Monday, June 11, 2012

Isu Bukit Kepong: Saksi polis minta bebaskan Mohd Sabu

Buku Yayasan Johor yang mengiktiraf perjuangan Mat Indera.
PULAU PINANG: Perbicaraan kes Mohamad Sabu yang didakwa kerana dikatakan memfitnah polis Bukit Kepong di bawah seksyen 500 Kanun Keseksaaan menyaksikan kegemparan apabila pengadu kes tersebut beberapa kali meminta maaf kepada beliau dan meminta Mahkamah membebaskannya dari pertuduhan.

Saksi pendakwa tersebut Visvanathan a/l Muthu iaitu seorang pesara polis yang memberi keterangan beliau hari ini berulang-ulang kali meminta maaf kepada Mohd Sabu sambil mengangkat tangannya kepada Mohd Sabu dan meminta mahkamah membebaskan beliau.

Beliau berkata demikian apabila di soal balas secara panjang lebar oleh peguambela Mohd Sabu, Mohamed Hanipa Maidin di Mahkamah Sesyen hari ini.

Semasa pemeriksaan balas tersebut beliau mengakui bahawa laporan polis yang beliau pada 27 Ogos 2011 adalah semata-mata berdasarkan laporan Utusan Malaysia pada tarikh yang sama.

Berikut adalah antara lain petikan soal balas Hanipa dengan saksi tersebut.

Soalan peguambela (S): Kamu setuju kamu sendiri tak dengar ceramah Mohd Sabu?
Jawapan saksi(J): Ya, setuju.

S: Kamu setuju apabila kamu tak dengar apa yang Mohd Sabu kata, kamu sebenarnya tak tahu apa yang Mohd Sabu kata?
J: Ya. Setuju.

S: Cuba kamu lihat laporan laporan akhbar Utusan dan petikan ucapan Mohd Sabu, setuju tak apa yang ditulis oleh Utusan adalah tidak sama dengan apa yang Mohd Sabu kata?
J : Ya, setuju.

S : Mohd sabu tak ada kata perkataan komunis langsung dalam ucapan beliau tapi Utusan ada kata, betul tak?
A : Betul.

S: Kamu setuju atau tidak apa yang kamu tulis dalam laporan polis kamu yang katakan Mohd Sabu menfitnah polis dan menyokong komunis adalah tidak betul?
J : Ya, setuju.

S : Jadi laporan polis kamu tidak betul dan saya katakan bukan Mohd Sabu yang memfitnah polis tetapi kamu yang sebenarnya memfitnah Mohd Sabu dalam laporan polis kamu?
J : Ya, saya setuju. Saya mahu minta apology (maaf) kepada beliau (sambil tunjukkan tangan minta maaf pada Mohd Sabu yang ada di kandang orang kena tuduh).

S : Dalam laporan polis kamu ada sebut minta polis ambil tindakan undang-undang Mohd Sabu, kamu masih mahu 'stick' kepada apa yang kamu katakan?
J : Tidak, saya mahu minta maaf pada Mohd Sabu dan 'he is now my brother'. Saya mahu Mohd Sabu dibebaskan.

S: Kamu kata Mohd Sabu derhaka pada Yang Dipertuan Agong, saya ingin tanya pada kamu macam mana kamu boleh kata dia derhaka kepada Agong, sedangkan pada masa peristiwa Bukit Kepong Malaysia belum wujud dan Yang Di Pertuan Agong pun belum ada. Macam mana Mohd Sabu boleh derhaka pada benda yang belum ada?
J :Saya tidak boleh jawab soalan itu.

S: Jadi kamu setuju kamu tidak cakap benda betul dalam laporan polis kamu?
A: Setuju.

Saksi juga mengakui dia tidak tahu di mana Bukit Kepong dan apabila terus ditanya oleh Hanipa beliau menyatakan Bukit Kepong terletak di Selangor dan Hanipa lantas menyampuk "Itu Kepong bukan Bukit Kepong!"

Saksi tersebut yang mengidap diabetik beberapa kali terpaksa berhenti memberi keterangan kerana dikhuatiri akan pengsan kerana berdiri terlalu lama.

Apabila disoal semula oleh pihak pendakwa saksi sekali lagi meminta maaf pada Mohd Sabu dan berkata beliau menyesal (kerana buat laporan polis ke atas Mohd Sabu).

Selepas selesai memberikan keterangan saksi tersebut dilihat berjalan menuju ke kandang Mohd Sabu dan terus bersalam dengan beliau dan meminta maaf sekali lagi.

Kes kemudiannya ditangguhkan ke 13,16 dan 17 Julai depan kerana Hanipa memaklumkan mahkamah bahawa Mohd Sabu sedang menunggu tarikh rayuannya di Mahkamah Rayuan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang enggan membatalkan pertuduhan ke atas beliau.

Mohd Sabu diwakili oleh Mohamed Mohamed Hanipa Maidin, Amin Zulkifli dan Nasar Khan manakala Encik Husaini mewakili pihak pendakwa.

No comments: