Permulaan Ramadan 1431H tahun ini serentak dengan bulan Ogos, iaitu bulan kemerdekaan bagi negara Malaysia, disambut saban tahun sejak 53 tahun yang lalu.
Bagi umat Islam, Ramadan merupakan tapak yang terbaik untuk mereka mensucikan diri dengan amal ibadah seperti berpuasa, menunaikan solat tarawih, bertahajud, bersedekah dan sebagainya.
Bagi umat Islam Ramadan adalah bulan kemerdekaan dari belengu nafsu dan penjajahan. Memerdekakan diri dari penjajahan syaitan dengan menjauhi maksiat dan perbuatan terlarang.
Apabila selama ini syaitan yang sering menjajah jiwa kita terbelengu, maka inilah kesempatan terbaik untuk kita mencapai nikmat kemerdekaan yang sebenarnya, iaitu merdeka dari musuh Allah.
Sebenarnya musuh-musuh Allah bukan syaitan sahaja. Musuh-musuh Allah adalah mereka yang memusuhi Islam. Mereka musuhi Islam dalam ertikata melakukan apa yang dilarang oleh Allah SWT dan meninggal perkara yang disuruh-Nya.
Larangan Allah SWT tidak termaktub dalam soal hukum hakam semata-mata. Ia meliputi pemeliharaan hak dan kebebasan, menghapuskan penindasan, dan mengelak dari melakukan kezaliman.
Dalam konteks bernegara hari ini, sesuai dengan semangat kemerdekaan, maka Ramadan merupakan platfrom terbaik untuk kita melakukan anjakan perubahan.
Untuk kita merdeka dalam erti kata sebenarnya, kita harus menentang sebarang bentuk penindasan dan kezaliman yang berlaku dalam masyarakat.
Umno-Barisan Nasional selaku penguasa dalam negara, jelas melakukan kezaliman terhadap rakyat. Mereka menguatkuasakan akta zalim seperti ISA, OSA, AUKU dan sebagainya.
Atas tujuan kepentingan politik Umno-BN menguasai sepenuhnya institusi dalam negara. Mereka boleh memanupulasikan institusi Raja, menguasai sistem kehakiman, menguasai Polis, Peguam Negara, SPRM, SPR dan semua sekali kerana mereka berkuasa sebagai sebuah kerajaan.
Kita lihat sendiri berapa ramai rakyat yang dimangsakan oleh akta-akta zalim ini? Kita lihat sendiri bagaimana besarnya penjajahan Umno-BN sehingga semua institusi dalam negara ditundukkan dan mengikut telunjuk pemimpin mereka?
Yang menjadi mangsa kepada kezaliman Umno-BN bukannya orang luar. Malah rakyat yang seagama dan sebangsa dengan mereka sendiri.
Hasil daripada kezaliman ini, rakyat sukar hendak mempercayai institusi-institusi ini mempunyai kebebasan dan integriti tersendiri.
Kita menyedari, sudah sekian lama kita dijajah oleh bangsa kita sendiri, dengan penjajahan yang mengetepikan aspek agama, membawa ketirisan dalam aspek ekonomi dan merosakkan sistem sosial dengan melakukan pelanggaran undang-undang, etika serta tatasusila negara.
Maka mengambil semangat bulan suci Ramadan dan bulan merdeka ini, marilah kita seluruh rakyat Malaysia, berusaha mensuci serta memerdekakan diri mereka sepenuhnya dari cengkaman Umno-BN.
Ramadan dan merdeka mesti disekalikan sebagai bulan untuk mempertingkatkan semangat juang rakyat, menentang akta-akta yang zalim dan menindas.
Oleh kerana itu Ramadan adalah bertujuan memerdekakan diri kita dari belenggu penjajahan syaitan dan pengabdian mutlak kepada pencipta (Al-Khaliq).
Manakala bulan Ogos pula disambut sebagai memperingati pembebasan negara dari penjajahan kolonialisme.
Maka apabila kita gabungkan semangat dari kedua-dua bulan ini, ia harus dijadikan batu loncatan untuk kita membebaskan diri dari penjajahan Umno-BN, yang sekian lama menjajah minda dan jiwa rakyat demi kepentingan politik yang sempit.
No comments:
Post a Comment