Friday, May 27, 2011

Wajah baru Markaz Tarbiyah menanti perwakilan Muktamar



CATATAN saya dalam Harakah keluaran lalu mengenai nostalgia pembinaan Markaz Tarbiyah PAS Pusat Taman Melewar menyentuh sensitiviti ramai pihak, dari kalangan pemimpin sehinggalah ahli-ahli biasa.

Masing-masing tersentuh untuk menyumbang cerita-cerita lama, yang berkait rapat dengan tapak perjuangan Parti Islam Se-Malaysia di Markaz Tarbiyah PAS Pusat Taman Melewar, sejak 27 tahun yang lalu.

Terlalu banyak cerita dan terlalu ramai orang-orang lama yang nama mereka tidak sempat dicatatkan di sini. Hanya Allah jualah yang membalas jasa-jasa mereka menyuburkan perjuangan Islam.

Mereka banyak berjasa dan insya-Allah jasa-jasa mereka membangunkan, menyuburkan dan mengeluarkan keringat memajukan Markaz Tarbiyah PAS Pusat Taman Melewar akan dibalas Allah, sebagaimana firman-Nya (mafhumnya):


"Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 261)

Selepas lapan tahun ditinggalkan sebagai lokasi Muktamar, kini Markaz Tarbiyah PAS Pusat Taman Melewar kembali menyambut puluhan ribu penyokong PAS bersempena Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-57 pada 3 hingga 5 Jun ini.

Markaz Tarbiyah Taman Melewar kini berbeza dengan Markaz Tarbiyah yang dahulu. Kini di situ ditempatkan KUIZM di bawah naungan Dewan Ulama PAS Pusat.

Bangunan Markaz Tarbiyah dahulu sudah banyak berbeza dengan bangunan sekarang. Markaz Tarbiyah PAS Pusat Taman Melewar mengalami transformasi yang jauh berbeza dengan Markaz Tarbiyah yang kita kenali sejak dahulu.


Markaz Tarbiyah PAS Pusat Taman Melewar sudah diubah suai dengan begitu canggih dan moden. Tiada lagi komponen lama bangunan, semuanya sudah dirombak oleh kontraktor A One Pro Construction, milik Mohamed Idris Mohamed Kassim.

Untuk mendapatkan butiran lanjut, bagaimana Idris terbabit dalam pembinaan Markaz Tarbiyah, saya menemui beliau di kawasan dataran Taman Melewar. Pada ketika itu beliau sedang sibuk menguruskan pemasangan alat penghawa dingin.

Setelah saya dibawa melawat ke seluruh bangunan dewan besar dan kawasan pejabat, kami menyambung bicara di gerai Pak Kassim (Mohd Kassim Musa) di sisi kanan jalan masuk ke Markaz. Pak Kassim sudah 20 tahun berniaga di situ.

Menurut cerita Idris, beliau hanyalah seorang ahli biasa PAS, beliau adalah rakan rapat kepada Almarhum Zainal Ghulam Hussain (Haji Zainal) mantan YDP PAS Kepong.

Menerusi seorang rakan yang bernama Ustaz Zakaria, beliau dibawa mengenali Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Harun Taib, yang menjadi sumber inspirasi beliau.


Beliau membuat pembinaan Markaz Tarbiyah sepanjang tempoh setahun empat bulan. Ustaz Harun sebelum uzurnya rajin menziarahi beliau dan monitor perkembangan pembinaan Markaz Tarbiyah.

"Saya diamanahkan oleh Ustaz Harun untuk mengubahsuai bangunan Markaz Tarbiyah. Hendak buat macamana pun, semua Ustaz serahkan kepada saya.

"PAS tidak memberikan apa-apa dana, tiada surat perjanjian, saya buat sendiri dengan wang saya dahulu dan sebahagiannya menerusi sumbangan ahli-ahli parti," cerita beliau, sambil menambah beliau dan pekerja-pekerjanya bekerja 18 jam sehari bagi menyiapkan Markaz Tarbiyah untuk Muktamar. Sehingga kini kita sudah mencapai 95 peratus siap," katanya.

Menurut Idris, beliau cukup terharu dan tidak menjangka KUIZM akan menjadi lokasi Muktamar PAS.

Idris memberitahu, kos pembinaan Markaz Tarbiyah yang ditransformasi kepada bangunan yang serba canggih dan moden, menelan belanja sebanyak RM2.5 juta. Untuk pemasangan alat penghawa dingin sahaja keseluruhan bangunan menelan belanja RM200 ribu.

Idris berkata beliau tidak mengetahui berapa kali bangunan Markaz Tarbiyah diubahsuai. Beliau mengalami sedikit kesukaran kerana kebanyakan bumbung dan dinding mengalami kebocoran.

Bangunan asal Markaz Tarbiyah dibuat sebahagiannya menggunakan kayu, termasuk pada atap zink. Sebahagiannya sudah dimakan anai-anai.


Untuk mengatasi masalah ini Idris tidak mempunyai pilihan lain, selain merombak keseluruhan struktur bangunan. Dinding yang tertentu dipecahkan dan tiada lagi pengunaan kayu.

Bumbung lama yang dibina dengan kerangka kayu ditukar dengan C-Thrust, iaitu kerangka besi metal deck yang lebih kukuh.

"Banyak anai-anai, semuanya kita sudah tukar kepada besi, kecuali pintu-pintu bilik.

"Dalam bangunan ini kita tidak menggunakan lampu kalimantang, semuanya dibuat plaster syiling baru dengan menggunakan downlight," kata beliau.

Pengubahsuaian keseluruhan bangunan melibatkan Dewan Besar yang boleh mengisi 2000 perwakilan, surau sekitar 500 orang, serta beberapa buah bilik besar di sisi kiri dan kanan bangunan dua tingkat tersebut.

Tandas juga dirombak keseluruhannya. Tiada lagi lantai simen biasa. Semuanya dipasang tile baru.

Idris memberitahu beliau membuat tandas dua tingkat di sisi kiri bangunan. 10 bilik tandas untuk muslimin di bahagian bawah, manakala 10 bilik tandas di bahagian atas untuk kegunaan muslimat. Siap dengan bilik mandi, ruang persalinan dan sinki.


Manakala di bahagian belakang pentas untuk kegunaan pemimpin, Idris menyiapkan lapan bilik tandas. Dibahagikan empat untuk muslimin, empat untuk muslimat.

Manakala di bangunan pejabat yang kini digunakan sebagai pejabat KUIZM, terdapat ruang tamu, ruang pejabat, enam bilik pensyarah dan satu bilik tetamu di bahagian bawah. Di bahagian atas pula ditempatkan satu bilik mesyuarat besar dan dua bilik kegunaan Rektor KUIZM serta satu ruang pejabat.

"Hampir keseluruhan bangunan menggunakan alat penghawa dingin yang baru, hanya beberapa unit sahaja alat penghawa dingin lama kita gunakan.

"Selepas muktamar kita akan tukar yang baru semua, untuk waktu ini kita cuba yang terbaik untuk keselesaan perwakilan Muktamar PAS," katanya.
Pada penilaian penulis, secara keseluruhannya pengubahsuaian bangunan Markaz Tarbiyah PAS Pusat Taman Melewar amat memuaskan.

Ianya jauh berbeza dengan wajah Markaz Tarbiyah yang kita lihat dahulu. Ia amat berbeza keseluruhannya.

Tetapi dengan wajah baru yang serba canggih dan moden ini, tidak akan bermakna jika mentaliti ahli-ahli serta penyokong PAS tidak berubah. Misalnya dalam sikap menggunakan kemudahan awam dan tempat meletakkan kenderaan.



"Kita ada masalah penggunaan tandas, ada beberapa kali ceramah diadakan di kawasan dataran Markaz Tarbiyah. Selepas berakhirnya ceramah, tandas ditinggalkan dalam keadaan kotor.

"Saya terpaksa menggaji pekerja untuk membuat kerja-kerja membersihkan bangunan dan tandas. Kadang-kadang kita terpaksa tutup untuk mengelakkan ianya dari dikotorkan," ujar Idris.

Apa yang disampaikan Idris kepada saya adalah suatu perkara yang benar dan harus ditangani secara serius oleh pemimpin dan ahli-ahli PAS.

Tiada maknanya mempunyai sebuah pusat konvensyen atau dewan besar yang serba canggih, jika pemikiran kita masih tidak canggih. Kita harus berusaha memastikan kebersihan bangunan dan tandas, sentiasa berada di tahap yang memuaskan.

Seyogia juga diingatkan kepada semua pihak agar mereka tidak meletakkan kenderaan sesuka hati sehingga menghalang lalu lintas, jangan sesekali meletakkan kenderaan di hadapan rumah-rumah kediaman di Taman Melewar.

Untuk tugasan ini saya mencadangkan agar pihak Unit Amal supaya menggunakan khidmat petugas yang lebih ramai. Oleh kerana Muktamar kali ini dijangka dibanjiri puluhan ribu penyokong PAS, maka Unit Amal harus bertugas menjadi keselamatan dan kesejahteraan seluruh kawasan Taman Melewar.

Tempatkan petugas di setiap jalan dan lorong supaya Muktamar berjalan dengan lancar, di samping kita memelihara kesejahteraan penduduk awam di Taman Melewar.

Mudah-mudahan Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-57 dapat kita sempurnakan dengan jayanya.

Selamat kembali ke Taman Melewar. Selamat bermuktamar!

No comments: