Rakyat Malaysia sekali lagi dihidangkan dengan episod pilihan raya kecil, kali ini di Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Permatang Pauh Pulau Pinang.
Pilihan raya merupakan salah satu elemen penting dalam proses demokrasi dalam sesebuah negara, untuk rakyat memilih wakil mereka dengan adil dan saksama.
Dalam proses demokrasi tiap-tiap parti politik, sama ada mereka mewakili pemerintah atau pembangkang, seharusnya diberikan peluang yang saksama, bertanding dengan bebas dan diberikan hak untuk berkempen dengan seadil-adilnya.
Namun setiap kali pilihan raya sama ada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, ketidakadilan dalam perjalanan proses sering dipertikaikan.
Pilihan raya seharusnya diuruskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sepatutnya menjadi perantara yang seimbang kepada semua parti-parti politik yang bertanding.
Malangnya keseimbangan proses demokrasi dalam pilihan raya tidak wujud di Malaysia.
Proses dan amalan demokrasi sudah dicabul awal-awal lagi apabila perlantikan jawatan-jawatan utama dalam SPR adalah di bawah kuasa Perdana Menteri.
Perdana Menteri pula adalah Presiden Umno, yang sudah tentu akan melantik orang kepercayaannya yang mampu melindungi kepentingan Umno-Barisan Nasional, serta melaksanakan dasar untuk membantu penerusan kuasa parti yang memerintah.
SPR bukannya badan yang benar-benar bebas seperti yang dituntut dalam sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi yang tulen.
SPR hanyalah salah sebuah daripada jentera kerajaan, sama seperti polis, tentera, jabatan penerangan, jabatan kebajikan dan lain-lain, menjadi alat untuk memenangkan Umno-BN.
Kuasa yang diperolehi Umno-BN selama lebih 50 tahun memerintah negara, menjadikan mereka terlalu dominan, menguasai jentera kerajaan dan memanipulasikan penggunaan media secara berleluasa.
Kuasa ini juga dengan sendirinya membentuk pemikiran Umno-BN yang menjadi terlalu besar dan angkuh, juga sentiasa beranggapan bahawa mereka adalah tuan kepada negara ini.
Mereka mewujudkan demokrasi bukan untuk membawa keadilan dan kesejahteraan kepada rakyat. Sebalik mereka berselindung di sebalik demokrasi, menggunakan segala ruang yang diperuntukkan oleh Perlembagaan yang dicipta mereka, untuk mengekalkan kuasa mereka.
Namun sejak akhir-akhir ini Umno-BN menjadi fobia apabila satu demi satu kuasa mereka direngut oleh kebijaksanaan rakyat.
Setelah terbelenggu dalam perangkap minda selama 50 tahun, rakyat sudah menunjukkan bahawa mereka sudah muak dengan Umno-BN.
Rakyat sedikit demi sedikit, sudah beralih meninggalkan Umno-BN, untuk mencari platform baru, iaitu Pakatan Rakyat.
Pakatan Rakyat diberikan kepercayaan besar untuk menerajui beberapa buah negeri yang paling maju dalam negara.
Dalam tempoh setahun setengah Pakatan Rakyat memerintah di beberapa buah negeri, ia berjaya membuktikan kemampuan menguruskan pentadbiran, politik, ekonomi dan mewujudkan sistem sosial yang baik.
Kejayaan Pakatan Rakyat ini dicemburui oleh Umno-BN. Pelbagai taktik dan usaha dilakukan untuk menumbangkan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat. Umno-BN berjaya merampas kuasa di Perak, namun di Selangor, Kedah dan Pulau Pinang, mereka masih buntu dan gagal.
Setakat ini segala usaha mereka untuk mengekang pengaruh Pakatan Rakyat dengan menggunakan taktik pecah belah sering menemui jalan buntu dan ditolak rakyat.
Malah pemimpin Pakatan Rakyat menunjukkan kesepaduan yang amat jitu dalam PRK Permatang Pasir yang sedang berlangsung sekarang.
Di sebalik pergeseran kecil yang diperbesarkan, pemimpin Pakatan Rakyat semakin matang menunjukkan kesepaduan. Inilah kehendak majoriti rakyat sebenarnya.
PRK Permatang Pasir merupakan satu lagi episod baru yang menguji kematangan berpolitik Pakatan Rakyat dalam sistem demokrasi ala Umno-BN yang tempang ini.
Pakatan Rakyat adalah simbol ketuanan kuasa rakyat. Hanya kuasa rakyat sahaja yang mampu mengembalikan negara ke landasan demokrasi yang benar-benar tulen.
No comments:
Post a Comment