Tahun ini genap 52 tahun negara merdeka. Saban tahun negara menyambut ulangtahun kemerdekaan yang jatuh sejak tanggal 31 Ogos 1957.
Sebagai parti yang memerintah Kerajaan di peringkat Persekutuan, lebih 50 tahun Umno-Barisan Nasional mengambil kesempatan memperkukuhkan keberadaan mereka sebagai tonggak yang menguasai negara.
Kekuasaan yang dinikmati sekian lama menjadikan pemimpin Umno-BN alpa. Dominasi yang sekian lama membentuk minda dogmatik di kalangan mereka, iaitu hegemoni kuasa yang mutlak dalam negara.
Kepercayaan yang diberikan rakyat sejak tahun 1955 lagi, menjadikan mereka begitu angkuh sehingga merasakan tiada suatu partipun yang boleh mengugat kuasa pemerintahan Umno-BN.
Umno-BN terlalu dominan dalam negara, pengaruh dan kuasa mereka amat luas, sehingga semua institusi-institusi yang wujud dalam negara dipergunakan untuk melindungi serta mengekalkan kuasa mereka.
Dengan kuasa eksekutif sebagai pemerintah Umno-BN menguasai legaslatif (Parlimen) dan mempengaruhi sistem judiciari (kehakiman).
Semua agensi kerajaan turut tunduk dan dikuasai Umno-BN. Peguam Negara (AG) diperalatkan untuk mendakwa sekelompok pemimpin dan parti politik yang bertentangan dengan mereka.
Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) 'ditugaskan' untuk membuat siasatan dan pendakwaan terpilih.
Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dipergunakan untuk melindungi kuasa politik BN dan menghalang pergerakan politik parti-parti Pakatan Rakyat.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sepatutnya menjadi pengurus pilihan raya dengan adil dan saksama, turut membuat penguatkuasaan peraturan yang dilihat menguntungkan Umno-BN.
Media massa menjadi alat propaganda utama Umno-BN untuk mengelirukan rakyat. Saban hari ada sahaja 'perkara buruk' kononnya dilakukan oleh Pakatan Rakyat yang cuba dipalitkan dan diterapkan ke minda rakyat.
Media menjadi alat kelangsungan 'kejahatan' Umno-BN, digunakan untuk menyemarakkan kebencian rakyat terhadap Pakatan Rakyat. Digunakan untuk melaga-lagakan pakatan PAS, KeADILan dan DAP.
Media dan semua agensi kerajaan digunakan sepenuhnya untuk mempengaruhi rakyat, bahawa kononnya hanya BN sahaja parti yang terbaik untuk memerintah negara.
Namun malang buat Umno-BN, segala usaha menyekat, mengadu-domba, memburuk-burukkan Pakatan Rakyat terus menemui kegagalan.
Sejak Pilihan Raya Umum ke 12, 8 Mac 2008, hagemoni Umno-BN sudah dihentikan. Mereka bukan lagi tuan kepada negara Malaysia. Kuasa mutlak mereka untuk memperhambakan rakyat mengikut telunjuk mereka terus tersekat.
Rakyat yang menyekat keangkuhan Umno-BN. Rakyat semakin bijak menilai. Rakyat berterusan tidak mahu Umno-BN mempunyai kuasa mutlak dalam negara.
Buktinya sudah tujuh kali pilihan raya kecil diadakan di Semenanjung, semuanya menjadi petunjuk yang jelas bahawa rakyat tidak lagi mahu 'bertuankan' Umno-BN. Rakyat secara jelas menunjukkan bahawa Pakatan Rakyat adalah alternatif yang terbaik buat mereka.
Sebenarnya penolakan berterusan rakyat terhadap Umno-BN ini juga memberikan impak yang besar terhadap sambutan hari kemerdekaan negara.
Tahun ini kemerdekaan disambut dengan amat hambar sekali. Hampir tidak kelihatan rakyat mengibarkan bendera sama ada digantung pada bangunan, kediaman awam atau kenderaan di jalan raya.
Bukannya rakyat tidak patriotik, Semua rakyat Malaysia begitu patriotik dan cintakan negara. Rakyat cintakan keamanan dan suasana yang demokratik.
Namun paradigma sudah berubah. Persepsi rakyat juga sudah berubah. Mereka tidak lagi mahu dipayungi pemerintah yang terlaku angkuh berkuasa, sehingga mentadbir negara dalam sistem demokrasi yang tempang.
Hakikatnya, selepas 52 negara merdeka, rakyat menunjukkan isyarat dengan jelas bahawa mereka mahu merdeka dari penjajahan Umno-BN!
No comments:
Post a Comment