Friday, July 22, 2011
Kami tidak akan biarkan SPR tidur lena
PERHIMPUNAN Aman Bersih 2.0, telah diadakan dengan jayanya. Namun selepas himpunan itu media arus perdana masih memberikan laporan negatif terhadap Berish 2.0 malah lebih parah dari itu, PAS yang menyokong agenda Bersih 2.0 diserang bertubi-tubi termasuk melabelkan PAS menyokong pemimpin Hindu yang mengetuai Bersih 2.0.
Walhal Bersih 2,0 mempunyai agenda membersihkan sistem pilihan raya yang punah di Malaysia, dan PAS menyokongnya kerana agenda tersebut.Membincangkang isu tersebut,
Wawancara wakil Harakah, MOHD RASHIDI HASSAN dan WAN NORDIN WAN YAACOB menemui Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa di Kuala Lumpur pada 18 Julai lalu.
Bersih 2.0 telah berjalan dengan jayanya. Namun, terdapat celaan ke atas PAS dan parti Pakatan Rakyat kononnya kita mengikut telunjuk seorang yang beragama Hindu. Apa pandangan Dato'?
DATO' HUSAM MUSA : Bersih ini dah dua kali berlangsung, Bersih yang pertama dipengerusikan oleh Syed Shahir Syed Mohammod dan kedua oleh Dato Ambiga. Pada masa yang sama Bersih 2.0 dianggotai oleh Pak Samad Said (Sasterawan Negara). Kalaulah dikatakan PAS menyokong Bersih sama dengan menyokong Ambiga yang terlibat dalam kes Lina Joy, ia adalah pemikiran yang sangat lemah.
Apakah ada perbezaan?
Agenda Bersih adalah berbeza dengan agenda isu Lina Joy sebelum ini.Kita tidak sokong Ambiga tetapi sokong tuntutan Bersih 2.0, yang aman dan mempunyai pilihan raya yang bersih. PAS menyertai pilihan raya, sudah tentu sebagai parti yang tiada instrumen kuasa kita mahukan pilihan raya adil.Jika adil peluang PAS akan jadi lebih besar untuk menang, dan rakyat puas hati jikapun kita kalah.Kita bukan sahaja nak menang, tetapi kalah dengan puas hati jika pilihan raya itu Bersih.Semua pihak akan puas hati.Oleh kerana itu adalah jelas PAS sokong Bersih adalah kerana tuntutan Bersih selari dengan keperluan PAS.Jadi tidak timbul masalah kita menyokong orang India beragama Hindu yang memperjuangkan isu Lina Joy. Kalau ditakdirkan Ambiga membawa agenda lain, kita tidak akan sokong dia.
Apa asasnya?
Kita bukan sokong pengerusi Bersih tetapi tuntutan Bersih.Saya hairan bagaimana media Umno tidak memberikan liputan besar terhadap perjuangan Pak Samad yang juga seorang sasterawan negara yang ada personaliti merdeka. Jika Pak Samad kata sistem pilihan raya kita tidak adil, mengapa pendapat ini tidak diambil kira.Pak Samad seorang sasterawan yang berbangsa Melayu. Mengapa kita hanya mengambil soal Ambiga yang berbangsa India dan bergama Hindu? Tetapi tidak mengambil berat hal Pak Samad?
Nampak agenda media arus perdana ini begitu teruk dan tidak lagi jujur, iaitu media kita sudah begitu berat sebelah.
Kata SPR jika pilihan raya tidak bersih, masakan pembangkang boleh menang?
Kemudian timul isu jika pilihan raya tidak bersih, macam mana pembangkang boleh menang. Isunya ialah pilihan raya yang akan datang dan yang telah lepas, kalau yang telah lepas kita boleh menang sebahagian mungkin jika bersih kita boleh menang sepenuhnya. Jika yang lepas ada ketelusan, tidak semestinya pilihan raya akan datang ini akan berlaku sama seperti PRU lalu.
Ada contoh tak Dato'?
Pada tahun 2004, yang berlaku di Terengganu adanya manipulasi daftar pemilih, peningkatan undi Umno 74 peratus. Sangat luar biasa sedangkan penurunan undi PAS hanya pada kadar 5 hingga 8 peratus secara purata, dengan undi turun dan peningkatan undi daftar baru, yang luar biasa, undi Umno tidak boleh meningkat sedemikian rupa.Bila kita campur dengan undi penurunan yang dialami PAS dan daftar undi baharu yang baru dibuat masa itu, dan undi biasa dan semua undi beralih kepada Umno pada masa itu, masih belum boleh menjelaskan bagaimana peningkatan undi Umno pada tahun 2004.
Fenonema ini berlaku di Tereggganu kerana pada masa itu Terengganu sasaran Umno (untuk dirampas), pilihan raya itu tidak bersih hasilnya PAS kalah. Kalau SPR tiada statistik ini dan tiada analisis ini, tiada fakta ini, pertamanya SPR tidak layak kendalikan pilihan raya yang bersih di Malaysia. Saya boleh berikan analisis ini yang diambil daripada angka SPR sendiri supaya mereka boleh lihat jelas angka-angka keputusan pilihan raya pada masa itu yang menunjukkan berlakunya penyelewengan dan penipuan. Angka yang tidak sama, dan keputusan yang diluar daripada logik akal dan logik statistik itu sendiri.
Jawapan SPR kebelakangan ini banyak menghentam pembangkang. Apa pandangan Dato?
SPR kebelakangan ini dibayangi kepentingan parti pemerintah, hujah pemikiran dan kenyataan betul-betul suara Umno-BN. SPR seharusnya ditubuhkan untuk berlaku bebas, dan mereka ada perbezaan dari segi kedudukan dengan parti pemerintah. Hari ini suara mereka lebih totok atau fanatik daripada parti politik sendiri. Jadi bagi saya ini tanda kedua SPR hilang kelayakan, hilang keyakinan awam dan paling penting pada masa Yang di-Pertuan Agong melantik lembaga SPR ialah mepastikan keyakinan awam, kalau keyakinan awam itu hilang, SPR harus pulihkan. Kenyataan Tan Sri Aziz Mohd Yusof (Pengerusi SPR) melumpuhkan dan menghancurkan lagi keyakinan awam.
Harapan Dato'?
Saya harap SPR tilik diri mereka sendiri dan lebih terbuka. Zaman hari ini sudah berubah, saya rujuk kepada kenyataan kerajaan dan polis mengenai rampasan parang, saya suka nasihatkan polis, ini abad ke-21, bukan tahun 40-an, zaman kini senjata bukan dengan parang dan tombak, tetapi anak muda hari ini menggunakan Blackberry, iPad dan segala kemudahan ICT, dan pekakasan teknologi komunikasi. Mereka tidak perlu bawa parang senjata mereka bawa alat komunikasi, dan dalam masa yang sama apa yang berlaku iaitu kekerasan polis boleh disaksikan oleh seluruh dunia, jadi perubahan teknologi dan paradigma masyarakat harus difahami oleh polis mereka. Kalau mereka terperangkap dengan perang zaman 40-an, saya kira mereka ini sangat terkebelakang.
Apa yang penting dalam tuntutan mendepani SPR?
Dari segi pilihan raya tadi kita lihat, yang penting pilihan raya akan datang ini harus bersih. Jangan kata dah menang satu dah bersih. Yang seterusnya daftar pemilih, saya tidak tahu undang-undang tetapi saya mencadangkan Bersih atau parti politik pergi ke mahkamah isytiharkan daftar pemilih yang meragukan yang mana ada berpuluhan ribu orang dalam satu alamat, serta puluhan ribu pemilih dari negeri tertentu ke negeri lain seperti yang berlaku di Selangor, dan daftar pemilih yang lain yang meragukan, yang mempunyai dua kali nama keluar dalam daftar.
Saya harap SPR terbaca laporan ini. saya cadangkan kita ke mahkamah, jika boleh ada klausa yang diizinkan daftar itu tidak sah dan terbatal. Saya harap SPR ambil segala kemungkinan ini. Jangan nanti ada unsur kecelaruan dalam daftar pemilih, jangan seluruh daftar itu terbatal. Penjelasan SPR yang terkini kononnya jumlah ratusan di satu alamat dan daftar pemilih nama dua kali ada dalam senarai pemilih adalah sangat meragukan. Hanya seperti melepaskan batuk ditangga, tidak profesional dan tiada kesungguhan untuk pelihara perjalanan pilihan raya adil dan bersih.
Kita tuntut mengadakan cap jari kekal untuk mengelak mengundi dua kali. Ianya bukanlah 100 peratus boleh mengelak daripada berlakunya penipuan, tetapi ia satu mekanisme yang dilihat antara yang terbaik. Kita yakin ia boleh mengurangkan secara maksimum pengundian yang berulang kali, sama ada anggota Rela atau pengundi pos. Ada trend askar dan isteri didaftar dalam undi pos dan dalam daftar awam. Sekarang ini giat didaftarkan anggota Rela dan askar wataniah sebagai pengundi pos, ini dilihat dan jika SPR kata tiada apa yang berlaku. Ini sindrom penafian, tetapi masyarakat tidak yakin. Bersih 2.0 telah diadakan dan telah berjalan aman, tuntutan Bersih 2.0 diadakan dengan jaya dan aman, dan saya cadangkan setiap Sabtu memakai baju kuning di kalangan ahli PAS. Ada cadangan daripada AJK PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Md Ramli agar pimpinan PAS memulakan pemakaian baju kuning Bersih ini bermula Sabtu 23 Julai ini.
Jika mereka tahan sekalipun biarlah ditahan sampai beratus ribu seluruh Malaysia, jika tahan puluhan ribu takkan tiap-tiap bulan mereka ini kerjanya menahan rakyat memakai baju Berish 2.0. Saya sendiri akan memulakan pemakaian baju Bersih 2.0 ini bermula Sabtu ini (23 Julai). Dan saya harap AJK PAS Pusat juga memakai baju ini hari Sabtu, saya nak lihat polis hanya tahan orang baju Bersih.
Biar sampai puluhan ribu orang. Takkan ini sahaja kerja polis. Ini usaha berterusan, jangan himpun sehari lepas itu diam. SPR jangan tidur lena, usaha akan diteruskan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment