Tindakan kerajaan membenarkan pegawai-pegawai kerajaan dari kalangan profesyen perguruan aktif dalam politik merupakan langkah terdesak untuk menyelamatkan Umno-Barisan Nasional.
Langkah ini tidak harus dilihat sebagai membuka ruang demokrasi yang lebih luas dengan membenarkan pegawai-pegawai kerajaan berpolitik.
Kebenaran yang diberikan pun adalah terhad dan terbatas. Perlu mendapat kelulusan Ketua Setiausaha Kementerian. Kementerian Pelajaran pula dikuasai Umno-BN.
Oleh itu jika ada kalangan guru yang pro Pakatan Rakyat, mereka jangan 'gatal-gatal' tangan hendak memohon kelulusan kementerian, jika tidak mahu ditukarkan jauh ke kawasan pedalaman atau diambil tindakan yang menyusahkan masa depan mereka.
Kelulusan yang diberikan kerajaan hanyalah untuk guru=guru pro Umno-BN. Kelulusan diberikan hanyalah usaha untuk menyelamatkan Umno dan memulihkan sokongan rakyat kepada Umno-BN.
Sejak Umno tersentak hebat akibat kekalahan memalukan pada Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu. Umno mencari jalan untuk meraih semula sokongan rakyat.
Umno menyedari bahawa guru-guru rapat dengan rakyat. Guru atau Cikgu sentiasa mendapat penghormatan rakyat, sama ada dari kalangan anak-anak murid, mahupun para ibubapa.
Umno tahu sejak dahulu lagi para gurulah yang menjadi penggerak utama mereka. Guru menjadi pemimpin bahagian, guru menjadi pemimpin Umno negeri. Guru adalah simbol pejuang marhaen yang sentiasa dekat di hati rakyat.
Sebab itu suatu ketika dahulu Umno dilihat berjaya kerana peranan hebat guru-guru yang meniupkan semangat agama dan nasionalisme dalam perjuangan Umno.
Namun sejak pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, guru-guru seolah-olah tidak diperlukan lagi. Apabila Umno sudah maju, maka Umno beralih ke arah golongan borjois atau korporat.
Hendak menjadi pemimpin Umno mestilah di kalangan seorang yang berada, banyak wang untuk membeli undi perwakilan. Budaya ini diadaptasikan selama berpuluh tahun dalam Umno.
Guru-guru diketepikan. Mereka tidak dihormati dalam Umno. Akibat daripada kebobrokan ini, masyarakat dalam Umno menjadi rosak dan terpesong.
Pemimpin dan ahli Umno menjadi materialistik dan kaya raya. Perjuangan dalam Umno bukan lagi dilihat boleh membela rakyat marhaen. Perjuangan dalam Umno dilihat hanyalah untuk memperkayakan diri, keluarga dan kroni semata-mata.
Perjuangan Umno sudah jauh terpesong. Agama diketepikan. Semangat nasionalisme hanya tinggal sebagai slogan-slogan retorik kosong.
Akibat dari kesilapan besar pemimpin Umno, rakyat semakin menjauhi mereka. Penghormatan kepada pemimpin Umno, yang dianggp pejuang asal kemerdekaan negara sudah tiada.
Penolakan rakyat terhadap Umno diterjemahkan dalam PRU 8 Mac 2008 yang lalu.
Justeru Umno sudah tiada pilihan. Mereka terpaksa mempergunakan kembali guru-guru untuk meraih sokongan rakyat. Membuka polisi kepada guru untuk aktif berpolitik hanyalah untuk memerangkap rakyat.
Oleh kerana itu, para guru dan rakyat diharap tidak terperangkap dengan usaha jahat Umno-BN ini. Umno sudah tidak boleh dipulihkan lagi, mereka sudah semakin nazak dan menanti masa untuk ditalkinkan pada PRU ke-13 akan datang.
No comments:
Post a Comment