Meskipun pada faktanya, nisbah yang ditonjolkan salah seorang Exco Pemuda Umno 1:40 kurang tepat, namun banyak pandangan yang masih berpegang kepada hakikatnya 'keagresifan' mendaftar selaku pengundi golongan Melayu sangat rendah berbanding kaum Cina.
Mengulas isu ini, WAN NORDIN WAN YAACOB menemui Pengerusi Badan Penggerak Demokrasi PAS, Mohamad Sabu di Jalan Pahang pada 1 Julai lalu.
HARAKAH : Bagaimana saudara melihat isu 'trend' daftar mengundi yang kononnya disebut oleh media arus perdana bagaimana pengundi muda kaum Cina kini semakin banyak yang mendaftar berbanding pemuda Melayu, apa kesannya?
MOHD SABU : Kesedaran politik di kalangan bukan Melayu ini sangat tinggi mutakhir ini di mana 'trendnya' dapat dilihat sejak tahun 2008 lagi.
Mereka mengundi mengikut isu dan suasana, mereka pernah menghukum MCA pada tahun 1986 kerana ketika itu ada dakwaan menyatakan pimpinan MCA melakukan penyelewengan terhadap sebuah koperasi.
Kemudian apabioa mereka marasa lega, mereka kembali menyokong BN semula. Tetapi dengan amalan rasuah dan penyelewengan yang tinggi berlaku di peringkat kerajaan Umno-BN, mereka mula menolak kerajaan tersebut terutama dalam keputusan pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan undi Cina beralih kepada pembangkang.
Mereka melakukan hukuman yang sangat berat ketika itu dan trend itu tidak berubah hari ini.
Orang Melayu pula bagaimana?
Sebaliknya pada pengamatan saya, orang Melayu 'trend' kesedaran politiknya rata-rata masih pada tahap yang rendah kerana mereka mengikut lenggok lagu pemerintah, walaupun kita bercerita tentang penyelewengan dan skandal di Port Kelang Free Zone (PKFZ) ataupun, kita ceritalah hilangnya wang Tabung Haji, isu jahanamnya BBMB, tetapi ia tidak memberi kesan undi kepada orang Melayu.
Untuk mengubah suasana rasuah dan penyelewengan dikalangan pemerintah ini dan kerajaan perlu dihukum, ianya mesti datang dari pemilih.
Jadi oleh kerana mereka ini merasakan tidak perlu ubah pemerintah suasan apa sekalipun orang Melayu tidak terpanggil untuk menjadi pemilih.
Kesedaran ini dilihat lebih kepada orang Cina, sebab itulah jika kita perhatihan program mendaftar pengundi di pasar raya atau di pasar malam, kebanyakan anak muda Cina yang mendaftar.
Sebab itulah kita dalam perjuangan awal Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) kita tuntut agar SPR mengamalkan pendaftaran secara otomatik di mana mereka-mereka yang layak iaitu umur 21 tahun, secara otomatik dalam daftar sebagai pemilih.
Tugas parti politik hanya untuk menyeru dan memujuk rakyat keluar mengundi kerana sudah tentu rakyat nama mereka ini sudah ada dalam daftar pemilih.
Yang mana 21 tahun ke atas mereka ini perlu otomatik menjadi pengundi, ini untuk elakkan sikap mereka yang malas untuk mendaftar ini.
Apakah faktor ada parti politik ini kurang bergerak untuk mendaftar pemilih baru?
Itu ada juga, tetapi sebenarnya kesedaran umum tidak ada. Orang Melayu kurang sensitif terhadap apa yang berlaku, bila berlaku rasuah dan penyelewengan, bagaimana mereka mahu menukar wakil rakyat jika mereka tidak mendaftar sebagai pengundi?
Tetapi bagi orang Melayu tukar atau tidak sama sahaja kerana mereka mengganggap begitu, kerana kesedaran politik itu kurang. Parti politik juga kurang beri kesedaran kepada pengundi.
Apa tindakan PAS dalam soal memulihkan kesedaran mengundi di kalangan orang Melayu ini?
Bagi kita PAS kita kena mobilisasikan daftar mengundi ini membantu negeri-negeri.
Sebagai Pengerusi Penggerak Demokrasi PAS, saya mengambil tanggungjawab untuk memobilisasikan pengundi dan petugas untuk menggerakkan pendaftaran pemilih baru ini diseluruh negara.
Cuma cara untuk mendaftar itu saya serahkan kepada negeri dan kawasan, dan lajnah saya ini akan mengadakan satu pelan bertindak kepada hal itu.
Kita akan buat 'brainstorming' yang pertama pada 17 Julai ini dan tempatnya akan diberitahu kelak dengan kehadiran 200 orang aktivis demokrasi dan mobilisasi.
Isu daftar pemilih akan menjadi salah satu slot penting dalam 'brainstorming' itu dan kita akan gembar-gemburkan.
Kita akan memainkan mobilisasi dengan aktivis ini sebagai penggerak.
Kesedaran orang Melayu ini kurang, bagi mereka Umno atau PAS menang serupa, mereka tidak nampak suatu yang mendesak untuk melakukan perubahan, sedangkan orang Cina mereka ada masanya mereka sokong BN beramai-ramai, tetapi ada masanya bila mereka melihat rasuah dan penyelewengan sangat berleluasa mereka menolak BN dan menyokong pembangkang. Mereka anggap tidak rugi menyokong pembangkang.
Ada pandangan menyatakan asas kekuatan PAS ialah Melayu, adakah ia realistik buat masa sekarang ini?
Saya rasa hanya kepada beberapa orang, tetapi secara peribadinya saya melihat hari ini PAS telah disokong oleh kelompok yang majmuk, sebagai contohnya saya pernah dijemput berceramah dimana penontonnya 100 peratus bukan Melayu, saya tak pastilah orang lain bagaimana.
Sama ada di Selangor, Perak atau sebagainya saya sering diundang oleh bukan Melayu untuk berceramah. Trend ini saya tidak pastilah kepada beberapa individu lain samada serupa atau sebaliknya.
Tetapi umumnya PAS kini diterima oleh bukan Islam juga, perubahan telah berlaku.
No comments:
Post a Comment