Monday, October 26, 2009

Bajet yang mengelabui mata rakyat

Apakah persepsi rakyat terhadap Umno-Barisan Nasional, yang selama ini gagal menguruskan ekonomi negara, boleh dipulihkan hanya dengan pembentangan Bajet 2010 oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak?

Bagaimana rakyat boleh mempercayai ketulusan dan ketelusan semua janji yang dikemukakan dalam Bajet 2010, jika kerajaan tidak mempunyai asas bagaimana hendak menjana pendapatan negara?

Jika kita melihat kepada laporan Ketua Audit Negara bagi tahun kewangan yang 2008, hampir kesemua negeri-negeri yang ditadbir oleh BN hasil gabungan Umno, MCA, MIC, Gerakan dan sebagainya, dipertikaikan dengan begitu teruk sekali.

Asas yang paling besar akibat daripada kelemahan negeri-negeri di bawah pentadbiran BN ialah, kegagalan menambahkan hasil negeri, sebaliknya membuat perbelanjaan luar jangka dan pembaziran, sehingga melebihi pendapatan.

Di kebanyakan negeri di bawah pentadbiran BN, semuanya menanggung hutang yang besar kepada Kerajaan Persekutuan, di samping mempunyai belanjawan atau bajet yang tidak seimbang atau defisit.

Akibatnya, BN yang mencanang kehebatan pemerintahan selama 50 tahun, semakin tidak dipercayai rakyat, kerana sebagai besar daripada Menteri Besar atau Ketua Menteri mereka, gagal menguruskan negeri dengan baik.

Perkara ini sama seperti di peringkat Pusat, jika kerajaan PM Najib tidak mampu menjana pendapatan, bagaimana kerajaan mahu melunaskan janji-janji pelbagai peruntukan dan insentif kepada rakyat?

Yang paling jelas data-data menunjukkan ekonomi negara berada dalam keadaan yang tidak stabil sebenarnya.

Selain daripada hasil minyak yang menguncup akibat kejatuhan ekonomi dunia, kadar eksport barangan keluar negara yang terjejas akibat kejatuhan Dollar Amerika Syarikat, pelabur-pelabur asing juga enggan memasuki pasaran Malaysia.

Dalam sesebuah negara yang demokratik dan berdaulat, pengaliran masuk pelaburan asing atau Foreign Direct Investment (FDI) amat penting, kerana ia melambangkan keyakinan pelabur ke atas sistem dan ketelusan kerajaan yang memerintah.

Sebaliknya di Malaysia, FDI terus menjunam. Data-data menunjukkan pelabur asing masih tidak mempunyai kepercayaan terhadap kerajaan BN walaupun PM sudah bertukar.

Berpunca daripada kegagalan menjana pendapatan negara, maka pendapatan negara semakin merosot. Akibatnya kerajaan terpaksa mengurangkan belanjawan pembangunan, yang terpaksa diturunkan sebanyak 11.2 peratus.

Situasi ini sebenarnya, harus diperhatikan kerana ia amat membimbangkan. Jika pendapatan negara merosot, belanjawan tidak meningkat, ini bermakna kerajaan tidak dapat mempertahankan pertumbuhan pembangunan.

Justeru janji-janji pembangunan koridor, insentif dan sebagainya, masih lagi bersifat kosmetik, yang digunakan hanya untuk mencetuskan persepsi baik rakyat terhadap pemerintahan Kerajaan BN.

Salah satu aspek yang dicurigai rakyat ialah, bagaimana pemimpin-pemimpin Umno-BN, menggunakan kesempatan hasil daripada bajet yang memberi peruntukan kepada projek pembangunan, digunakan untuk diagihkan kepada kroni dan anak-beranak mereka.

Itulah yang berlaku sebenarnya. Di zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, anak beranak beliau mempunyai beratus-ratus syarikat seperti yang tertera pada rekod Pendaftar Syarikat.

Di zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi, syarikat milik anak menantunya dan adik beradiknya, mendapat laba yang cukup besar daripada hasil kekayaan negara, sehingga anaknya Kamaludin Abdullah tersenarai antara bumiputera yang kaya di Malaysia.

Juga sekarang ini Najib memerintah, rakyat melihat syarikat yang dimiliki adik beradik dan sanak saudara beliau, sedang mengulangi apa yang berlaku di zaman Mahathir dan Abdullah.

Pada waktu ini, agak mustahil bagi Najib, untuk memastikan slogan 1Malaysia dapat terlaksana dengan baik, jika kerajaan pimpinannya masih bergelamang dengan elemen rasuah, mengekalkan perasuah sebagai pemimpin parti dan negara serta menyalahgunakan jentera kerajaan untuk pendakwaan terpilih?

Oleh itu jika pelabur enggan memasuki pasaran negara kerana tidak yakin ekonomi Malaysia akan dipulihkan oleh kepimpinan yang korup, maka rakyat juga harus berfikir banyak kali sama ada hendak mempercayai BN atau tidak.

Jawapannya, tinggalkan sahaja BN, pilihlah Pakatan Rakyat!

No comments: