbagai alasan untuk menghalang kemasukan ke Gaza menerusi pintu Rafah.

Ini kerana, walaupun rejim Hosni Mubarak telah ditumbangkan, namun ramai ejen-ejen Israel dan Amerika Syarikat masih kekal dalam kerajaan, khususnya mereka yang terbabit mengawal sempadan.

Khabar yang diberitahu kepada umum bahawa pintu masuk melalui bandar Rafah sudah dibuka, sebenarnya hanyalah pembohongan semata-mata.

Daripada beribu-ribu rakyat Palestin yang memohon untuk memasuki Mesir, dikhabarkan hanya dibenarkan sekitar 20 orang sehari. Itupun yang dibenarkan masuk, hanyalah orang-orang tua, perempuan dan kanak-kanak. Lelaki yang berusia 18 hingga 40 tahun, tidak dibenarkan sama sekali.

Hanya mereka yang cedera atau sakit sahaja diberi kelonggaran. Namun, kemasukan dari Palestin ke Mesir tidak mudah, ramai yang terpaksa menunggu di pos kawalan sempadan.

Manakala dari Mesir pula, yang hanya boleh masuk hanyalah bekalan perubatan dan makanan. Lain-lain barang dilarang oleh imigresen atau kastam Mesir. Jika pun kebenaran untuk masuk diberikan, kita terpaksa melalui pemeriksaan yang amat ketat daripada pihak Mesir.

Alasannya hanya satu. Iaitu Israel dan Amerika takut kalau-kalau bantuan yang tiba ke Palestin, seperti barangan besi (metal) dan sebagainya, boleh digunakan sebagai bahan untuk membuat senjata bagi menentang Israel. Malah, kami dimaklumkan barang-barang binaan rumah juga dihalang masuk kerana dianggap boleh membuat tempat pelindungan serangan Israel.

Sehingga ada laporan dari TV Mesir menyatakan, terdapat kapal-kapal yang membawa barang PVC tersadai di Port Said (bandar pelabuhan di utara Mesir), kerana tidak dibenarkan memasuki perairan Gaza.

Mengapa Mesir begitu mesra dengan Israel-AS? Mengapa Mesir begitu sayang kepada kepentingan Israel-AS, sebaliknya menjadi penghalang untuk umat Islam Palestin untuk terus menikmati kehidupan.

Secara tidak kita sedari, bahawa pemerintah Mesir sejak tahun 1948, sudah menjadi badut-badut belaan Israel dan AS. Malah hampir seluruh negara Arab menjadi 'barua' AS yang bertujuan untuk melindungi kepentingan Israel.

Justeru selagi pemerintah badut-barut ini tidak ditumbangkan, harapan untuk membantu umat Islam Palestin terpaksa merentasi jalan-jalan yang berliku.

Namun perjuangan untuk membantu yang kesukaran tidak mengenal erti kesusahan, tidak mengenal erti penat atau jemu. Banyak cara boleh dilakukan.

Alhamdulillah, bantuan yang dikumpul daripada rakyat Malaysia dari dalam dan luar negara sejumlah RM150 ribu dapat disalurkan kepada Palestin. Dengan wang tersebut, dapatlah mereka meneruskan projek untuk membina empat tube well bagi membekalkan air kepada 40 ribu rakyat, dapat mereka membeli beg-beg serta peralatan sekolah untuk anak-anak dan membina makmal komputer.

Kita akan kembali ke Palestin untuk terus membantu mereka. Mudah-mudahan segala amal jariah kita diterima Allah 'Azzawajalla.

No comments: