Wednesday, October 12, 2011
Enakmen syariah perkasa Raja Melayu
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu institusi agama di bawah naungan Raja-Raja Melayu diperkasakan, sesuai dengan sifat baginda sebagai Ketua Agama Islam Negeri.
Beliau yang juga Mursyidul Am PAS menegaskan, kesucian agama Islam dan akidah umat akan lebih terpelihara jika martabat Raja-Raja Melayu diperkasakan menerusi enakmen-enakmen yang berkaitan dalam bidang kuasa negeri. (Bertemu dengan Tuan Guru Nik Aziz di rumah Kelantan, Jalan Conlay, Kuala Lumpur).
"Di Kelantan, kita telah gubal dan luluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993, yang telah pun ditandatangani oleh Sultan Kelantan.
"Ianya mencakupi pelbagai kaedah dalam syariah Islam, termasuklah hudud, qisas dan takzir, ia digubal bagi memastikan kesucian agama Islam di Kelantan dipelihara sebaiknya dan tidak tercemar," ujarnya kepada Harakah.
Menurut Tuan Guru Nik Aziz, secara tidak langsung, apabila Islam terpelihara sebaiknya, maka dengan sendirinya ia menaikkan martabat Raja-Raja Melayu.
Martabat dan kemuliaan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Negeri katanya, akan terpelihara apabila akhlak umat Islam terkawal, kurang berlakunya jenayah dan sekali gus ia boleh mengelakkan berlakunya gejala riddah (murtad).
Menurut beliau Islam adalah agama yang menitikberatkan pendidikan dan pencegahan, justeru segala syariat yang diperturunkan Allah dalam al-Quran, merupakan penyelesaian terbaik terhadap kemelut yang melanda ummah dewasa ini.
Oleh itu katanya, apabila Kelantan yang diperintah PAS sejak tahun 1990, bertindak memperkasakan syariat Islam dengan penggubalan Enakmen Kanun Jenayah Syariah, ia bertujuan untuk memelihara martabat ummah.
"Undang-undang yang diciptakan manusia, jelas tidak mampu untuk membendung masalah kemanusiaan. Hanya syariat Allah sahaja yang boleh menyelesaikannya.
"Malaysia dan beberapa negara lain misalnya, boleh menerima hukuman mati di tali gantung. Itu lebih keras dari Enakmen yang kita luluskan. Namun ia tetap tidak mampu menyelesaikan masalah," katanya.
MB Kelantan itu turut menempelak Umno-Barisan Nasional yang sering berdolak-dalik untuk kepentingan politik mereka sehingga mempermain-mainkan syariat yang ditentukan Allah dalam al-Quran.
Tegas beliau, sewaktu Kelantan meminta Enakmen tersebut, terdapat wakil-wakil Umno dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan yang turut sama menyokong usaha murni kerajaan negeri.
Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri menganjurkan seminar memperkasa syariat Islam saban tahun bagi menyedarkan rakyat Kelantan, khususnya umat Islam tentang kebaikan dan kewajipan mentaati perintah Allah.
"Kita tiada agenda politik, yang kita pegang adalah amanah Allah. Malangnya Umno-BN tidak pernah peduli, sebaliknya menyerang Kelantan dengan memburuk-burukkannya.
"Enakmen syariah Islam sudah ditandatangani dan diperkenankan Tuanku al-Sultan, ia telah menjadi sebahagian daripada undang-undang. Rakyat Kelantan berdiri teguh di belakang Tuanku untuk memartabatkan kesucian Islam di negeri Serambi Mekah," tegas beliau.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment