Thursday, July 29, 2010

Anwar bidas Nik Ali tidak hormat Ketua Menteri

Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim kesal dengan sikap Pegawai Pembangunan Negeri Pulau Pinang, Nik Ali Wan Yunus kerana tidak menghormati Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng.

Katanya, prinsip asas pentadbiran awam adalah jelas, iaitu ketaatan kepada government of the day.

"Dan prinsip ini digunapakai di seluruh dunia. Dalam erti kata lain,biar pemerintah datang dan pergi, penjawat awam harus terus mencurahkan khidmat bakti kepada negara dan rakyat," tegasnya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Menurut beliau sikap Pegawai Pembangunan Negeri Pulau Pinang tersebut nyata sangat mendukacitakan.

"Meskipun Nik Ali merupakan pegawai lantikan persekutuan,tetapi memandangkan beliau merupakan penjawat awam yang berkhidmat di Pulau Pinang,maka keakuran beliau kepada Kerajaan Negeri harus diletakkan sebagai prioriti.

"Biarpun ada kecenderungan politik, penjawat awam harus kekal neutral dan telus,demi menjunjung integriti dan akauntabiliti perkhidmatan awam," ujarnya.

Tegas Anwar, sesiapa sahaja yang memerintah,maka taat setia penjawat awam harus diberi.

Prinsip ini sewajarnya kata beliau, digunapakai di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

"Penjawat awam harus kekal menjadi tiang seri.Kenyataan Ketua Setiausaha Negara juga tampak mengecewakan, apabila melihat tidak ada keperluan Nik Ali untuk dipersalahkan,malah punya hak untuk mempertahankan diri dan dipertahankan, kononnya Nik Ali dimalukan," tegasnya.

Anwar mempersoalkan mengapa prinsip ini tidak pula digunakan apabila Nazri Aziz menyerang pegawai Kementerian pembangunan Usahawan dan Koperasi apabila timbul isu permit teksi satu masa dulu.

"Sewaktu Tukiman Nail dihadiahi penyapu oleh Khir Toyo,tidak juga dipertahan sedemikian rupa.

"Apakah kerana yang menyerang penjawat awam ini politikus Umno maka mereka perlu senyap?" Soalnya.

Tegasnya penjawat awam yang merupakan nadi kepada pembangunan negara harus menjadi tunjang kepada kestabilan sesebuah kerajaan dan jangan sesekali mencemar profesionalisme mereka.

No comments: