Thursday, October 29, 2009

Yeop Adlan Rose, bagai 'bangau pulang ke sawah'


Dato' Yeop Adlan Rose merupakan bekas Duta Besar Malaysia ke luar negara. Sekembalinya dari tugasan di luar negara, beliau bersara dan bergiat aktif dalam PAS. Namun, pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu, beliau yang juga bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) 'dipinjamkan' untuk membantu Parti KeADILan Rakyat.

Selepas setahun dipinjamkan, beliau merasakan dirinya kehilangan sesuatu yang amat berharga dalam hidupnya. Mengapa berlaku sedemikian? Ikuti pengakuan tulus beliau kepada MOHD RASHIDI HASSAN di Pejabat Harakah, 26 Oktober lalu.

Harakah : Difahamkan Dato' tidak lagi aktif dalam Parti KeDILan rakyat, boleh beritahu status diri Dato' di waktu ini?

Yeop Adlan Rose : Saya ahli seumur hidup PAS. Saya dipinjamkan ke Parti KeADILan Rakyat dalam konteks perjuangan. Apa sahaja usaha menentang Umno-Barisan Nasional akan saya lakukan. Saya mahu mendedahkan bahawa Umno selama 50 tahun memegang teraju kuasa kerajaan telah membawa kepada kehancuran kedudukan Islam, Melayu dan negara.
Kemuncak usaha-usaha dan khidmat 'dipinjamkan' adalah dalam Pilihan Raya Umum ke-12 lepas. Saya kini mahu meneruskan perjuangan saya dengan kembali sepenuhnya ke dalam PAS.

Mengapa PAS?

PAS sebenar memperjuangkan Islam, jelas termaktub dalam perlembagaannya. Doa saya setiap solatpun, yang akhir, adalah "semoga diberi bimbingan dapat menghabiskan sisa-sisa hidupku dalam perjuangan Islam seperti sunnah Rasulullah s.a.w, dan agar isteri dan anak-anak, mendapat tempat yang mulia bukan tempat yang hina di sisi Mu, Ya Allah."
Di negara kita perjuangan Islam yang sebenar dan semata-mata Islam adalah perjuangan yang dibawa oleh PAS.

Ada dorongan tertentu lain?

Tiga hari menghadiri Muktamar PAS ke 55, di Shah Alam. Setiap kali ke Muktamar, malah bila saya berada di kalangan rakan-rakan PAS, dengan sendiri didatangi perasaan senang, bebas, tak payah nak berlapik, berselindung atau bersimpan buah fikiran dan rasahati, selagi kita sendiri ikhlas dan jujur.
Hasil daripada suasana di mana kita semua tahu dengan sendiri bahawa, khidmat bakti dan perjuangan kita beri, adalah demi Allah dan untuk Allah sahaja, tiada lain. Maka mudahlah pergaulan kita. Cukup kalau saya sebut bahawa pengalaman singkat saya di tempat lain, mashallah, amat jauh bezanya.

Tujuan Dato' kembali dalam PAS?

Mudah. Saya tidak berhasrat hendak merebut jawatan atau kedudukan. Saya amat bebas dari perangai orang Melayu ramai itu. Saya berserah dan bersedia memberi sumbangan, apa sahaja yang difikir layak oleh pimpinan berasaskan ilmu pengalaman yang ada dan yang difikir bermanafaat kepada perjuangan PAS. Hendak diletak di depan, di tengah, di bawah, di mana sahaja saya tidak kisah.S

Apa aktiviti yang Dato' lalukan?

Pada PRU-12 pun saya berkempen di ceramah PAS. Saya ke Baling, Kulim-Bandar Baru, Permatang Pauh, Hulu Langat, Dusun Tua, Shah Alam. Dalam pilihan raya kecil, saya ke Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan di Bagan Pinang.
Saya cenderung memberi ceramah politik dari pespektif Islam dalam dan luar negeri. Saya mahu kongsikan pengalaman politik antarabangsa kepada rakyat supaya mereka dapat melihat 'the big picture'.
Saya bersedia diundang ke mana sahaja untuk membantu perjuangan PAS.

Pada pandangan Dato' apakah cabaran yang PAS harus hadapi?

Ianya harus dihuraikan dengan panjang lebar. Ringkasnya masalah utama, lagi pokok, jelas perjuangan PAS adalah masalah yang sama yang dipikul oleh umat Islam sama ada di Malaysia atau di dunia Islam keseluruhannya,
Iaitu, mesti menyingkirkan beban sekularisme dan 'mechanical Islam' hasil daripada pendidikan Islam cetek, diracun dengan pengaruh pendidikan fahaman Barat akibat pendidikan kolonialisme.
Begitu ramai umat Islam yang tidak, atau lupa menghayati Islam sebagai ad-Din, mereka hanya mengamal Islam ritual sahaja.
Umat Islam berbelah bahagi tentang apa perjuangan Islam, malah apa Islam itu sendiri? Samalah seperti yang kita lihat perjuangan berbalah yang dibawa dua pihak antara Hamas dan Fatah (di Palestin) misalnya, keseluruhan dunia Arab demikian juga.
Antara Islam sebenar dan Islam sekularisme. Selagi umat Islam tidak sehati dengan 'pandangan alam' sebenar Islam, selama itulah umat Islam tidak akan bersependapat tentang perjuangan Islam.
Walhal perjuangan begitu mudah kalau umat Islam di mana-manapun menghayati dan bersehati dengan Islam sebenar serta perjuangan sebenar yang dibawa Islam.
Itu sebab Islam itu ilmu. Maka itulah perjuangan Islam yang utama lagi besar sekali,ia itu pendidikan Islam dan dakwah Islam.
Dilihat dari sudut lain, yang merosakan Islam dan perjuangan Islam adalah kehancuran pendidikan dan ilmu Islam itu sendiri.
Punca utama dalam hal ini adalah, racun pengaruh kolonialisme (sekularisme) Barat. Amat susah hendak dikikiskan.
Pada saya inilah cabaran kepada perjuangan PAS. Bagaimana hendak memperbetulkan umat yang terpesong dari pengaruh sekularisme.
Ini memerlukan kebijaksanaan. Tidak guna misalnya memperjuangkan unsur-unsur Islam harian jika sebilangan besar umat Islam sendiri tidak menyokong langkah-langkah yang diusahakan PAS, kerana mereka tidak faham dan tidak mengerti Islam sebenar.
Di sini memerlukan kesabaran dan kebijaksanaan. Biar seratus tahun sampai sekalipun, asalkan sampai, asalkan nawaitu kita betul.

Dato' yakin dengan keputusan yang diambil?

Ya, saya mahu bersama PAS yang memperjuangkan Islam untuk semua. Perjuangan yang lain-lainnya saya tidak yakin.
Sikap saya ialah, untuk meneruskan segala usaha dan tugas demi Allah, atas nama Allah, untuk Allah.
Kerana yang akan menjawab kepada Allah, bukan orang lain, bukan Raja, bukan Perdana Menteri, hanya Allah sahaja akhirnya.
Saya mahu mengikut sunnah Rasulullah dalam perjuangan, jika baginda berhenti mengalah, tidak adalah Islam, sesatlah kita semua. Baginda tidak pernah 'give up' walaupun bapa saudaranya tidak menerima Islam.
Oleh itu saya mahu melakukan semuanya untuk Islam kerana saya takut dipersoalkan Allah di akhirat kelak.

No comments: