Tuesday, June 19, 2012

Presiden Mesir: Dr Morsi menang tetapi tentera cuba ganggu

Keputusan Pilihan Raya Presiden Mesir mengikut pecahan kawasan.
Oleh DR SYED AZMAN SYED AHMAD
Yang berada di Kaherah

Sah! Keputusan tidak rasmi yang di keluaran setakat ini menunjukkan calon Ikhwan Muslimin Dr Mohamad Morsi mendahului di kebanyakan daerah mengundi. Keputusan awal tidak rasmi mendapati Dr Morsi mendapat 13,254,558 (51.74 peratus) undi  manakala calon tajaan bekas rejim Mubarak,  Ahmed Syafik mendapat 12,358,594 (48.25 peratus) undi dengan ketinggalan hampir satu juta undi di belakang Dr Morsi. Jumlah yang keluar mengundi pula adalah 25,613,152 juta iaitu hampir 46 peratus dari yang layak mengundi.

Namun, ramai pemerhati berpandangan bahawa masa depan politik Mesir masih lagi samar-samar dan tidak menentu. Tindakan Mahkamah Perlembagaan Mesir untuk membatalkan semua keputusan awal pilihan raya Parlimen keatas kesemua kerusi Parlimen yang ditandingi serta pengistiharan pembubaran Parlimen oleh pihak tentera Supreme Council of the Armed Forces (SCAF) telah menimbulkan keresahan banyak pihak bahawa telah berlaku rampasan kuasa oleh pihak tentera. Dalam pilihan raya Parlimen yang telah diadakan pada tahun lepas kebanyakan kerusi telah di menangi oleh calon-calon dari parti Ikhwan Muslimin FJP dan Parti Nour dari gerakan Salafi.

Setakat ini, walaupun ahli Parlimen tidak dibenarkan memasuki bangunan Parlimen dan seluruh bangunan Parlimen telah dikawal ketat oleh tentera dengan menggunakan kereta kebal, pilihan raya Presiden peringkat kedua terus berjalan lancar tanpa sebarang kekacauan yang berlaku. Calon Ikhwan, Dr Mohaamed Morsi dijangka akan di istihar sebagai pemenang secara rasmi yang juga turut diperakui oleh hampir kesemua media di Mesir dan antarabangsa walaupun dengan majoriti yang agak tipis.

Namun Murshid Ikhwan Muslimin Mesir, Dr Mohamed Al-Badie' telah menyatakan bahawa pihak tentera SCAF tidak mempunyai kuasa bagi membubarkan Parlimen dan tindakan ini merupakan ‘rampasan Kuasa’ yang bertentangan dengan perlembagaan Mesir. Menurut beliau lagi; "keputusan mahkamah Perlembagaan itu tidak bermakna pihak SCAF berkuasa bagi membubarkan Parlimen. Ia telah dipilih oleh seluruh rakyat Mesir dan perlu dihormati oleh semua pihak. Jika ini berterusan berlaku, bermakna tentera SCAF mahu membawa kembali Mesir kepada zaman Diktator dan pemerintahan kuku besi".

Dr Mohamed Morsi pula menyatakan bahawa tindakan tentera SCAF membubarkan Paarlimen adalah amat bahaya dan boleh menimbulkan ketidakstabilan kepada masadepan Mesir. Beliau menyatakan bahawa pelbagai usaha terus dilakukan oleh saki-baki rejim Mubarak termasuk memperalatkan kalangan Hakim-Hakim yang setia kepada Mubarak  bagi memastikan calon FJP kalah dalam pilihan raya pusingan kedua ini.

Menurut banyak pihak, pihak tentera SCAF mengambil tindakan drastik ini berpandukan kepada 3 sebab utama yang perlu mereka lindungi; pertamanya menjamin 'imuniti' diberikan kepada pihak tentera sekiranya berlaku peralihan kerajaan yang baru. Kedua, terus memberi jaminan agar segala kepentingan ‘ekonomi’ dan perniagaan yang di kuasai oleh pihak SCAF tidak diganggu gugat oleh kerajaan baru. Dan yang ketiganya memastikan bahawa SAF tetap berkuasa bagi menentukan keselamatan dan pertahanan negara.

Lebih parah lagi dengan menjangkakan kemenangan akan berpihak kepada calon FJP, pihak tentera SCAF telah juga melakukan lapan pindaan kilat kepada perlembagaan Mesir dalam tempuh 24 jam yang juga di lihat adalah untuk terus menjamin kuasa yang ada pada pihak tentera. Antara pindaan yang dilaksanakan adalah; memberi kuasa penuh kepada SCAF bagi menentukan pindaan perlembagaan yang baru, Presiden berkuasa mengistiharkan Perang hanya dengan kelulusan dari SCAF dan sekiranya berlaku sebarang kekacauan dalam negara, Presiden boleh memanggil pihak tentera hanya dengan kebenaran SCAF.

Pihak SCAF juga telah secara terbuka menyatakan bahawa mereka mempunyai tanggungjawab bagi menghormati perjanjian 'Camp David' yang termeterai antara Israel dengan Mesir semasa pemerintahan rejim Anwar Sadat dan Mubarak. Perjanjian ini mendapat sokongan kuat Amerika Syarikat, Britain dan sekutunya dan ia perlu di laksanakan bagi menjamin ‘masadepan dan keselamatan’ Israel.

Inilah realiti politik Mesir. Apa sahaja boleh berlaku dalam tempuh beberapa hari dan minggu ini. Apakah ada kemungkinan akan terbentuk sebuah kerajaan yang demokratik selepas pilihan raya Presiden? Atau apakah ada juga kemungkinan akan berlakunya 'rampasan kuasa tentera' bagi mengambil alih pemerintahan di Mesir?

Namun keputusan pilihan raya Presiden Mesir ini adalah amat penting kepada seluruh dunia Islam.  Pertarungan di medan demokrasi antara kumpulan Islam dan tentera yang di sokong oleh kuasa Barat kini nampaknya berada di garisan terakhir. Parti Ikhwan FJP bersiap untuk berhadapan dengan apa juga kemungkinan termasuk konspirasi yang terancang bagi menafikan kuasa pada mereka.

Mereka tetap yakin hanya dengan Kuasa Rakyat akan dapat berhadapan dengan kedudukan yang genting ini walaupun menghadapi saat yang kritikal ini. Sama-sama kita lihat natijah dan kesudahan penglibatan parti Islam dalam kancah demokrasi di Mesir ini.

No comments: