Tuesday, November 08, 2011

Jangan kotorkan Parlimen Malaysia


PARLIMEN adalah badan legislatif yang tertinggi di Malaysia. Ia merupakan sebuah institusi yang tinggi martabatnya kerana ia menjadi penggubal undang-undang, perangka dasar, meluluskan peruntukan perbelanjaan negara.

Kewujudan Parlimen dalam sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi, berasaskan kepada keadilan dan kesaksamaan. Ia diamalkan oleh majoriti negara sama ada yang mempunyai sistem pemerintahan beraja, mahu pun sistem republik.

Dalam konteks Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, negara mempunyai dua badan yang membentuk institusi Parlimen, iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Melalui sistem demokrasi yang digubal British, Dewan Negara berperanan sebagai badan check and balance terhadap Dewan Rakyat. Ahli Dewan Negara dan Ahli Dewan Rakyat adalah Ahli Parlimen.

Keanggotaan Dewan Rakyat adalah menerusi sistem pilihan raya. Di mana seseorang calon dipilih untuk menjadi wakil rakyat. Manakala keanggotaan Dewan Negara adalah menerusi pelantikan, sama ada menerusi Kerajaan Negeri, mahu pun Kerajaan Persekutuan.

Bagi Kerajaan Negeri, nama calon Senator dikemukakan dalam sidang Dewan Undangan Negeri oleh kerajaan yang memerintah, untuk dilulus dan disahkan.

Manakala calon Senator di peringkat Persekutuan, adalah di atas kuasa Perdana Menteri.

Tidak ada siapa yang boleh menafikan bahawa pelantikan seseorang ke jawatan Senator, Menteri, Timbalan Menteri dan pegawai-pegawai kanan dalam Kerajaan Persekutuan adalah di atas preogatif Perdana Menteri.

Walaupun pelantikan tersebut di atas kuasa Perdana Menteri, namun ianya harus berasaskan kepada merit. Pelantikan seseorang ke jawatan Senator, bukannya anugerah. Ia sepatutnya berasaskan kepada pengiktirafan terhadap peranan seseorang itu terhadap komuniti yang diwakilinya.

Rakyat boleh menerima pelantikan seseorang ke jawatan Senator, jika ia dibuat kerana jasa atau peranan yang beliau mainkan dalam parti, organisasi NGO, komuniti dan sebagainya. Parti atau NGO yang diwakili harus mempunyai wibawa dan diiktiraf sumbangannya kepada negara.

Pokoknya, pelantikan seseorang ke jawatan Senator mestilah dibuat menurut kriteria yang tertentu, bukannya secara semberono.

Tetapi hari ini rakyat berasa pelik dan muak kerana kerajaan, khususnya Perdana Menteri tidak mematuhi semua kriteria yang seharusnya diamalkan. Tiada merit yang disandarkan.

Pelantikan bekas Ketua Pemuda KeADILan, Mohamed Ezam Md Nor sebelum ini, dibantah keras di kalangan Umno kerana beliau tidak mempunyai apa-apa jasa dalam NGO, tiada jua peranan dalam Umno.

Pelantikan bekas pemimpin KeADILan, S Nallakaruppan ke jawatan Senator juga mendapat bantahan daripada kalangan kaum India kerana beliau langsung tidak mempunyai apa-apa jasa kepada kaumnya sendiri.

Jasa Ezam dan Nalla yang ada hanyalah kerana mereka bekas 'budak Anwar Ibrahim' yang sudah berpaling tadah dan kini berani memaki hamun Anwar secara terbuka menerusi majlis yang dianjurkan Umno-Barisan Nasional. Itu sahaja.

Maka selepas ini barangkali Ibrahim Ali, Zulkifli Noordin dan Zahrain Hashim jika tidak bertanding, mereka juga layak dilantik sebagai Senator berdasarkan peranan hebat mereka memaki hamun Anwar?

Justeru kita ingin bertanya kepada Umno-BN, adakah mereka mahu menjadikan Dewan Negara ini, diduduki oleh golongan yang bermaruah atau politikus kotor yang sering melompat parti kerana mempunyai kepentingan peribadi?

Mereka ini dikenali dalam istilah politik negara sebagai golongan 'katak'. Maka suatu istilah ringkas diwujudkan oleh pelayar siber terhadap Senator yang termasuk dalam golongan katak ini sebagai 'Senatak'.

Apakah Parlimen Malaysia akan dihormati jika ia dipenuhi oleh glongan Senatak?

No comments: