Sejak akhir-akhir ini akhbar-akhbar alternatif, kembali menjadi sasaran tindakan tegas Kementerian Dalam Negeri (KDN) di atas dakwaan melanggar syarat-syarat permit penerbitan.
Terbaru akhbar Suara Keadilan (SK) milik Parti KeADILan Rakyat, digantung permitnya kerana menyentuh isu sensitif berkaitan Felda yang didakwa mereka sudah bangkrap.
Jelasnya isu berkaitan Felda adalah isu yang amat sensitif. Ia menaikkan kemarahan Umno-Barisan Nasional kerana Felda begitu sinonim dengan perjuangan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.
Menyentuh isu-isu berkaitan Felda, seolah-olahnya dilihat sebagai menyentuh keperibadian Najib.
Persoalannya di sini, atas apakah justifikasi tindakan KDN sehingga menggantung permit SK, hanya kerana membuat laporan mengenai Felda?
Atas apakah justifikasi dari sudut keselamatan negara, mahupun ketenteraman awam, bahawa isu Felda ini akan menggugat keamanan negara?
Yang dipersoalkan oleh SK dan akhbar alternatif seperti Harakah, adalah pendedahan soal penyelewengan, salah gunakuasa dan salah urus Felda oleh pemerintah.
Jika sekiranya SK ataupun Harakah membuat laporan dengan fakta yang tidak tepat, KDN boleh menegur dan memberi amaran.
Jika sekiranya Felda merasakan mereka menjadi mangsa fitnah, mereka boleh mengambil tindakan mengikut undang-undang.
Felda dan kerajaan Umno-BN tidak langsung menjawab segala dakwaan dan fakta-fakta yang dikemukakan.
Sebaliknya mereka membuat tindakan yang tidak realistik dengan menyerbu pejabat SK, mengambil tindakan keras terhadap SK dan menggunakan kuasa kerajaan untuk menggantung penerbitan SK.
Isunya di sini bukan soal SK sahaja. Isu yang besar adalah soal kebebasan media. Mengapa Umno-BN begitu takut dengan akhbar alternatif, sedangkan mereka mempunyai begitu banyak akhbar arus perdana yang menyokong?
Hanya dua tiga akhbar tabloid sahaja yang menyokong Pakatan Rakyat. Itu pun secara berkala, bukan harian.
Umno-BN menguasai media elektronik dengan siaran 24 jam sehari dan mempunyai media cetak yang diterbitkan setiap hari.
Media-media pro Umno-BN ini, setiap hari ada sahaja bahan yang dipaparkan buat mengkritik, menghentam dan berusaha memporak perandakan Pakatan Rakyat serta kerajaan negeri pimpinannya.
Tidakkanlah puluhan media pro Umno-BN ini, tidak mampu berhadapan dengan hanya dua tiga akhbar tabloid yang kecil, yang jualannya amat terhad?
Jika hendak dipertikaikan soal sensitiviti isu dan provokasi, begitu banyak media pro Umno-BN yang melanggar syarat permit kerana membawa isu rasis yang boleh menggugat keselamatan negara.
Jelas di sini kerajaan tidak adil. KDN jangan sesekali mengambil tindakan yang berat sebelah.
Mereka seolah-olah tidak tahu membezakan antara isu yang menggugat kestabilan Umno-BN dengan isu yang mengancam keselamatan negara.
Dalam keadaan Umno-BN yang terdesak dengan pelbagai isu dalaman dan luaran yang memungkinkan mereka tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, langkah menekan akhbar alternatif merupakan suatu langkah yang tidak bijak.
Langkah ini hanya akan merosakkan sistem demokrasi dan mencalarkan kemurnian amalan demokrasi dalam negara.
Demokrasi yang sebenar adalah dengan memberi ruang sepenuhnya kepada rakyat untuk bersuara, dan pihak yang berkuasa mempunyai peluang untuk memperbetulkan segala tanggapan secara terbuka.
Menutup pintu demokrasi, hanya akan mempercepatkan jalan Umno-BN untuk bersemadi di muzium.
No comments:
Post a Comment