Ada beberapa petunjuk yang boleh dikutip daripada Perhimpunan Agung Umno minggu ini, yang diharapkan mampu mencetuskan lonjakan perubahan dalam Umno, sekaligus bertujuan untuk meneruskan pengekalan kuasa mereka.
Selepas Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang memihak kepada Barisan Nasional, nampaknya Umno tidak henti-henti menjaja, kononnya orang-orang Melayu dan India sudah kembali kepangkuan mereka.
Dari segi faktanya memang berlaku peningkatan kecenderungan beberapa peratus pengundi Melayu dan India kepada calon BN, tetapi jika ditanya secara jujur, apakah jika benar mereka kembali menyokong, ianya dibuat di atas dasar kesedaran atau suapan?
Jika orang-orang Melayu benar-benar dianggap sudah 'insaf' kerana kembali memihak kepada Umno, mungkin ianya suatu petanda yang tidak baik buat Pakatan Rakyat.
Sebaliknya, jika orang Melayu kembali kepada Umno secara peras ugut, tipu helah atau disogok dengan wang dalam PRK Bagan Pinang, maka mustahil Umno-BN akan mendapat sokongan yang sama dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
Berbalik kepada perhimpunan Umno, untungnya bagi mereka ialah kerana dalam waktu yang singkat ini, mereka menyedari bahawa Umno sedang berada di persimpangan yang amatmerbahaya.
Namun, Umno tidak dirombak secara total, hanya beberapa perkara selektif dalam soal pemilihan yang 'dihighlightkan', kononnya buat mengekang gejala politik wang, mahupun rasuah politik wang tidak dianggap suatu kesalahan dalam Umno.
Perubahan yang harus dicanang di sini ialah, bukan dalam soal pemilihan semata-mata. Jika Presiden Umno, Dato' Seri Mohd Najib Abdul Razak mahu membuat islah (reform), beliau harus merubah seluruh sistem Umno.
Apakah Najib mampu untuk mengubah 'lifestyle' orang-orang Umno, khususnya di kalangan pemimpin yang bersifat bourjois, eletis, hartawan dan sebagainya?
Asas kepada penguasaan seseorang dalam Umno ialah dengan menggunakan pengaruh wang. Ianya bukan lagi rahsia tersembunyi dalam Umno. Jika ditanya kepada pemimpin dan perwakilan Umno, mereka akan berkata, "Semua orang guna wang (untuk menang dalam pemilihan)."
Persoalan yang harus ditanya ialah, bagaimana pemimpin berkenaan memperolehi wang yang sebegitu banyak. Jutaan ringgit ditaburkan setiap menjelang pemilihan. Bukan sahaja perwakilan, juak-juak, kroni, agen-agen kempen, semuanya ditaja pemimpin yang bertanding.
Mereka yang ditaja, bukan sekadar duit poket ketika perhimpunan berlangsung, duit makan, hotel, hiburan dan sebagainya turut ditanggung.
Malah akibat daripada kemaruk pemimpin Umno untuk memenangi sesuatu jawatan yang ditandinginya, beliau akan menaja dan menghulurkan wang bulanan kepada juak-juaknya di peringkat bahagian, untuk memastikan sokongan kepadanya kekal.
Persoalan yang sama harus ditanya berulang kali, bagaimana mereka ini dapat wang sebegini banyak? Cukupkah semua ini ditaja dengan gaji Menteri, Menteri Besar, Timbalan Menteri, Ahli Parlimen dan sebagainya?
Keadaan sebegini menyukarkan untuk Umno direform, hanya sekadar dengan meminda beberapa peraturan berkait soal pemilihan.
Yang paling besar ialah soal integriti. Iaitu bagaimana untuk Umno melahirkan suatu bentuk kepimpinan yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat, tanpa mementingkan diri sendiri, tanpa menyalahgunakan kuasa dan kedudukan, tanpa merasuah rakyat dengan wang, tanah, jalan, letrik dan sebagainya.
Cabaran yang paling besar untuk Najib ialah, bagaimana melahirkan suatu bentuk kepimpinan yang bersih daripada memfaraid dan merompak harta rakyat untuk kepentingan kelompok mereka.
Soalnya mampukan pemimpin-pemimpin Umno untuk 'survive' tanpa menyalahgunakan kuasa, tanpa mengambil sesen pun wang rakyat? Soalnya mampukah Umno diurustadbir tanpa menggunakan wang kerajaan, komisyen projek, tender dan sebagainya? Ini dilema sebenar dihadapi Umno masakini.
Masalah yang dihadapi Umno ini begitu kronik sebenarnya. Kuasa, wang, pangkat dan kedudukan sudah menjadi 'makanan rasmi' mereka. Kebanyakannya memang menjadikan Umno sebagai tempat untuk 'cari makan'.
Secara tradisinya, orang-orang Umno seperti kata istilah, memang tidak mampu berjuang dengan 'qulhuallah' atau secara ikhlas, tanpa sebarang upah atau tanpa ganjaran.
Jika mereka tidak dapat 'mencari makan' dalam Umno, nescaya mereka akan meninggalkan Umno.
Masalahnya di sini, jika pemimpin tertinggi melarang orang-orang bawahan menjadikan Umno sebagai tempat 'cari makan' atau dalam erti kata lain memasuki dan berjuang dalam Umno dengan ikhlas, pemimpin itu sendiri yang harus memulakannya.
Banyak rungutan orang-orang bawahan Umno terhadap pemimpin atau individu tertentu yang melonjak kaya raya sejak bergelar pemimpin atau mendapat jawatan tertinggi dalam parti dan kerajaan.
Mereka sering mendakwa orang atasan 'makan besar' mereka hanya dapat 'sisa' sahaja. Orang atasan makan 'lauk', mereka hanya dapat 'kuah'nya sahaja.
Mereka juga sering kedengaran berkata, jika orang atasan 'sapu banyak', apa salahnya jika mereka 'sapu sedikit'.
Istilah-istilah sebegini memang popular dalam Umno, kebanyakan mereka amat memahami apa yang penulis maksudkan.
Ianya mencetuskan persepsi bahawa, Umno dan rasuah terlalu amat sukar untuk dipisahkan. Ibarat kata, jika tidak rasuah itu bukan Umno, jika Umno mesti kena amal rasuah untuk 'survive'.
Ini yang Najib serta timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus hadapi sebenarnya. Mereka harus berusaha membunuh persepsi bahawa Umno sudah sebati dengan rasuah!
Tetapi pada waktu ini, jelasnya Najib dan Muhyiddin gagal untuk mereform Umno. Ikon-ikon perasuah dalam Umno, yang sudah didapati bersalah oleh Lembaga Disiplinnya sendiri seperti Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Dato' Seri Mohd Ali Rustam dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, terus dijulang dalam parti.
Jika pemimpin-pemimpin Umno seperti Najib, Muhyiddin dan ikon-ikon perasuah ini kekal dengan persepsi sebagai perasuah, bagaimana Umno hendak direform?
Apakah Najib lupa pepatah Cina yang mengatakan, 'ikan busuk bermula di kepala'?
Apakah Umno boleh direform hanya dengan menjerit-jerit memaki Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat?
Hakikatnya Umno tidak mampu berubah dalam waktu yang terdekat ini. Mereka hanya kuat dan kelihatan gagah dengan provokasi media.
Pemimpin-pemimpin Umno hanyalah juara berkokok seumpama 'mulut si murai, tidak sedar kampung tergadai.'
No comments:
Post a Comment