Monday, November 21, 2011
Kami tidak akan beri BN peluang rampas Kelantan
TERLALU banyak faktor untuk rakyat Kelantan menolak BN, berbanding isu yang diciptakan mereka untuk menyerang balas Kerajaan PAS Kelantan. Sehubungan itu Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan mempertegaskan ikrar bahawa, pihaknya tidak akan sesekali memberi ruang untuk Umno-BN kembali ke tampuk kuasa. Ikuti wawancara MOHD RASHIDI HASSAN dengan Adun Temangan yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan pada 12 November 2011 di Kota Bharu.
Apakah tindakan saudara untuk memastikan kemenangan PAS Kelantan pada PRU ke 13?
Secara khususnya saya dan AJK Lajnah Penerangan merancang tindakan dan melaksanakan arahan dari kepimpinan melalui saluran Perhubungan Negeri dan Dewan Harian PAS Kelantan. Kami bertekad tidak akan memberi peluang BN merampas negeri Kelantan dalam PRU-13 nanti. Sampaikan maklumat yang betul kepada rakyat, jelaskan fitnah yang sengaja disebarkan oleh BN dan kekalkan faktor kemenangan PAS di hati rakyat. Itulah yang dilakukan oleh Lajnah Penerangan PAS dan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri. Kita kekalkan momentum penolakan rakyat terhadap BN sebagaimana 2008. Itulah tanggungjawab utama kami.
Apakah isu saudara fikir, harus ditangani segera oleh PAS di Kelantan?
Sebenarnya BN tidak ada isu yang besar untuk menyerang PAS. Dalam masa yang sama mereka terpaksa berhadapan dengan kemelut dalaman mereka sendiri. Bagi mengalih pandangan dan teknik mengubah perhatian, maka mereka mencipta dan mengada-adakan isu. Antaranya kononnya kerajaan merampas tanah rakyat, kerajaan menggadaikan tanah kepada tauke Cina dan isu Air Kelantan. Isu-isu tersebutlah yang nak dijadikan modal mereka nanti. Media massa digunakan untuk mengelirukan rakyat. Digambarkan pula ahli PAS masuk Umno sana sini kerana sudah hilang keyakinan kepada PAS. Walaupun ianya adalah rekaan tetapi kita terpaksa tangani dengan segera kerana ada di kalangan rakyat yang terpedaya. Isu-isu tersebut kita jelaskan dengan benar dan berfakta. Kerajaan pula sentiasa mengambil langkah memperbaiki khidmat dan menjaga kebajikan rakyat. Apa yang tidak betul kerajaan telah berusaha dan berjaya perbetulkan. Isu kerajaan merampas dan menggadaikan tanah rakyat tidak berbangkit langsung. Kita akui kita ada masalah dalam perkhidmatan air kerana beberapa faktor. Ada yang boleh diatasi dengan segera dan ada yang perlu masa dan belanja yang tinggi. Tetapi masalah air ini ada di mana-mana. Cuma yang dibesarkan di Kelantan. Dalam hal ini kerajaan sedang memperbaiki perkhidmatan air ini dengan pelbagai cara. Sebahagiannya sudah dapat diatasi. Dengan beberapa langkah yang telah diambil kita yakin masalah ini dapat diselesaikan tidak lama lagi.
Apakah pula isu-isu yang hendak diketengahkan kepada rakyat untuk terus menyokong PAS?
Ada dua isu besar, iaitu isu-isu dalaman Umno dan Kerajaan BN, dan isu PAS. Pertamanya, isu Umno dan BN terlalu banyak. Penyelewengan harta negara, pentadbiran kerajaan yang lemah dan korup dan kos sara yang terlalu tinggi. Hidup rakyat semakin tertekan tetapi pimpinan negara dan keluarga dalam kemewahan. Di Kelantan pula, siapakah pemimpin Umno yang boleh menyaingi Tuan Guru Nik Aziz dan pimpinan PAS yang lain. Siapakah pimpinan Umno Kelantan yang amanah dan boleh diharapkan untuk membela harta dan nasib rakyat apalagi untuk menjadi contoh tauladan yang dekat di hati rakyat. Kalau hasil bumi yang jelas menjadi hak rakyat Kelantan seperti royalti petroleum pun mereka khianati, maka jelas di mata rakyat mereka adalah pengkhianat yang tidak boleh diserahkan amanah.
Keduanya isu PAS. Ia sudah mentadbir Kelantan selama lebih dari 20 tahun. Dalam tempoh tersebut terlalu banyak yang telah berjaya dilaksanakan. Apa yang tidak pernah difikirkan oleh BN, PAS buat di Kelantan. Malah ada dasar dan program kerajaan PAS yang secara malu-malu ditiru oleh kerajaan BN. Rakyat boleh menilai sendiri. Rakyat memilih PAS kerana dasar dan matlamatnya yang jelas iaitu Islam. Apabila PAS mentadbir Kelantan, ia memperkenalkan pula sistem pentadbiran yang seimbang antara rohani dan jasmani. Pentadbirannya bersih, perlaksanaanya adil, dan program rakyatnya berkebajikan. Kepimpinannya pula sederhana dan dekat dengan masyarakat. Faktor ini sentiasa melekat di hati rakyat. Sebab itulah PAS mampu bertahan walaupun berhadapan dengan berbagai ancaman fitnah dan tekanan. Dari sudut pembangunan duniawi walaupun mungkin kita tidak setanding dengan setengah negeri yang sudah pun maju tetapi tidak kalah dengan setengah negeri BN yang lain. Tetapi dari aspek pembangunan rohani, apa yang ada di Kelantan tidak ada di negeri-negeri yang lain. Itu kita yakin dan pasti. Inilah faktor yang akan terus memberikan kekuatan kepada PAS dalam berhadapan dengan BN. Rakyat sedar hal ini. Justeru tidak ada sebab untuk rakyat menolak PAS dan memilih Umno. Dengan kembalinya Umno bermakna bersamanya kembali segala macam kemungkaran yang telah lama disingkirkan di bumi Kelantan ini. Majoriti rakyat Kelantan menolak kemungkaran. Yang minoriti itulah menjadi fokus kita. Itulah perkara yang akan kita ketengahkan kepada rakyat agar rakyat terus menyokong kita dalam pilihan raya nanti.
Bagaimana dgn persiapan jentera penerangan seluruh Kelantan?
Alhamdulillah, kita sentiasa memperkemaskan gerak kerja jentera penerangan, parti dan kerajaan. Tidak seperti BN, kita mempunyai ruang dan cara yang terbatas. Namun kita sudah biasa dengan keadaan ini. Kita kena kenal pasti sama ada ianya isu parti atau isu kerajaan. Jika ianya isu parti, maka jentera penerangan parti yang akan menanganinya. Sekiranya ianya isu kerajaan maka ianya akan ditangani oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri. Begitu juga, gerak kerja kita mengikut peringkat. Sekarang ini kita berada di peringkat akhir berhadapan dengan pilihan raya. Maksudnya kita bersedia menghadapinya bila-bila masa.
Adakah saudara berpuas hati dengan prestasi jentera penerangan untuk hadapi PRU?
Kita tidak boleh berpuas hati dengan kerja kita jika kita mahu ianya sempurna. Perasaan itu nanti akan memerangkap kita. Mesti ada pembaikian, baru ada peningkatan. Tapi saya sangat berpuas hati dengan komitmen yang telah ditunjukkan oleh seluruh jentera dan tenaga penerangan, samada parti dan kerajaan. Itulah kelebihan yang ada kepada PAS, iaitu ahli yang ikhlas berjuang tanpa menuntut pembalasan.
Kita ketahui anak muda antara bilangan pengundi yang teramai, apakah langkah yang diambil untuk menangani undi anak muda?
Anak muda hari ini terdedah dengan sumber maklumat. Mereka juga mempunyai tahap kepekaan yang tinggi. Kita bekerjasama dengan Dewan Pemuda PAS dalam mengatur program mendekati anak muda. Pemuda PAS telah bergerak keperingkat akar umbi mendekati anak muda dengan berbagai bentuk pendekatan. Di pihak kerajaan, ada Urusetia Belia dan Urusetia Wanita bersama dengan Urusetia Penerangan. Setakat ini berbagai program kita jalankan atas nama Kerajaan Negeri Kelantan agar golongan ini faham dengan dasar dan program kerajaan negeri. Bagi yang berada di luar Kelantan, kita bekerja sama dengan persatuan anak-anak Kelantan seperti Perakan, Persada dan lain-lain.
Bagaimana pendekatan PAS Kelantan utk hadapi kempen serangan maya (siber)?
Kita juga menggunakan kaedah yang sama bagi menghadapi BN. Kita bersaing dan bertarung di alam siber. Di Kelantan kita ada Jabatan IT dan Unit Media Baru. Kita mengharapkan untuk menggunakan sepenuhnya medium ini dalam pilihanraya nanti. Selain itu, dari masa ke semasa kita mengadakan pejumpaan dan perbincangan dengan kalangan bloggers dan facebookers di dalam dan luar Kelantan. Alhamdulillah PAS dan PR juga mempunyai ramai sukarelawan siber yang sedia berdepan dengan bloggers upahan Umno. Mereka ini bekerja secara sukarela tanpa mengharapkan gaji atau imbuhan. Ianya lahir dari rasa bersama bertanggung jawab dalam mempertahankan agama dan negara. Kita mengucapkan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga atas sumbangan mereka.
Harapan saudara kepada seluruh jentera dan pimpinan PAS dalam usaha mengekalkan kerajaan?
Mengekalkan kerajaan PAS Kelantan adalah tanggung jawab kita. Sebagaimana dulu kita berjaya menaikkan kerajaan ini, begitulah juga caranya kita mempertahankannya. Dan kita sudah mampu melakukannya berkali-kali. Dengan pertolongan Allah, kali ini juga kita boleh melakukannya. Perubahan negara ini adalah bermula di sini. Kuatkan tekad, teguhkan azam, tingkatkan usaha, eratkan mahabbah dan kemaskan hubungan kita dengan Yang Maha Kuasa. InsyaAllah kejayaan berpihak kepada kita.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment