Monday, October 31, 2011

Masalah Najib-Muhyiddin macam kartun CatDog


JIKA hendak diberikan gambaran permasalahan dalam Umno hari ini, ianya tidak ubah macam rancangan animasi televisyen kartun CatDog. Ia hanya ada satu badan, tetapi ada dua kepala. Satu kepala cat (kucing) satu lagi kepala dog (anjing).

Dua-dua kepala ini punyai perangai, citarasa, pendekatan dan minat yang berbeza, sehingga sering bercanggah antara satu sama lain. Tetapi tiada pilihan kerana terpaksa berkongsi badan yang sama.

Badan yang dikongsi dan hendak dibawa adalah Umno, yang hayatnya sudah hampir sampai ke penghujung. cara mana hendak bawa Umno, pendekatan mana yang paling sesuai untuk menyelamatkan Umno daripada kepupusan.

Perbezaan ini semakin ketara dari hari ke sehari. Ianya umpama 'api dalam sekam' cuba dikambus media talibarut Umno-Barisan Nasional, namun ia tetap membara.

Pertelagahan senyap di antara Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dengan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semakin ketara dirasai dalam Umno, dirasai oleh pemimpin-pemimpin Umno di peringkat negeri dan sudah menjalar sehingga ke akar umbi

Masalah dan percanggahan wujud dalam banyak aspek. Terutama sekali dasar 1Malaysia dan pelbagai tindakan Najib mengetepikan hak Melayu dan kuota bumiputera, tidak disenangi Muhyiddin dan juak-juaknya kerana ia tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Malah media berbahasa Melayu seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian, yang khabarnya dikuasai kumpulan Muhyiddin, juga enggan memberi ruang kepada Najib, jika kenyataan PM itu dilihat merugikan orang-orang Melayu.

Antara masalah yang besar dihadapi Muhyiddin dan Umno adalah datangnya dari isteri PM sendiri. Dominasi Datin Seri Rosmah Mansor dalam banyak perkara, yang libatkan parti, kerajaan, projek dan media, amat-amat tidak disenangi mereka.

Ketidaksenangan ini disampaikan seorang kenalan lama bergelar Dato', dalam satu temu janji dengan saya di Bangsar Village baru-baru ini.

Tujuan pertemuan diadakan untuk beliau nyatakan pendapatnya tentang masa depan Melayu, yang katanya hanya akan dapat diselamatkan hanya jika PAS dan Umno boleh bekerjasama dalam hal-hal tertentu.

Saya hanya mendengar sahaja, kerana memang bukan bidang kuasa saya untuk bersetuju atau menolak pandangannya. Saya sekadar mahu meneropong dari sudut hati orang Umno, apa yang sebenarnya berlaku dewasa ini.

Sambil-sambil beliau berusaha meninjau peluang untuk melunakkan hubungan PAS-Umno, saya bertanya kepadanya tentang perubahan kepimpinan dan kepincangan yang terus berlaku dalam Umno.

Kata saya,"Dato' apa agaknya obstacle yang menghalang Umno untuk kelihatan solid dalam menghadapi PRU akan datang?"

"Rosmah," jawabnya ringkas, sambil menghirup cappucino.

"Mengapa Rosmah?" tanya saya sebelum sempat beliau meletakkan cawan kembali ke atas meja.

"Kita pun tak tahu mengapa Najib begitu menurut kata Rosmah. Semua urusan 'stuck' kalau ada campur tangan Rosmah. Sehingga pelantikan politik, termasuk GLC pun Rosmah campur tangan," dakwanya.

"Ooo lebih kurang Rosmah ni macam Khairy (Khairy Jamaluddin) masa zaman Abdullah lah ya," ujar saya kepadanya.

Dato' hanya mengangguk, mengiyakan telahan saya. Banyak ceritanya yang tidak boleh ditulis di sini. Off record katanya.

Pada saya, dakwaan terhadap Rosmah barangkali betul, barangkali tidak. Masalah Najib dan Rosmah adalah masalah Umno. Mahu tidak mahu mereka terpaksa menghadap apa yang ada.

Masalah sebenarnya adalah masalah perebutan kuasa dan power broker serta juak-juak yang berpihak kepada Najib dengan puak penyokong Muhyiddin.

Keadaan menjadi semakin panas apabila masalah ini meleret-leret, sehingga kepada perihal pemilihan dan penentuan calon Umno untuk menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang. Habis semua hendak jadi calon.

Daripada Ketua Bahagian yang sudah lapuk, sehinggalah budak-budak hingusan dalam Umno, berebut-rebut hendak jadi calon. Mereka melobi Najib dan Muhyiddin. Semuanya kata mereka adalah winning candidate. Habis hiruk pikuk Umno di peringkat bahagian.

Masalah ini diakui oleh Muhyiddin. Kenyataan beliau baru-baru ini merujuk kepada masalah dalaman Umno yang tidak boleh selesai sehingga kini.

Oleh sebab itu MT Umno terpaksa menangguhkan pemilihan dalam Perhimpunan Agung Umno, untuk tempoh 18 bulan bermula Mac 2011.

Penangguhan terpaksa dibuat kerana, pemilihan parti menyebabkan Umno dalam keadaan berisiko tinggi. Umno terpaksa gamble kerana pemilihan akan berlaku di segenap peringkat, meliputi cawangan, bahagian dan kebangsaaan akan memberi natijah yang negatif kepada masa depan mereka. Oleh itu maka pemilihan Umno ditangguhkan, untuk memberi laluan terlebih kepada PRU terlebih dahulu.

Oleh itu, jika diteliti dan dibandingkan tempoh kerajaan BN akan berakhir pada Mac 2013 dengan tempoh penangguhan pemilihan Umno akan tamat pada September 2012, maka tidak dapat tidak PRU mesti diadakan enam bulan lebih awal dari pemilihan Umno.

Maka dijangkakan, tarikh terbaik untuk Najib mengadakan PRU ke-13 adalah di antara Disember 2011 hingga Mac 2012. Itu andaian Najib.

Namun Najib tidak akan selamat jika Umno-BN tewas atau hanya menang dengan majoriti yang lebih kecil daripada PRU 2008. Jika BN tewas, habis cerita. Sama ada Najib atau Muhyiddin, sama-sama akan dimasukkan dalam muzium bersekali dengan Umno-BN

Jika BN menang tipis bagaimana? Sekarang pun dalam Umno, terdapat golongan yang mendesak Najib berundur dan memberi laluan kepada Muhyiddin. Alasan mereka mudah. Najib terlalu lemah dan tidak mampu mengemudi BN berhadapan dengan Pakatan Rakyat. Ada kelompok veteran Umno yang berpendapat, jika Najib terus menjadi PM, masa depan Umno akan terus kelam.

Malah ada antara kalangan Umno yang melabel Najib sebagai PM flip-flop, sama atau lebih teruk daripada Abdullah Ahmad Badawi.

Oleh kerana itu, jika BN menang tipis, Najib bakal mengalami nasib yang sama dengan Abdullah. Justeru bagaimana Najib hendak mengelakkan daripada Muhyiddin naik menggantikan beliau.

"Saya yakin Hisham (Dato' Seri Hishammuddin Hussein) tidak akan benarkan Muhyiddin menggantikan Najib," kata seorang penganalisis Umno.

"Bagaimana nak sekat Muhyiddin? Jika hendak halang, kena ada orang lawan dia jawatan Timbalan Presiden," kata saya.

"Tak perlu. Itu lambat lagi. Kalau saudara hendak tahu, sekarang ini budak-budak Hisham sudah buat kerja di Pagoh (kawasan Parlimen Muhyiddin), nak jatuhkan dia," dakwanya.

Cara mana hendak jatuhkan Muhyiddin tidak dihuraikan lanjut. Barangkali itu hanyalah andaian beliau. Tetapi beliau mengatakan wujud banyak kemasukan pengundi baru di Pagoh, yang akan memberi kesan kepada masa depan Muhyiddin.

Pada saya itu hanya fikiran simplistik. Bukan mudah hendak mengalahkan Muhyiddin. Pagoh ini kawasan hulu. Pedalaman dan masih mundur. Orang-orang yang miskin dan mundur, sentiasa menjadi aset Umno. Tambahan lagi orang Johor. Biarlah PRU nanti menentukan.

Tetapi mesej yang hendak disampaikan di sini, bau wujudnya, unsur pertelagahan dan sabotaj di antara puak Najib dengan Muhyiddin semakin kuat. Mereka boleh cuba menafikan kewujudan masalah ini.

Kita tunggu dan lihat sahaja. Bagi kita sama ada Najib atau Muhyiddin tidak menjadi soal. Asalkan mereka mewakili Umno-BN, mereka harus ditewaskan pada PRU ke-13!

No comments: