MENELITI buku bertajuk 'ANWAR ON TRIAL : In the Face of Injustice' karya Pawancheek Marican mengingatkan kembali kepada suatu bentuk konspirasi terancang pihak tertentu yang mahu mengekalkan kuasanya dalam negara.
Buku ini, bukan semata-mata kerana Dato' Seri Anwar Ibrahim. Pemecatan Anwar oleh Dato' Seri (kini Tun) Dr Mahathir Mohamad ketika tu, didasarkan kepada alasan kononnya Timbalan Perdana Menteri itu terbabit dengan gejala sumbang yang tidak bermoral.
Anwar didakwa mengkhianati negara, melakukan rasuah, terbabit dalam seks sumbang dan pelbagai lagi. Sepuluh pertuduhan dilemparkan kepada beliau oleh media pencacai Umno-Barisan Nasional, jauh sebelum beliau dihadapkan ke mahkamah.
Umno menurut Mahathir waktu itu adalah parti yang bersih. Suci dari pesalah laku moral, suci daripada perasuah dan semua yang berada di dalamnya adalah nasionalis tulen yang cintakan negara.
Sebaliknya rakyat melihat pemecatan Anwar dari sudut perspektif yang berbeza.
Pemecatan Anwar terdorong daripada kerakusan dan ketamakan seorang Perdana Menteri, yang hendak mengekalkan kuasanya dan mengelak dari dijatuhkan.
Ia mengkisahkan bagaimana kedangkalan sang berkuasa mengheret segala juak-juak dan kuncu-kuncunya untuk mempertahankan kerajaan yang korup dibelenggu kebuasan nafsu kroni-kroninya.
Pemecatan Anwar daripada jawatan TPM dan Menteri Kewangan pada 2 September 1998, menjadi titik tolak kepada kebangkitan rakyat untuk mempertahankan insan yang dizalimi dan menurunkan si penzalim dari tampuk kuasa.
Penulis buku ini dikenali ramai sejak mengikuti perkembangan perbicaraan Anwar pada penghujung tahun 1998. Beliau merupakan salah seorang peguam utama Anwar.
Pawancheek banyak menghasilkan tulisan-tulisan yang mengupas persoalan-persoalan yang kritikal. Tulisan dan kes-kes yang dikendalikannya banyak dipaparkan dalam Jurnal Undang-undang (Law Journal).
Hasil penelitian dan pengamatan beliau selama lebih 10 tahun, Pawancheek menampilkan buku bertajuk 'ANWAR ON TRIAL : In the Face of Injustice', dengan bahasa yang amat mudah untuk difahami oleh kebanyakan orang awam.
Buku ini merupakan sebuah manuskrip yang amat teliti. Beliau membuat catatan yang komprehensif, yang sebahagian besarnya belum diterbitkan oleh mana-mana media.
Uniknya buku ini ialah kerana kes yang membabitkan Anwar, telah membongkar wajah-wajah hodoh yang mencacatkan sistem kehakiman di Malaysia. Mereka terdiri dari kalangan konspirator besar iaitu pemimpin-pemimpin tertinggi Umno, Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Hakim Negara dan ramai lagi.
Kes yang dibongkar ini ialah bagaimana Anwar, sebagai insan yang tertindas dan dizalimi tidak mendapat ketidakadilan yang sewajarnya.
Apa yang diistilahkan sebagai 'unfair trial' diserlahkan oleh watak-watak utama, yang mengerahkan segala institusi seperti badan kehakiman, jabatan Peguam Negara, polis, media dan sebagainya digunakan untuk menghukum seorang insan yang bernama Anwar Ibrahim.
Mereka-mereka yang dicatatkan namanya dalam buku ini sebagai orang yang bersekongkol dengan kezaliman sudah tentu akan berasa amat malu, apabila nama mereka direkodkan sebagai orang yang mencacatkan sejarah demokrasi di Malaysia.
Buku amat penting kerana ia juga mencatat pelbagai peristiwa khususnya kebangkitan rakyat diera reformasi, di mana pemimpin pembangkang dan rakyat yang bangkit menentang kezaliman, turut dikenakan tindakan, ditangkap, dihambat dan dipenjara.
Bagi penulis buku 'ANWAR ON TRIAL : In the Face of Injustice' berjaya membongkar kebobrokan kehakiman negara, selepas buku 'May Day For Justice' karya mantan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas.
Buku ini akan dilancarkan oleh peguam Raja Aziz Adruce pada 14 Julai ini di Kuala Lumpur. Naskhahnya boleh diperolehi di toko buku terkemuka dalam negara.
No comments:
Post a Comment