Rakyat Malaysia dari kalangan berbilang kaum sudah bersepakat untuk membantu memenangkan calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Teluk Kemang Negeri Sembilan 11 Oktober ini.
Rakyat Malaysia terdiri dari kaum Melayu, Cina, India, Sikh dan lain-lain datang berduyun-duyun Majlis Ceramah Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, 18 September lepas dan disusuli pula Majlis Rumah Terbuka Dato' Seri Anwar Ibrahim di Teluk Kemang pada hari raya ketiga (22 September) lepas, untuk menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat.
Mereka begitu komited dan berikrar akan bekerja keras untuk membantu calon PAS, memenangi kerusi Dun Bagan Pinang, walaupun dirintangi lebih 5000 undi pos, yang pastinya akan dipergunakan sebagai talian hayat Umno-Barisan Nasional.
Kerjasama pelbagai bangsa dan agama dalam satu wadah yang sama bertunjangkan matlamat yang sama iaitu untuk menumbangkan BN, dijangka akan menjadi model terbaik yang mengambarkan aspirasi sebenar 'One Malaysia'(Satu Malaysia).
Kesepakatan 'One Malaysia' ini bukannya seperti slogan yang diuar-uarkan pemimpin BN. 'One Malaysia' yang dilaungkan mereka hanyalah ulangan retorik-retorik hampas seperti Islam Hadhari dan lain-lain.
Gambaran 'One Malaysia' yang sebenar hanya boleh diperolehi dari Pakatan Rakyat. Ianya merupakan suatu manifestasi yang dijelmakan rakyat berbilang kaum dan agama, bekerjasama membentuk negara Malaysia yang adil, telus dan saksama.
Sebaik sahaja kerusi Dun diisytiharkan kosong berikutan kematian Adun Bagan Pinang, Azman Mohammad Noor, 4 September lepas, pemimpin-pemimpin PAS, DAP dan KeADILan bersepakat untuk merampas kerusi Dun daripada BN.
Disaat umat Islam sibuk beribadah di akhir Ramadan, beserta dengan persiapan untuk pulang ke kampung halaman menyambut Aidilfitri, rakan-rakan yang terdiri dari kalangan bukan Islam dan bukan Melayu sudah mula bergerak.
Tanpa memperdulikan sebarang tohmahan media massa mahu memecahbelahkan Pakatan Rakyat, mereka menunjukkan kesepakatan yang menakjubkan, mengambil kesempatan cuti sempena Aidilfitri untuk berkempen dari rumah ke rumah.
Rakan-rakan bukan Melayu sudah mula mengunjungi rumah-rumah saudara mara serta rakan taulan dari kalangan bukan Melayu untuk berkempen.
Mereka bekerja siang dan malam, tanpa mengira wang ringgit dan penat lelah. Mereka hanya mahu memenangkan calon Pakatan Rakyat dengan menumbangkan BN, dengan kuasa rakyat.
Bagi mereka penentu ketulenan kerajaan yang sebenarnya adalah undi dari rakyat jelata.
Rakyat yang berhak menentukan wakil rakyat dan kepimpinan negara, bukannya undi pos yang amat-amat diragui ketelusannya. Namun sejumlah besar undi pos bukan penghalang kesungguhan rakyat.
Kerana pada tanggapan rakyat, BN sudah semakin hancur. Keyakinan rakyat terhadap BN juga sudah hancur. Tiada apa lagi yang boleh diharapkan kepada BN.
BN hanya kelihatan kuat pada permainan media massa yang menjadi dalang untuk menipu dan mengaburi mata rakyat.
Hakikatnya rakyat kini amat mengetahui bahawa masa depan negara sudah tidak boleh lagi disandarkan kepada gabungan parti yang semakin berpecah belah.
Huru hara dan ribut dalam rumahtangga Umno-MCA-MIC-Gerakan-PPP dan lain-lain adalah umpama kebusukan dari 'bangkai gajah' yang sudah tidak mampu ditutup lagi.
Justeru, menjelang hari penamaan calon 1 Oktober ini, Dun Bagan Pinang akan mencipta suatu rekod baru dalam sejarah politik Malaysia, ia juga bakal menyerlahkan keunikan kerjasama rakyat dalam Pakatan Rakyat.
Rakyat terdiri dari kaum Melayu, Cina, India, Sikh dan lain-lain akan membentuk 'Satu Malaysia' yang bersepakat, bersatu padu dan komited untuk menumbangkan BN, bukan sahaja di Bagan Pinang, malah pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, insya Allah.
No comments:
Post a Comment