Wednesday, October 19, 2011

Penduduk rayu MB Selangor henti projek segera


GOMBAK: Ratusan penduduk Pangsapuri Casmaria, Taman Samudera Utama dekat sini merayu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya segera campur tangan menghentikan segera projek pembangunan yang memusnahkan tanah lapang serta kawasan 'green lung' dalam kawasan tersebut.

Mereka menganjurkan demonstrasi aman sebagai langkah terakhir untuk mendesak tindakan segera kerajaan negeri, berikutan permasalahan hak milik strata tanah yang berlarutan sejak 2003.

Dalam demonstrasi yang dianjurkan oleh Persatuan Penduduk-Penduduk Pangsapuri Casmaria (PPPC), mereka juga mengemukakan memorandum kepada MB Selangor, yang merayu agar masalah status tanah dan pemendapan serius di beberapa blok pangsapuri diatasi dengan segera.

Penduduk turut membangkitkan persoalan bagaimana tanah yang berada dalam kawasan pangsapuri bertukar milik beberapa kali dengan wujudnya usaha-usaha pihak tertentu untuk mengalihkan tapak surau sebelum ini.

"Sebelum ini kita dijanjikan dengan pembinaan yang menghadap tasik dan trek joging, tetapi kami tertipu apabila pemaju tidak mengotakan apa yang dijanjikan.

"Kami tertipu apabila pemaju menjanjikan pembinaan pangsapuri dan kawasan berpagar dalam iklan mereka, tetapi sebaliknya mengisytiharkan pangsapuri ini sebagai town house," tegas Pengerusi PPPC, Mejar (B) Wanchik Morad.

Penduduk yang berhimpun dalam demonstrasi tersebut dengan penuh semangat melaungkan desakan agar suatu siasatan terperinci dijalankan terhadap isu pengambilihan dan pemecahan lot, sama ada yang dilakukan oleh Majlis Perbandaran Selayang, mahu pun Pejabat Tanah dan Galian Selangor.

Penduduk berang apabila tasik yang dijanjikan untuk kawasan riadah mereka sudah terlepas dengan pembangunan sebuah taman baru di kawasan bersebelahan.

"Kita mendesak supaya satu lagi projek baru ini dihentikan. Blok rumah kami sudah mulai mendap. Jika diteruskan juga, ia akan mengancam keselamatan kami.

"Lagi pun apabila kami tiada hak ke atas kawasan pangsapuri kerana diisytihar sebagai town house, keselamatan anak-anak dan keluarga terancam," tegas Setiausaha PPPC, Kamal Ariffin Kamaruzzaman.

Kebimbangan penduduk terus disuarakan Pengerusi Surau al-Ehsan, Mejar (B) Thazali Noor Rashidi yang bimbang kawasan surau terjejas.

Katanya, mengikut apa yang didakwa pemaju, keseluruhan kawasan di sekeliling surau, termasuk kawasan letak kereta, adalah milik mereka.

"Sebelum ini ada pemaju yang datang berjumpa kita, meminta surau dialihkan ke satu sudut yang jauh dari pangsapuri, kali ini surau akan terhimpit di tengah-tengah pembangunan.

"Kalau dulu, padang sebelah surau kita jadikan kawasan untuk menyembelih dan melapah korban, sekarang ini kita sudah kehilangan tempat," ujarnya kesal.

Sehubungan itu penduduk memohon jasa baik serta keprihatinan tinggi kerajaan negeri Selangor di bawah terajui Khalid untuk membantu menyelesaikan permasalahan mereka.

"Kami menyanjung tinggi usaha-usaha merakyatkan ekonomi masyarakat oleh Kerajaan Negeri Selangor. Kami turut memohon agar isu-isu membabitkan status tanah dan hak milik rumah yang begitu bermasalah di Negeri Selangor turut diberi focus utama untuk diselesaikan.

"Kami yakin dengan kepimpinan Tan Sri Dato’ akan membawa kepada perubahan yang akan mendahulukan rakyat dalam segala bentuk usaha dan tindakan," tegas penduduk dalam memorandum yang disampaikan ke pejabat MB sebelum itu.

No comments: