Saturday, August 01, 2009

Mentaliti rasis Umno gagalkan One Malaysia


AHAD lepas penulis berkunjung ke sebuah pasar di Gombak. Sedang meninjau-ninjau dan tawar menawar dengan penjual ikan, tidak semena-mena penulis disapa orang seorang pakcik, rambut sudah dipenuhi uban, agaknya dalam lingkungan usia 60-an.

"Buat apa beli ikan pada orang Cina, orang Melayu kan ada, kita orang Melayu beli pada Melayulah," katanya selamba.

Lalu penulis menoleh kepada pakcik tersebut, dia memakai t-shirt berwarna biru gelap, berseluar slack warna biru gelap juga, seperti warna rasmi Barisan Nasional. Orangnya agak kurus, rambut bersisir rapi, misai dan janggutnya tiada kerana kemas dicukur.

"Kenapa pakcik cakap macam tu," tanya penulis ringkas.

"Pakcik hairan dengan anak muda sekarang ini, semangat Melayunya sudah hilang, tak mahu tolong bangsa sendiri," katanya menambah perli.

Terdetik di hati penulis, betul juga kata pakcik, orang Melayu ada tanggungjawab membantu peniaga Melayu. Tetapi tahukah pakcik mengapa penulis berbuat demikian.

"Saya nak masak ikan kerapu, tapi kat pakcik tu (peniaga Melayu) tak ada, salah ke saya beli kat apek ni," kata penulis membela diri.

"Okay. Lain kali anak mesti kat Melayu, kita mesti bagi Melayu kuat dalam ekonomi, dalam politik. Kalau Melayu lemah bangsa lain akan ambil kesempatan," syarahnya bersemangat.

"Wah..pakcik cakap macam Khairy Jamaluddinlah," usik penulis.

"Ha ha ha," pakcik menyeringai. Besar ketawanya, berbangga kerana nadanya setaraf dengan super hero yang seorang itu.

Perbualan kami terhenti seketika kerana ada orang yang lalu menyapa beliau, bertanya tentang mesyuarat agung Umno bahagian. Dari bual bicaranya dengan seorang rakan, penulis dapat mengagak pakcik ini mungkin orang kuat Umno di peringkat cawangan.

"Apa ini olang (orang) cakap Melayu..Melayu..kita Cina bukan olang Malaysia ka," getus apek, seusai pakcik dan rakannya berlalu pergi.

"Lain kali apek cakapla sama dia, apek MCA..dia Umno..sama-sama kawan," kata penulis.

"Itu dua-dua (MCA, Umno) sama saja..talak (tiada) guna, lain tahun kita kasi tukar," getus apek keberangan.

Mungkin ada kewajarannya apek berasa hati dengan sikap orang yang seperti pakcik tadi.

Tambahan pula dia orang Umno, tetapi bercakap dengan nada yang sangat perkauman. Pada penulis, sikap rasis pakcik ini sudah bercanggah dengan konsep One Malaysia yang dijaja Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Maka ada juga persoalan yang dilontarkan, sebab apa nak jaja One Malaysia? Adakah selama ini kerajaan tidak mengamalkan dasar itu dalam 50 tahun Barisan Nasional memerintah dengan pelbagai gabungan parti.

Sikap yang ditunjukkan pakcik tadi hanya satu contoh sahaja. Mungkin ramai lagi yang mempunyai sikap yang begitu rasis.

Tetapi jika hendak dpersalahkan pakcik tersebut semata-mata pun tidak wajar juga. Dia jadi begitu sebab dia didoktrinkan sekian lama oleh pemimpin-pemimpin Umno.

Memang dari sudut politik Umno bergabung dengan MCA, Gerakan, MIC dan sebagainya membentuk satu perikatan BN sejak sebelum merdeka lagi.

Tetapi hasil penggabungan ini sebenarnya hampas semata-mata. Ianya suatu penggabungan yang kukuh dari segi retorik, namun fragile atau rapuh dari segi kerjasama.

Sebab itu sering kedengaran dalam Perhimpunan Agung Umno, pemimpin-pemimpin yang rasis ini sering menghunuskan keris, kononnya mempertahankan ketuanan Melayu, seraya memberi amaran kepada kaum-kaum lain.

Sebab itu juga MCA dan Gerakan juga mempunyai semangat kecinaan yang menebal. Sering membuat tuntutan yang berbaur perkauman. Meminta jawatan Timbalan Perdana Menteri, meminta banyak jawatan Menteri.

MCA dan Gerakan juga sering melaung-laungkan desakan penghapusan kuota, menuntuk hak pengajian di universiti, menuntut pembahagian ekonomi yang adil dan sebagainya.

Begitu juga dengan MIC, tiada lain yang diperjuangkan selain kepentingan masyarakat India semata-mata.

Bukan hendak dikatakan tidak wajar diperjuangkan kepentingan bangsa. Memang wajar kepentingan sesuatu bangsa dilindungi.

Semua desakan ini hanya membuktikan kepada kita bahawa dasar integrasi nasional dan dasar-dasar perpaduan yang diamalkan oleh BN selama ini, gagal mencapai kesepaduan nasional.

Dalam masyarakat yang prural atau majmuk sebegini, kepentingan nasional harus mengatasi kepentingan kepuakan atau perkauman.

Usaha Najib untuk mencapai gagasan One Malaysia, berkemungkinan tidak akan dapat terlaksana jika Umno terus menanamkan semangat rasis di kalangan ahli dan penyokongnya.

Bukan bersikap rasis tidak perlu, ia perlu. Tetapi Umno selama ini mengasah fahaman rasis itu untuk mengekalkan kuasa politiknya, bukan perjuangan Melayu yang tulen.

Doktrin ini juga diterapkan Umno semasa kursus-kursus Biro Tatanegara (BTN) sejak sekian lama. Tanyalah kepada mereka yang pernah dibrainstormingkan oleh BTN, semuanya diprogramkan untuk pro Melayu, rasis dan meniupkan semangat perkauman yang menebal.

Semua ini hanya membuktikan bahawa betapa Umno menganut fahaman realis. Realis dalam erikata mereka akan membuat apa sahaja untuk mencapai matlamat politik.

Pemimpin Umno akan meniupkan semangat ketuanan bangsa Melayu, tatkala Melayu semakin menjauhi Umno, sebaliknya mereka akan menghapuskan kepentingan Melayu dari sudut politik, ekonomi dan kebajikan sosial, untuk memenangi kembali hati bukan Melayu.

Fahaman realis inilah yang akan membunuh masa depan Umno. One Malaysia, hanyalah satu konsep lama yang digubah dengan brand baru atau new rebranding untuk mencapai matlamat politik jangka pendek Umno-BN.

Hala tuju politik Umno-BN menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 nanti masih begitu kabur kerana rakyat semakin yakin masa depan mereka adalah bersama Pakatan Rakyat.

No comments: