Friday, September 25, 2009

Kembalikan keadilan kehakiman negara ke tempat asalnya

Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengulangi tekad Pakatan Rakyat untuk mengembalikan maruah dan integriti sistem kehakiman negara ke tempat yang sewajarnya jika diberi peluang memerintah menggantikan Barisan Nasional.

Katanya, negara berada diambang kehancuran kerana Umno-BN sebagai parti yang menerajui negara mempergunakan hakim-hakim dalam negara untuk kepentingan politik mereka.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran buku Anwar on Trial: In the Face of Injustice karya peguam Pawancheek Marican, 14 September lepas.

Anwar begitu terharu dengan usaha gigih Pawancheek menerbitkan buku mengenai perjalanan perbicaraan sepanjang merengkok dalam penjara (1998-2004).

Beliau amat menghargai jasa besar pasukan peguamnya yang diketuai Raja Aziz Addruce, Allahyarham Aris Rizal Christopher Fernando dan beberapa peguam lain.

Dalam ucapannya, Anwar menegaskan, jika rakyat tidak mahu sistem kehakiman musnah, kuasa mengawalsedia kehakiman tidak boleh diletakkan di bawah kuasa Perdana Menteri.

Anwar juga membidas Akta ISA yang disifatkannya berada dibawah salahguna kuasa Umno untuk menghukum rakyat yang bangkit menentang kuasa elit pemerintah.


Contoh lain katanya, ialah bagaimana hari ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneruskan kedangkalan Umno-BN, dipergunakan membuat pendakwaan terpilih untuk kepentingan kelompok tertentu.

Di akhir ucapannya Anwar bertekad untuk membuat reformasi dalam sistem kehakiman negara dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara.

Sementara itu bekas Presiden Majlis Peguam, Raja Aziz ketika melancarkan buku tersebut, mahu kehakiman negara dikembalikan ke tempat asalnya seberapa segara yang mungkin.

Menurutnya, kes Anwar bukan sahaja merujuk kepada perbicaraan beliau secara peribadi, sebaliknya meletakkan kehakiman negara di kandang orang yang salah.

Peguam berpengalaman itu turut membidas kerajaan yang mencetuskan sejarah buruk kehakiman negara apabila bertindak memecat Tun Salleh (1988) dan Anwar (1998).

Katanya, akibat kedua-dua tragedi buruk ini, seluruh dunia melemparkan kecaman terhadap sistem perundangan Malaysia yang begitu mudah dimanipulasi oleh pihak yang berkepentingan.

Merujuk kepada kes Anwar, Raja Aziz mengulangi kekesalannya bahawa bekas TPM itu tidak mendapat keadilan yang sewajarnya.

Katanya beberapa kali pihak pendakwa membuat perubahan kepada pertuduhan terhadap Anwar, apabila mendapati kes mereka berjaya dicabar peguam pembela.

Akhirnya kata beliau, kesalahan Anwar hanya disandarkan kepada kes rasuah salahguna kuasa di bawah Ordinan Darurat yang masih menjadi pertikaian.

Sementara penulis buku, peguam Pawancheek Marican berkata beliau mengambil inisiatif untuk mengeluarkan buku tersebut kerana Anwar akan menghadapi pertuduhan kali kedua (kes liwat) yang dihadapkan kepada beliau.

Katanya, beliau membuat keputusan untuk menyegerakan buku mengenai perbicaraan Anwar kerana pertuduhan terbaru terhadap Anwar, seolah-olahnya keadaan 'menggila' pada tahun 1998 akan berulang kembali.

Pawancheek menegaskan walaupun beliau menulis buku mengenai perbicaraan Anwar, namun Anwar tidak pernah sesekali campurtangan dalam penulisan beliau.
Beliau juga memetik kata-kata peguam Sulaiman Abdullah mengenai kes tersebut iaitu, "Tertuduh (Anwar) tidak pernah diberikan perbicaraan yang adil, tidak berikan ruang sewajarnya untuk berurusan dengan peguamnya, tidak diberikan cukup masa untuk mempertahankan kesnya dan dihalang untuk mengemukakan saksi yang dapat membantu beliau mempertahankan diri."

Dalam majlis tersebut, buku Pawancheek mendapat sambutan luarbiasa di mana beratus-ratus pengunjung berebut-rebut mendapatkan naskhah buku tersebut.

No comments: