TENTU ada alasan yang kukuh mengapa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membelasah bekas MB, Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo dengan melabel beliau 'pesara lombong pasir haram.'
Dalam satu sidang akhbarnya, Khalid ditanya mengenai dakwaan bekas MB yang menuduh syarikat milik kerajaan negeri - Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) membayar royalti yang berkurangan berbanding ketika beliau mentadbir Selangor.
Khalid menjawab dengan sinis, "Khir Toyo tahu semua butirannya. Saya fikir dia mesti terbabit dalam perniagaan melombong pasir sebelum ini - kemungkinan besar yang beroperasi secara haram. Saya tidak mahu komen pelombong pasir haram yang sudah bersara itu.
Khir mendakwa KSSB hanya membayar royalti RM12,000 kepada kerajaan negeri di sebalik memungut hasil RM734,000 tahun lalu.
Khir sebenarnya tidak wajar membangkitkan isu pasir. Sebelum menuduh kerajaan Pakatan Rakyat atau Khalid sendiri, Khir sepatutnya menilai prestasinya sendiri, banyak mana royalti yang diperolehi semasa beliau menjadi MB.
Dari segi fakta semasa Khir menjadi MB, hasil pasir di Selangor tidak sampai RM5 juta setahun, semasa Khalid menjadi MB hasil pasir naik mendadak sehingga mencecah RM7 juta.
Sebenarnya isu pasir di Selangor tidak sepatutnya dijadikan modal politik BN. Ia juga tidak sepatutnya menjadi bahan politik yang menjejaskan kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat di Selangor.
Isu pasir hanya timbul akibat sedikit kesilapan Ahli Parlimen Kapar, S Manickavasagam yang membangkitkan perkara tersebut kepada media talibarut Umno-Barisan Nasional, hasil daripada aduan orang ramai yang terjejas, tanpa menyedari implikasi besar di sebaliknya.
Tindakan mendedahkan perkara tersebut kepada media, sekali gus isu tersebut dijadikan bahan Umno-BN untuk melanyak kerajaan kepimpinan Khalid.
Isu ini menjadi besar apabila ia diambil sebagai 'peluru politik' oleh Menteri Pertanian, Dato' Seri Noh Omar dan Khir Toyo.
Kedua-dua 'jaguh kampung' Umno ini cuba meraih 'political millage' dengan 'mengkambing-hitamkan kerajaan Pakatan Rakyat.
Malangnya setelah beberapa minggu media talibarut Umno-BN termasuk versi cetak dan elektronik menggembar-gemburkan isu pasir, satu demi satu pekung Umno-BN ketika memerintah Selangor terbongkar.
Media talibarut berjaya mencetuskan persepsi buruk terhadap Pakatan Rakyat, walaupun hanya seketika. Sebaliknya, rakyat semakin tahu bahawa masalah yang dihadapi kerajaan negeri sekarang, adalah berpunca daripada kelemahan kerajaan yang terdahulu.
Isu pasir digembar-gemburkan media talibarut Umno-BN dengan jahat sehingga seolah-olahnya kerajaan negeri akan melingkup akibat skandal pasir, sedangkan hasil pasir tidak sampai satu peratus daripada hasil negeri yang mencecah bilion setahun itu.
Sebenarnya, Umno Selangor tidak dapat menyembunyikan perasaan 'gila talak' dan kemaruk kuasa mereka. Sehingga hari ini Umno-BN tidak boleh menerima, bagaimana Selangor, sebuah negeri yang maju dan kaya, di dalamnya ada Kuala Lumpur dan Putrajaya, boleh terlepas ke tangan Pakatan Rakyat.
Bagaimana PM, TPM, Menteri-menteri dan juak-juak Umno-BN boleh tahan, ke mana sahaja mereka pergi, mereka terpaksa melalui negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.
Ke mana-mana mereka pergi, mereka dibayangi gambar-gambar pemimpin Pakatan Rakyat yang terpampang di merata ceruk Selangor. Ini yang membuatkan mereka tidak tahan sebenarnya.
Justeru akibat kemaruk kuasa, sasaran pemimpin Umno Selangor, sama ada Noh mahupun Khir sebenarnya bukan isu pasir.
Tidak harus dinafikan di antara mereka wujud perseteruan. Kedua-duanya sedang bersaing untuk merebut perhatian Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Selangor.
Dalam sejarah politik Umno, Noh lebih senior dari Khir. Mereka berasal dari bahagian yang sama. Khir naik mendadak kerana kejatuhan bekas MB, Tan Sri Abu Hassan Omar. Untuk accomodate kedua-duanya, maka dilakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya. Lalu dipecahkan kepada dua bahagian iaitu Tanjung Karang dan Sungai Besar. Maka jadilah mereka Ketua Umno Bahagian.
Semasa Khir menjadi MB. Noh tidak banyak peranan di negeri. Beliau lebih banyak di Pusat sebagai Timbalan Menteri.
Setelah kejatuhan kerajaan Umno-BN di Selangor. Khir terpelanting keluar. Najib mengambil alih jawatan Pengerusi Perhubungan, Noh dilantik Timbalannya.
Nasib Khir Toyo sama dengan nasib Dato' Seri Mahzir Khalid di Kedah. Kedua-dua bekas MB, bekas Pengerusi Umno Negeri. Walaupun kedua-duanya Ketua Pembangkang di Dun, namun mereka tidak ada nilai dalam Umno.
Mereka tiada langsung diberi peranan dalam Umno negeri. Mengikut amalan Umno, adalah dipercayai, Khir dan Mahzir akan digugurkan daripada senarai calon untuk PRU ke-13 nanti kerana sebagai MB mereka gagal mempertahankan kerajaan Umno-BN.
Justeru, dalam konteks Selangor, inilah peluang terbaik untuk Noh yang kini Menteri Pertanian, untuk memintas Khir. Inilah peluang beliau untuk menonjolkan diri sebagai calon MB baru, itu pun kalau Umno-BN tidak dikambus dalam pasir oleh rakyat Selangor.
Untuk menghapuskan Khir, Noh berpasangan dengan Senator 'ayam sabung' Ezam Mohd Nor berkempen di seluruh Selangor di bawah Sekretariat Selamatkan Darul Ehsan (SSDE) yang diwujudkan oleh Umno.
Nama Khir dalam senarai kempen tidak ada. Ketika ditanya media, Khir menafikan beliau bermasalah dengan Noh, tetapi beliau harus 'jaga kawasan'.
Hahaha..Jawapan Khir ini hanyalah 'lawak bodoh'. Besar mana sangat Sungai Besar tu? Besar mana sangat Dun Sungai Panjang tu, sampai langsung tiada masa hendak kempen untuk Umno Selangor?
Mengaku sahajalah memang wujud masalah dalaman Umno Selangor. Sama macam Umno Kedah yang sedang melingkup. Khir hanyalah ibarat 'daki-daki yang melekat di buntut Umno, hanya menunggu masa untuk dikikis sahaja'.
Isu pertembungan Khir-Noh ini disimpulkan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hasan Mohd Ali yang mendakwa, pertembungan keduanya tidak dapat dibendung lagi, malah sudah menjadi perhatian umum.
"Usaha melibatkan Ezam Mohd Nor dalam kemelut tersebut hanya akan menambah parah perpecahan parti itu di Selangor," kata Dr Hasan yang mendakwa penubuhan SSDE sebagai satu "usaha terdesak untuk menyelamatkan parti yang hampir karam.
"Umno ternyata gagal dan rakyat terpaksa membayar dengan harga yang begitu mahal atas segala bentuk korupsi, skandal, penyelewengan dan salahguna kuasa yang menjadi amalan Umno Selangor selama ini.
"Mungkin lebih sesuai kempen 'Selamatkan Selangor' ditukar sahaja namanya menjadi kempen 'Selamatkan Poket Pemimpin Umno Selangor," katanya.
No comments:
Post a Comment