Tuesday, August 17, 2010

Menyediakan platform untuk Pakatan Rakyat kuasai Putrajaya

PAS harus mengelakkan dilabel sama dengan Umno. Pemimpin PAS harus mempunyai akhlak Islam, berintegriti, jujur dan komited dengan perjuangan.

Itulah penegasan Salahuddin Ayub yang turut mencetuskan idea-idea bagaimana Pakatan Rakyat harus menyediakan platform untuk menguasai Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Ikuti wawancara wakil HARAKAH, MOHD RASHIDI HASSAN dan WAN NORDIN WAN YAACOB serta jurufoto WAN ZAHARI WAN SALLEH bersama, Naib Presiden PAS itu, di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut 16 Ogos lalu.


Umum melihat perlunya ada perubahan dalam negara, misalnya soal intergriti pemimpin Umno yang semakin korup, adakan Pakatan Rakyat dan PAS ada barisan pelapis yang tidak dilihat seperti Umno yang mana tidak akan mengulangi trend Umno jika kita memerintah negara suatu hari nanti?

Itu perkara besar dan sangat serius. PAS menyatakan kita akan meruntuhkan jahiliyah dan dirikan Islam di atasnya, tetapi kalau kita meruntuhkan jahiliyah tetapi kita juga jadi jahiliyah, apalah bezanya makna perjuangan kita.

Bagi saya pengalaman kita di Kelantan ini tidak cukup hanya dengan kehebatan Tok Guru tetapi akhlak kepimpinan Tok Guru itu mesti diturunkan oleh bakal pemimpin PAS yang akan mengambil alih nanti.

Begitulah yang PAS perlu lihat melahirkan kepimpinan yang boleh diyakini dan berintergiriti. Ia ada dua aspek di sini, pertamanya penonjolan barisan kepimpinan yang berintergriti, komited dengan janji kita, kita mesti bina hubungan sebaik mungkin dengan semua pihak, dan kita mesti lihatkan akhlak Islam yang sebenarnya.

Yang lebih penting kita dapat membentuk suatu persepsi yang lebih baik di kalangan masyarakat berbanding Umno. Jika apa sahaja berlaku kepada Umno, persepsi rakyat perlu kita betulkan bahawa hanya pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat sahajalah yang boleh diberikan harapan, ini tanggungjawab besar, saya percaya ia bukan boleh diungkap dengan slogan sahaja tetapi memerlukan masa dan ruang.

Kita kena tunjukkan keupayaan kita. Inilah cabaran yang perlu dilalui PAS, jangan ada persepsi di kalangan rakyat bila kita diberikan peluang berkuasa jangan kita jadi sama macam Umno, kita harap persepsi itu jangan berlaku. Cara untuk kita atasi masalah itu ialah dengan komitmen kita yang bersungguh dengan dasar perjuangan Islam menjadi teras kepada perjuangan kita. Kita perlu jujur, telus dan komited terhadap perjuangan kita dalam membela hak-hak rakyat.

Ini suatu selepas 2008 sampai PRU-13, ini suatu ruang waktu yang perlu dan sangat rakyat mahu lihat kewibawaan, keikhlasan dan ketelusan pemimpin PAS dalam tangani isu-isu yang berlaku dalam negara kita, sama ada di peringkat negeri yang kita perintah mahupun isu nasiona, di Parlimen yang mana kita menjadi barisan alternatif kepada kerajaan yang ada hari ini.

Saudara ada menyebut soal aspirasi menuju Putrajaya, PAS mesti menerajui perjuangan itu, boleh ulas lanjut?

Itu dalam konteks lain, saya secara positifnya mahu ahli dan kepimpinan PAS bersaing secara sihat bersama rakan-rakan kita dalam Pakatan Rakyat bagi mengelak suatu tindakan yang boleh menjahanamkan agenda dan kita membina suatu keyakinan diri, kepimpinan dan ahli serta keyakinan rakyat kepada PAS.

PAS juga mestilah berani untuk bertanggungjawab dan mampu dilihat rakyat kita lebih baik datipada Umno BN, dan saya ulangi gagasan Presiden PAS bahawa beliau berani menyatakan hari ini PAS bersedia menggantikan Umno".

Itu satu cabaran besar dan kita kena buat garis panduan yang jelas dan rakyat boleh lihat beza ini PAS ini Umno, dalam konteks kebaikan dan gagasan kepimpinan PAS kepada rakyat. Jika kita kata kita lebih baik dari Umno saya tak katakan kononnya kita bermusuh dan mengetepikan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, sebaliknya kita bersang secara positif kukuhkan kedudukan dan kualiti kepimpinan dan memperkasa integriti parti kita.

Rakyat sering diberi gambaran oleh media Umno-BN bagaimana PAS boleh bersama DAP sedangkan dasar yang sabgat berbeza?

Itu soalan yang sangat menarik yang saya telah teliti soalan itu sekian lamanya, jadi saya ingin memberikan jawapan bahawa Kalau DAP menerima PAS dengan gagasan dasar Islam bukanlah DAP namanya.

Kalau PAS gugurkan dasar Islam yang termaktub dalam dasar kita, itu bukan PAS lah namanya. Tetapi wujudnya dua entiti DAP dan dasar PAS ini yang orang kata tak mungkin dengan dasar berbeza ini boleh bersama, tetapi apa yang uniknya ialah walaupun dengan dasar yang berbeza ini PAS tidak pernah menarik diri dari Pakatan Rakyat begitu juga DAP tidak pernah menarik diri dari Pakatan Rakyat.

Sebaliknya, banyak garis persamaan yang telah dan kita bersama perjuangkan. Inilah yang uniknya dua parti yang jelas dasarnya berbeza tetapi kita duduk dan kongsi dalam terlalu banyak dasar-dasar umum yang boleh menunjukkan kebersamaan kita, dalam konbteks memerangi rasuah, good governance dan dalam konteks menentang kezaliman Umno-BN.

Kita perjuang soal ketelusan, perjuangkan soal keadilan, mahu urus tadbir yang baik, ini semua kerjasama yang Islam tidak pernah larang untuk kita bersama dalam konteks kerjasama.

Walaupun PAS tidak akan pernah mahu mengubah dasar Islam, dan DAP dengan dasarnya, tidak bermakna kita keluar dari Pakatan Rakyat dan terpisah tetapi dinamiknya kita boleh bersama dalam Pakatan Rakyat hingga hari ini.

Mengenai gagasan Presiden PAS dalam menggantikan Umno, ada yang mungkin akan menyalahertikan kononnya PAS hanya akan menumpukan kepada Melayu sahaja sedangkan PAS kini menerima sokongan bukan Islam?

Kita telah dianugerahkan dengan suatu keadaan pada pilihan raya umum (PRU) 2008 pertama kalinya bukan Islam mengundi PAS, dan memberikan kemenangan kepada kita terutamanya di Wilayah Persekutuan dan Selangor. Ini pertolongan Allah kepada pejuang Islam.

Kini kita ada produk Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang mana gerakan Islam lain di peringkat antarabangsa pun boleh kagum dengan produk baru PAS ini yang mana kita boleh ada entiti bukan Islam yang menyokong kita.

Sebuah parti Islam ada sebahagian yang bukan Islam berkongsi dasar dengan kita.Ini tak pernah terusik selagi kita jaga mereka, pastikan hak dan lindungi metreka, dan hak mereka ini ditunaikan.

Soal undi Melayu ini, saya rasa kita tidak boleh meninggalkan 'core business' yang kita pegang sejak dahulu, ini hard core kita, kita tak boleh lupakan ini. Bagi saya inilah yang saya sebut "yang kita kejar biar dapat, yang kita kendong jangan keciciran".

Suatu pendekatan politik yang sangat bijak oleh kepimpinan PAS yang ada hari ini. Walaupun kita perlukan undi asas kita tetapi kita tak boleh lupakan pengundi bukan Islam kepada kita.

Saya rasa PAS harus berlaku adil kepada semua segmen dalam masyarakat yang mendukung kita dan berikan suatu penghormatan dan dukungan kepada kita hari ini.

Mutakhir ini kita lihat pergolankan dan gelodak dalam Umno kononnya Dato' Seri Najib Tun Razak dilihat keseorang, sementara Tan Sri Muhyiddin di belakangnya mula menyerang dasar-dasarnya, apa pandangan saudara?

Itu bukan perkara baru dalam Umno, pergeseran itu berlaku sejak zaman Tun Hussein Onn sebagai Perdana Menteri dahulu, Tun Dr Mahathir selaku orang nombor dua ketika itu mula membuat perkara yang menyebabkan akhirnya Tun Hussein terpaksa letak jawatan, dan pada zaman Mahathir juga banyak kita saksikan timbalannya terkorban sehingga kita saksikan Umno ketika itu kepimpinannya tidak dinamik, yang menjadi mangsa era Abdullah (Tun Abdullah Ahmad Badawi), di mana Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) juga memainkan peranan memastikan Abdullah tidak lagi menjadi PM, dan sekarang ini sama juga dengan Najib dan itu tak akan menjadi pelik berlaku dalam Umno kerana sebelum inipun banyak tokoh-tokoh dalam Umno terkorban dan terbuang antaranya Tun Musa Hitam dan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang tersingkir akibat pertarungan dan percaturan politik dalam Umno.

Ini sangat biasa dan sekarang ini semakin jelas terdapat usaha-usaha yang Muhyiddin rasakan sampai masanya dia perlu lihat soal beberapa kegagalan Najib dalam pentadbirannya, soal sikap 'flip-flop' Najib dan beberapa isu yang nampakkkan tidak tegasnya Najib sebagai PM.

Muhyiddin kini agresif dalam dilihat oleh sebahagian entiti Umno bahawa Muhyiddin mahu mengambil alih kerusi nombor satu itu dari Najib. Kemelut ini sedang bermula dan tidak dinafikan antara puncanya ialah Dr Mahathir. Kita tunggu dan lihat bagaimana kesudahannya nanti.

Oleh itu pada saya untuk waktu terdekat ini, kepercayaan rakyat terhadap Umno-BN sukar untuk dipulihkan. Maka ianya merupakan suatu peluang keemasan untuk kita Pakatan Rakyat memperkemaskan diri, mendapat kepercayaan rakyat untuk menuju ke Putrajaya, insya-Allah.

No comments: