Monday, November 21, 2011

PAS Kelantan sudah sedia hadapi PRU-13


MEMASUKI 21 Tahun PAS memerintah Kelantan, PAS tidak seharusnya berasa sudah selesa, sebaliknya terus melipatgandakan usaha untuk menambat hati rakyat. Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yussof menyatakan keyakinan beliau, bahawa PAS akan terus diberi mandat memerintah Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, berdasarkan rekod cemerlang kerajaan negeri yang dipimpin Menteri Besar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Ikuti wawancara beliau dengan MOHD RASHIDI HASSAN di Kota Bharu, 12 November 2011.

Harakah: Bagaimana PAS Kelantan mempersiapkan diri untuk mempertahankan kemenangan yang diperolehi sejak 1990?

WAN NIK WAN YUSSOF: Asas kepada persiapan pilihan raya di Kelantan adalah berpandukan kepada akidah perjuangan PAS itu sendiri. Kita harus menyusun kerja berasaskan kepada penyusunan yang rapi. Firman Allah Surah as-Saff ayat 4 yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam saf yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.'

Oleh itu kita cuba mendidik petugas-petugas PAS bekerja secara bersungguh-sungguh bagi mempastikan gerak kerja mereka berasaskan penegasan Allah dalam ayat tadi, moga-moga Allah memberkati dan memberi jalan petunjuk kepada kita.

Selain daripada itu kita meletakkan asas kita kepada 'wa'aidu lahum mastat'tum min quwaah'. Kita bina asas-asas kekuatan kita berasaskan kepada sumber-sumber yang ada.

Kita di Kelantan, alhamdulillah sumber tenaga kerja, tenaga pakar politik, tenaga pakar siasah syar'iyah dan sumber sokongan tegas di seluruh negeri yang agak kuat. Jadi kita yakin, dengan gabungan ini semua.

Kita juga sering mengingatkan jentera kita dengan peringatan Sayidina Ali bin Abi Talib, iaitu kebenaran yang tidak diurus dengan tersusun akan ditewaskan oleh kebatilan yang tersusun.

Apakah saudara rasa PAS Kelantan sudah selesa?

Pada saya, kita tidak boleh ada rasa selesa di Kelantan. Kita bina KPI kita sendiri untuk mempastikan kemenangan mutlak milik kita pada PRU ke-13 nanti.

Kita menggariskan panduan gerak kerja kita berasaskan kepada lima KPI iaitu pertama, jentera mesti disusun rapi mengikut struktur jawatan dan tugas-tugas pilihan raya.

Kedua, gerak kerja untuk mendaftarkan pengundi baru dilakukan secara berterusan. Kerana kita yakin di Kelantan ini, mengikut apa yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya, lebih daripada 400 ribu orang lahir di Kelantan masih belum mendaftar, ini termasuk yang berada di luar Kelantan.

Pada setiap suku penggal kita lakukan usaha-usaha mendaftar pengundi baru. Sehingga kini pada setiap suku penggal, kita berjaya mendaftarkan di antara 10 ribu hingga 18 ribu pengundi baru. Tidak semuanya ahli PAS, kita daftarkan menerusi kita.

Berdasarkan kepada pendekatan ini, sejak selepas PRU 2008 sehingga kini kita berjaya mendaftarkan lebih daripada 50 ribu pengundi baru. Inilah usaha kita secara langsung, walaupun pada saya ia masih belum mencapai nilai sasaran yang kita tetapkan.

Ketiganya, kita bergerak di atas dasar persiapan dana. Dalam memantau dan menggerakkan jentera pilihan raya, keperluan dana semakin mendesak. Segala-galanya mesti berasaskan kepada sumber kewangan. Kempen, persiapan, semuanya perlukan dana. Jika tiada dana, maka gerak kerja kita akan tergendala.

Oleh itu kita tekankan, bagi persiapan PRU, dana harus dijana di peringkat peti undi. Sehingga kita berjaya menyusun keperluan serta pengumpulan dana di peringkat peti undi dan sekarang ini kita memasuki fasa setiap Dun serta Parlimen. Bagaimanapun saya percaya kita tidak akan menghadapi masalah besar dalam menyediakan dana berdasarkan pengalaman kita menghadapi banyak pilihan raya.

KPI yang keempatnya, kita bina asas untuk mengekalkan mood rakyat. Kita atur program-program untuk mengekalkan mood rakyat ataupun selera rakyat kepada kita tidak berubah dan semakin baik.

Ini mengekalkan mood ini, kita buat pendekatan secara langsung dengan rakyat. Pemerintahan kita selama 21 tahun sejak 1990, adalah bukti nyata kita diterima rakyat, maka program kerajaan PAS yang bertemakan 'Membangun Bersama Islam', jelas diterima. Oleh itu kita mengadaptasikan konsep 'Negara Berkebajikan' secara berterusan.

Pengalaman yang kita hadapi pada PRU 2004, mengajar kita untuk menambah baik sistem penyampaian program parti dan kerajaan. Kita utamakan kumpulan sasar kepada pengundi teras kita dan menarik pengundi baru, terutamanya first time voters.

Kelimanya, kita mengasaskan KPI kita di atas dasar perkhidmatan wakil rakyat yang sedia ada. Kita mahu wakil rakyat kita berkhidmat dengan cemerlang. Di kawasan yang kita kalah, kita lantik penyelia-penyelia Dun, sama ada dari kalangan PAS mahupun KeADILan. Penyelia ini menjadi tali penghubung rakyat dengan parti dan kerajaan.

Dari sudut ini, kita selalu membuat pemantauan terhadap prestasi Adun, menilai pusat khidmat wakil rakyat dan penyelia dari masa ke semasa.

Maka kita tetapkan prosedur SOP kepada pusat khidmat ini, supaya setiap program mendekati pengundi dilaksanakan dengan cekap dan tersusun.

Berdasarkan kepada lima KPI ini, kita mahu semua masalah ditangani dan segala persoalan yang berbangkit ditangani sebaik mungkin.

Adakah saudara berpuas hati dengan persiapan jentera pilihan raya PAS?

Kita sudah dan sentiasa membuat semakan terhadap gerak kerja jentera. Kita menilai mereka mengikut skala kemenangan.

Sama ada kemenangan pada PRU 2008 itu sama ada kemenangan selesa, marginal atau kelabu ataupun tewas.Daripada 45 Dun, kita bahagikan kepada tiga. Pertama, 15 yang pertama (selesa). Kedua, 15 yang kedua, menang marginal dan 15 ketiga, menang tetapi masih terancam ataupun tewas. Maka tumpukan kawasan marginal dan kelabu. Walaupun pada PRU lepas kawasan tersebut menang dengan agak baik, kita menggunakan beberapa indikator untuk menilainya.

Dalam membaiki prestasi Dun-Dun ini, kita mengunakan KPI yang dirangka untuk mempastikan 30 Dun berada dalam keadaan yang amat selesa.

Apakah asas-asas atau kriteria untuk PAS mengekalkan kuasa?

Berdasarkan perkembangan semasa, rakyat Kelantan mempunyai nilai pengharapan yang dihajati selepas 20 tahun memerintah. Nilai yang dihajatkan adalah perkhidmatan sedia ada yang masih belum dapat diperbaiki sepenuhnya.

Misalnya dalam soal perkhidmatan air dan isu-isu semasa yang lain.

Saya percaya modal ini akan digunakan Umno-Barisan Nasional untuk menyerang kita.

Jadi di sebalik itu, usaha mesti dibuat kerajaan, bahawa sistem perkhidmatan kerajaan ini boleh memuaskan rakyat, membuat penambahbaikan kepada kelemahan yang ada. Misalnya, Air Kelantan sudah melaksanakan dasar untuk memperbaiki mutu perkhidmatannya.

Maka jaringan ini sedang dikemaskinikan. Oleh itu, jika kita dapat neutralisekan kelemahan yang menjadi pengharapan rakyat, saya yakin rakyat akan terus menyokong PAS.

Kita juga dimomokkan dalam isu balak. Didakwa kita banyak mengetepikan kepentingan rakyat, sebaliknya cenderung kepada syarikat dan pelabur-pelabur luar. Ini suatu serangan yang bersifat negatif oleh Umno, untuk mengganggu sokongan rakyat terhadap PAS.

Tetapi semua serangan ini ditolak oleh rekod-rekod audit yang mengiktiraf bahawa Kelantan diuruskan dengan cemerlang. Maka kita harus meuar-uarkan info ini kepada rakyat.

Menerusi Timbalan Menteri Besar misalnya, sehingga hari ini, kita telah berjaya menyerahkan lebih 70 ribu surat hak milik tanah. Ini satu rekod yang jauh lebih baik daripada negeri-negeri yang diperintah Umno-BN.

Kerajaan juga sudah menubuhkan suatu Jawatankuasa Teknikal bagi menyelesaikan isu-isu yang tertangguh.

Maklumat sebegini amat penting, saya mengharapkan pihak Penerangan PAS boleh menjadikan isu ini sebagai bahan kempen untuk mengekalkan sokongan rakyat.

Antara yang utama ialah rekod akauntibiliti dan kredibiliti kerajaan Kelantan. Walaupun kita diserang dengan pelbagai rekod penyiasatan SPRM dalam pelbagai isu, antaranya isu PMBK, Bazar Tok Guru, maka kita harus menjawab dan membuat penambahbaikan.

Pada peringkat Jabatan Pilihan Raya Kelantan, kita membentuk suatu pasukan media kempen penerangan konservatif dan media baru. Kita lakukannya secara bersepadu.

Saya yakin, strategi Umno untuk menggugat sokongan rakyat tidak akan berjaya.

Bagaimana pendekatan saudara untuk menghadapi golongan pengundi muda yang agak kritis dalam menilai isu semasa?

Menurut statistik, dalam tempoh 20 tahun kita memerintah, kumpulan umur pengundi di antara 21 hingga 35 tahun, dari setiap masa mendominasi lebih 50 peratus daripada jumlah pengundi. Ini jumlah yang terlalu besar.

Kita di peringkat parti dan kerajaan berusaha sedaya upaya menganjurkan program mesra anak muda dan kita berusaha membuat inisiatif melalui beberapa NGO.

Selepas daripada PRU 2008, kita telah menaiktarafkan Urusetia Pembangunan Belia dan dicampur lagi dengan satu unit yang mengkhususkan tentang NGO belia. Ini inisiatif kerajaan, tetapi kita selaraskan dengan data-data parti supaya kita dapat menilai tahap sokongan anak muda menerusi NGO.

Kita juga menubuhkan persatuan untuk mendekati golongan mat rempit. Kita menubuhkan beberapa NGO untuk mendekati golongan sukarelawan. Kita tubuhkan satu pasukan sukarelawan hijau, terdiri dari anak-anak muda yang merentasi agama dan kaum.

Kita tubuhkan Persatuan Anak Muda Kelantan untuk menjadi back-up kepada PAS. Sasarannya semua anak-anak ahli PAS mesti diuruskan menerusi persatuan ini untuk kita bina kesedaran dan semangat sukarelawan untuk membantu PAS dan rakyat Kelantan.

Kita sasarkan 100 orang anak muda didaftarkan pada setiap Dun.

Sejauhmana isu-isu nasional boleh mempengaruhi kecenderungan pengundi?

Isu-isu nasional ini, jika kita ambil pengalaman 2008, apa sahaja aktiviti di Lembah Kelang seperti Bersih 1.0 turut memberi kesan. Kita masih meletakkan harapan, pengundi Kelantan yang berada di luar sejumlah 80 ribu, mempunyai maklumat bersifat nasional. Supaya mereka ini balik, untuk memberitahu ibu bapa serta rakan-rakan di kampung yang tercorot maklumat. Ini penting.

Dalam mempastikan gelombang kemenangan di Kelantan, kita masih mengharapkan suatu mood yang bertenaga di Lembah Kelang. Dalam Bersih 2.0 baru-baru ini misalnya, ia dapat melonjakkan sokongan terhadap kita.

No comments: