Firman Allah (mafhumnya):
"Maha suci Allah yang telah menurunkan al-Furqan (al-Quran) kepada hamba-Nya, agar dia memberi peringatan kepada seluruh alam (jin dan manusia).
"Yang kepunyaan-Nyalah kerajaan langit dan bumi dan Dia tidak mempunyai anak, dan tiada sekutu bagi-Nya dalam kekuasaan-Nya, dan Dia telah menciptakan segala sesuatu, dan Dia menetapkan ukuran-ukuran dengan serapi-rapinya." (Surah al-Furqan, ayat 1-2).
Tanggal 17 Ramadan, umat Islam menyambut peristiwa yang amat penting iaitu turunnya al-Quran atau dikenali dengan Nuzul Quran
Pada hari tersebut, Allah SWT yang telah menurunkan Kitab suci-Nya al-Quran kepada Nabi Muhammad s.a.w agar baginda memberi peringatan kepada seluruh makhluk di semua alam jin dan manusia.
Semua makhluk ciptaan Allah, diwajibkan mendalami al-Quran, memahami dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
Seharusnya difahami bahawa turunnya al-Quran adalah sebagai panduan yang menyelamatkan seluruh alam dari kesesatan dan kebinasaan.
Firman Allah (mafhumnya):
"Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada hamba-Nya al-Kitab (al-Quran) dan Dia tidak mengadakan kebengkokan di dalamnya (penyimpangan dari kebenaran).
Ia sebagai bimbingan yang lurus, untuk memperingatkan seksaan yang amat pedih dari sisi Allah dan memberi berita gembira kepada orang yang beriman, mengerjakan amal soleh, bahawa mereka akan mendapat pembalasan yang baik." (Surah al-Kahfi, ayat 1-2).
Negeri-negeri tertentu di Malaysia, mewartakan hari Nuzul Quran sebagai cuti umum, yang pada asasnya ia amat dialu-alukan sebagai penggalak usaha memartabat dan menghormati al-Quran.
Malangnya ada kalangan umat Islam, menyambut Nuzul Quran hanya sebagai suatu majlis yang menjadi adat tradisi semata-mata atau bercuti tanpa menyedari pengertian yang sebenar di sebaliknya.
Mereka menzahirkan kegembiraan dengan hari sambutan turunnya al-Quran, tetapi malangnya al-Quran itu tidak dijelmakan dalam penghayatan kehidupan seharian.
Hakikat sebenarnya al-Quran yang juga diberi nama al-Furqan, membawa maksud pembeza atau pemisah di antara yang hak dengan yang batil, antara yang lurus dengan yang sesat dan di antara yang halal dengan yang haram.
Umat Islam seharusnya mengambil kesempatan dari kemuliaan bulam Ramadan ini, beserta turunnya al-Quran, untuk mengkoreksi diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Mereka harus mengetahui apa yang hak (benar) dan apa yang batil sebagaimana yang dinyatakan al-Quran.
Jika mereka benar-benar beriman dengan al-Kitab (al-Quran), sebagai rukun iman yang ketiga, mereka seharusnya kembali kepada ajaran Islam yang sebenar-benarnya.
Islam yang sebenar ialah Islam yang memperhambakan diri menyembah hanya kepada Allah yang Satu. Allah yang menciptkan manusia, seluruh makhluk di alam semesta dan cakrawala.
Allah jualah yang menurunkan peraturan-peraturan kehidupan, yang wajib dipatuhi manusia, agar mereka tidak terjerumus ke lembah kebinasaan.
Manusia yang mencampakkan dirinya ke lembah kebinasaan ialah mereka-mereka yang tidak mengamalkan Islam sepenuhnya sebagaimana yang disarankan al-Quran.
Golongan yang mengambil ajaran al-Quran hanya untuk ibadah sahaja, manakala hukum dan peraturan kehidupan yang lain diketepikan, amat-amat diragui keimanannya.
Justeru sebagai umat Islam dan sebagai hamba Allah yang patuh dengan perintah-Nya, maka dikesempatan sambutan Nuzul Quran 17 Ramadan ini, tekadkanlah keazaman, untuk kembali mengamalkan Islam sepenuhnya.
Kembalikan sistem pemerintahan negara menurut al-Quran sepenuhnya, lakukan reformasi Islam dalam sektor politik, ekonomi dan sosial agar ia dapat memandu kehidupan manusia menuju ke Siratul Mustaqim.
No comments:
Post a Comment