Thursday, May 05, 2011

Umno-BN ketepi nilai moral untuk kepentingan politik


Pandangan Dato' Dr Haron Din mengenai isu Anwar - Siri I

TIMBALAN Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din menyifatkan sumpah laknat yang dibuat oleh Dato' Shazryl Eskay Abdullah menyalahi kaedah Islam. Malah beliau turut membidas pihak berkuasa agama termasuk Umno yang hanya menerima Islam sekerat-sekerat sahaja.

Ikuti perbincangan wakil HARAKAH INTAN ABDULLAH bersama beliau yang mengupas dengan lebih lanjut isu video seks yang didakwa melibatkan seorang pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat menurut pandangan syariah.

HARAKAH : Bersandarkan dakwaan pembabitan Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam kes video seks, boleh ustaz kupas lebih teliti tentang bagaimana syariat Islam berperanan dalam keadaan yang sepatutnya. Kita mulakan kes ini bagaimana ianya didedahkan oleh tiga individu iaitu Dato' T. Apakah yang sepatutnya dilakukan oleh pihak berkuasa iaitu pihak polis dan jabatan agama Islam?

DATO' DR HARON DIN:
Masyarakat Islam khususnya dan rakyat secara umumnya digegarkan dengan peristiwa yang bermacam-macam. mutakhir ini tercetus perkara yang amat mengaibkan bukan sahaja peribadi, malah komuniti masyarakat dan negara kita yang menunjukkan bahawa nilai-nilai moral sudah tidak menjadi pertimbangan utama asalkan tujuan yang tersembunyi di dalam diri yang biasanya untuk kepentingan peribadi dan politik.

Maka dijadikan isu-isu moral yang begini besar begitu mudah terpapar dalam masyarakat yang sepatutnya orang-orang khusus yang menangani dan melihat perkara ini bagi mencari jalan untuk sampai kepada tujuan asas sama ada untuk benar-benar menghukum orang yang bersalah atau untuk tujuan lain seperti sengaja membiarkan rakyat membuat tanggapan sendiri pada perkara yang belum ada kepastian.

Cuma mesejnya kita dapat merasakan bahawa ada agenda tersembunyi di sebalik memaparkan klip video yang masih ada banyak tanda tanya.

Memanglah kita akan menyatakan bagaimana syariat berperanan dalam menangani isu yang seperti ini. Ingin saya jelaskan terlebih dahulu bahawa syariat Islam ini didatangkan Allah kepada manusia untuk menangani dan mengatasi lima perkara utama yang diistilahkan sebagai al-kulliyyatul khamsah atau disebutkan juga sebagai maqasid as-syariah. tujuan syariat itu diturunkan kepada manusia iaitu untuk menjaga agama, akal, maruah atau jatidiri, keturunan dan harta manusia.

Dalam kes kita ini termasuk dalam hal menjaga maruah atau keperibadian. untuk inilah maka antaranya syariat turun ada kesalahan yang dipanggil sebagai zina (termasuk liwat), qazaf atau menuduh orang lain melakukan zina. Sekiranya hal-hal moral yang kita bincangkan ini tidak dilaksanakan maka tiada jaminan untuk kita dapat atasi masalah moral. Tapi kalau kita atasinya dengan syariah maka sudah ada suatu jaminan Allah salam al-quran kalau dalam kes zina sebagai contoh yang bermaksud : janganlah kamu merasakan dengan sebarang keberatan ataupun kasihan kepada orang yang sabit melakukan kesalahan moral seperti zina, atau tuduh zina ini dalam melaksanakan hukum Allah.

Tujuannya mudah sahaja iaitu itulah hukuman sebagai balasan yang setimpal atas kesalahan yang mereka lakukan dan Allah menjanjikan untuk melarang dan mencegah agar ianya tidak berlaku lagi kesalahan yang seperti itu. Apabila Allah menjanjikan bahawa ia akan melakukan, ianya ditamatkan ayat itu dengan Allah itu maha perkasa lagi maha bijaksana. perkasa - dia mampu melakukan apa sahaja.

Bijaksana - Dia tahu apa yang menjadi ubat kepada setiap penyakit dalam masyarakat.

Sebab itu maka tiada cara yang lebih berkesan daripada menggunakan syariat dan undang-undang Allah bagi menangani isu yang sedang kita hadapi sekarang ini bagi menjamin kestabilan masyarakat untuk masa depan.

Apakah yang sepatutnya dilakukan pihak berkuasa iaitu Jabatan Agama Islam dan polis secara praktikalnya apabila datangnya berita daripada tiga individu ini?


Dalam suasana kita menyedari bahawa syariat Islam belum berperanan dan belum di ambil untuk dijadikan medium perantaraan untuk mengatasi masalah walaupun kita ada hasrat namun sebagai pemerintah Islam sama ada pihak berkuasa kerajaan daripada atas ke bawah dalam kabinet atau dalam sektor-sektor yang menangani masalah seperti polis dan sebagainya - saya menyarankan agar sekurang-kurangnya walaupun tiada undang-undang yang dikuatkuasakan tetapi hukum Islam tetap wujud.

Apabila ia wujud, maka terpaksa atau semestinya kita menghormati, menjaga dan mematuhi hukum-hukum ini. Antaranya ialah hukum tidak boleh mengaibkan orang - yang disebutkan dalam istilah yang dikenali sebagai mengata, mengumpat atau apa sahaja yang boleh mengaibkan orang itu memang jelas dalam hadis yang bermaksud barangsiapa yang menutup keaiban seseorang, Allah tutup keaibannya di hari kiamat. Sesiapa yang membuka keaiban seseorang, Allah akan buka keaibannya pada hari kiamat.

Maksudnya balasan Allah. Apabila keaiban itu melibatkan perkara besar seperti menuduh atau menggambarkan ataupun menyebabkan orang percaya menyatakan itu perzinaan berlaku maka ia termasuk dalam istilah qazaf iaitu menuduh atau mendakwa orang melakukan zina. Maka ada caranya itu mensabitkan hal berkenaan iaitu dengan membawakan empat saksi yang boleh melihat, yang boleh diperiksa semula sejauh mana mereka berhak dan layak menjadi saksi. Apabila semuanya cukup hukum Islam sepatutnya dilaksanakan.

Oleh kerana kita belum melaksanakan syariat Islam tapi janganlah dipanggil benda yang menuduh orang berzina itu dilakukan secara sewenang-wenangnya.

Jangan lupa bahwa kita ini akan kembali kepada Allah dan dalam zaman syariat tidak berperanan, undang-undang Islam tidak dilaksanakan - bukan maknanya hukuman Islamnya tergendala. Ataupun kesalahan itu tidak dianggap sebagai satu kesalahan. Kesalahan kepada Allah tetap merupakan satu kesalahan. jika datang benda yang dipanggil sebagai fitnah - ini benda yang besar dalam pandangan syarak.

Dalam sepotong ayat bermaksud : sesungguhnya orang-orang yang membuat fitnah menyebabkan huru-hara berlaku dalam masyarakat - yang mereka lakukan fitnah ke atas lelaki dan perempuan mukmin kemudian mereka tidak segera bertaubat kepada Allah. Maka kalau mereka mati ketika itu bagi mereka azab neraka jahannam dan mereka akan dibakar dalam api neraka.

Dosa yang sebesar itu dengan ancaman api neraka yang dua peringkat iaitu masuk api neraka, kemudian dibakar di dalamnya. Tidakkah dirasakan itu amat besar dan patut orang takut seterusnya tidak melakukannya?

Apabila ini tidak menjadi ketakutan kepada masyarakat, maka fitnah menjadi berleluasa kepada masyarakat.

Dalam sepotong ayat daripada surah al-Hujurat yang bermaksud: "seandainya sampai kepadamu berita daripada seorang yang zahirnya fasik, maka jangan kamu terima lagi sehinggalah kamu mendapat kepastian". perkataan fatabayyanu itu - apakah penjelasan yang terbaik?

Syariat Islam datang untuk memberikan keadilan khususnya dalam isu besar seperti ini. dari mana mula berita itu keluar? Kalau menyebut persoalah qazaf, zina, fitnah dan sebagainya - ia akan menjadi suatu tarikan kepada masyarakat untuk mengetahuinya. Bagi zaman yang media massa memainkan peranan dengan pelbagai kemudahan alat moden perhubungan maka mudahlah orang mendapatkan akses mengenai berita itu. Tetapi apakah semua berita dan cerita yang sampai kepada seseorang itu semuanya benar?

Jawapannya kita tahu apa yang dikatakan pada hari ini kalau berita itu berita yang keluar (datang) daripada musuh - maka berita menggambarkan semuanya buruk. begitu jualah sebaliknya. Jadi, media massa kita ini dikuasai oleh pemilik kepada orang yang menguasainya. jika ia adalah alat kepada satu pertubuhan, parti atau kerajaan - maka ia akan memberitakan yang melampau, dirasakan atau dilakukan oleh pemiliknya dan bagi yang tidak menyukainya, berita yang keluar semuanya buruk.

Maka syarak mendatangkan suatu kaedah yang adil dan telus iaitu menerusi ayat daripada surah al-Hujurat yang bermaksud , 'seandainya sampai kepadamu berita daripada seorang yang zahirnya fasik, maka jangan kamu terima lagi sehinggalah kamu mendapat kepastian.

Dalam ayat berkenaan, perkataan fatabayyanu bermakna pembuktian atau sampai kamu dapat bukti nyata iaitu sama ada benar atau bohong. Kalau tidak berbuat demikian, dengan anggapan semua berita yang disampaikan itu semuanya benar maka Allah berkata bahawa kamu telah menghukum orang yang tidak bersalah atas kejahilan kamu dan kelak dengan perbuatan itu akan membuatkan kamu menyesal.

Maksud menyesal di akhirat kelak ialah apabila mendapat balasan azab Allah yang paling pahit, getir, seksa - menyesal kerana percaya kepada berita yang belum lagi dipastikan disebabkan orang percaya.

Kalau semua orang bersikap datang berita kena tapis dahulu, dapat kurangkan masalah tapi tindakan ini sepatutnya diambil oleh pemerintah yang ada kuasa untuk mengatur langkah-langkah untuk mengawal.

Kalau ada isu klip video yang jadi besar sekarang ini apakah dengan menyiarkannya di tempat awam - adakah ia menyalahi undang-undang negara atau undang-undang Islam?

Oleh kerana sistem yang ada lebih mengutamakan undang-undang negara, maka ramai yang tidak mempedulikan sangat undang-undang Islam. Tetapi setelah orang awam yang turut sama menyaksikan dengan perasaan dalaman elokkah perbuatan seperti itu didedahkan secara terbuka kepada masyarakat sedangkan kita tahu undang-undang tidak mengizinkan - kenapa undang-undang tidak berperanan.

Apabila telah keluar video ini, memang tidak boleh disiarkan di youtube. perbuatan tersebut mengaibkan orang, melihat aurat orang, melihat perbuatan yang sepatutnya tersembunyi daripada orang adalah berdosa - tetapi bagaimana hendak menahan atau membendung masyarakat umum. Walaupun saya ditawarkan melihatnya, saya tidak melihat dan saya tahu jika ianya mengaibkan orang. Melihat perbuatan yang sepatutnya tersembunyi daripada orang adalah berdosa - saya tidak buat. tapi bagaimana hendak menahan masyarakat umum?

Malah sampai hati sampai ke peringkat mencadangkan disiarkan di parlimen untuk tontonan umum.

Bagaimanakah keadaan moral kita yang berani untuk mempertontonkan video itu di parlimen sedangkan ahli-ahli parlimen yang mempunyai maruah, apakah secara moralnya tidak berasa bersalah untuk paparkan perkara itu di dalam parlimen yang mulia?

Malangnya moral kita begitu rendah sampai kita boleh membiarkan dan kita lihat tiada apa-apa tindakan oleh pihak berkuasa untuk segera menangani dan apakah boleh undang-undang penyiaran dalam hal seperti ini setelah ianya didedahkan di dalam youtube yang aksesnya sampai ke setiap orang?

Dalam keadaan syariat tidak berperanan, undang-undang yang ada sepatutnya berperanan untuk menyekatnya kerana apabila orang muda menyaksikannya mereka tidak mengendahkan siapa yang salah atau benar sebaliknya ia dilihat dari aspek hiburan serta dinikmati dalam keadaan melanggar syariat.

No comments: